Sempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri ini, saya bagi pihak Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negara ini.

 

Sebagai sebuah negara berbilang kaum, masyarakat Malaysia hari ini terbina daripada kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang. Kebahagiaan perayaan bukan sekadar terletak pada interaksi antara ahli keluarga, tetapi juga pada keupayaan kita merapatkan jurang perbezaan, menghargai antara satu sama lain dengan hati yang terbuka, serta mencari titik persamaan dalam kepelbagaian tersebut.

 

Dalam keadaan pergolakan landskap antarabangsa dan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak ketika ini, keharmonian hidup majmuk serta sikap saling menghormati yang sekian lama dipertahankan oleh masyarakat Malaysia menjadi semakin bernilai dan wajar kita pelihara bersama. Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, keharmonian yang merentasi kaum dan agama ini pastinya membawa makna yang lebih mendalam.

 

Baru-baru ini, kontroversi dalam negara berhubung isu pembinaan struktur tempat ibadat tanpa kelulusan, serta campur tangan dan provokasi sentimen oleh segelintir pihak berhaluan kanan yang melampau, telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat dan rasa curiga antara kaum. Kenyataan dan tindakan sedemikian bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah, malah boleh menghakis asas kepercayaan dalam masyarakat.

 

Ajaran Islam sentiasa menekankan nilai kesederhanaan, toleransi dan sikap menghormati kepercayaan pihak lain, manakala Hari Raya Aidilfitri merupakan detik penting yang menzahirkan semangat keterangkuman dan perdamaian. Dalam suasana perayaan ini, kita wajar kembali kepada rasional dan niat yang murni, menolak kebencian dan permusuhan, serta menghayati semula peranan agama dalam menyucikan jiwa dan memupuk keharmonian. Hanya apabila setiap kaum mampu hidup bersama berlandaskan prinsip saling menghormati dan mendakap semangat kepelbagaian, barulah kestabilan dan kemajuan negara dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang.

 

Melangkah ke hadapan, semoga kita dapat meneruskan semangat Aidilfitri dalam kehidupan seharian. Semoga kedamaian perayaan ini dapat meredakan segala prasangka dan salah faham; semoga sokongan antara satu sama lain mampu merentasi segala batasan.

 

Di kesempatan ini, saya dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam.

 

NGAN TENG YE

Presiden

Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH)

 

 

Tinggalkan Balasan