The Kuala Lumpur And Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) menyatakan sokongan terhadap pendekatan diplomasi yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung perkembangan terkini di Asia Barat. KLSCAH berpandangan bahawa usaha diplomatik sedemikian berpotensi membuka ruang kepada aliran modal antarabangsa ke Malaysia sekali gus memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Perkembangan ini berlaku susulan peningkatan mendadak ketegangan geopolitik di Asia Barat pada penghujung Februari lalu, yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan fizikal pusat kewangan tradisional di rantau tersebut serta meningkatkan tahap ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global. Dalam keadaan ini, Perdana Menteri telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi beberapa negara di Asia Barat serta menyeru penyelesaian secara aman. Walaupun terdapat pandangan yang mempersoalkan keutamaan diplomasi kerajaan, dari sudut ekonomi dan kewangan, langkah ini boleh dilihat sebagai suatu usaha diplomasi ekonomi yang bertujuan menyampaikan mesej kepada pelabur antarabangsa bahawa Malaysia menawarkan persekitaran pelaburan yang stabil, selamat dan berasaskan kedaulatan undang-undang.
KLSCAH juga berpandangan bahawa Malaysia mempunyai kelebihan daya saing yang kukuh dalam sektor perkhidmatan kewangan Islam, dengan rangka tadbir urus serta ekosistem tenaga profesional yang matang. Di samping kedudukan geografi negara yang jauh daripada kawasan konflik, Malaysia berpotensi menjadi destinasi alternatif bagi aliran modal antarabangsa yang mencari perlindungan risiko. Namun demikian, pembangunan sektor ini wajar dilaksanakan secara inklusif dan tidak tertumpu semata-mata kepada pasaran halal atau kecenderungan konservatisme agama, agar manfaatnya dapat meningkatkan kecairan domestik serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat.
Sehubungan itu, KLSCAH menggesa semua pihak agar melihat usaha diplomasi kerajaan ini secara rasional dan melangkaui kerangka politik perkauman yang sempit, dengan menilai potensi manfaat ekonomi yang boleh dibawa kepada negara. Lebih-lebih lagi dalam keadaan harga minyak dunia yang tidak menentu ketika ini, kerajaan terpaksa melaksanakan langkah penjimatan bagi mengekalkan subsidi bahan api. Oleh itu, usaha menarik pelaburan asing, memperluas aktiviti pelaburan serta menurunkan kos pembiayaan bagi sektor perniagaan adalah amat penting.
Pada masa yang sama, KLSCAH menggesa kerajaan memastikan bahawa hasil diplomasi tersebut benar-benar dapat diterjemahkan kepada penciptaan peluang pekerjaan serta peningkatan taraf hidup rakyat. Dalam membangunkan sektor kewangan Islam, kerajaan juga perlu terus berpegang kepada prinsip masyarakat majmuk dan tadbir urus sekular yang menjadi asas negara, serta mengekalkan persekitaran ekonomi pasaran bebas agar sebarang dasar yang diperkenalkan tidak menjejaskan kepentingan masyarakat bukan Islam.
The Kuala Lumpur And Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)

中文
EN