Pada awal abad ke-20, pemimpin-pemimpin masyarakat Cina mencadangkan penubuhan Dewan Perhimpunan China Selangor (DPCS) bagi memainkan peranan sebagai pusat perhubungan persatuan-persatuan Cina di Kuala Lumpur dan Selangor. Sebelum ini, Loke Yew dengan Kapitan Yap Kwan Seng telah berjaya memperoleh sebidang tanah daripada kerajaan untuk tujuan membina bangunan Pejabat Urusan Timah Selangor (kini digelar sebagai Persatuan Pelombong-Pelombong Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) dan tempat kediaman kuli-kuli yang baru tiba di negara ini. Tanah ini akhirnya digunakan untuk membina sebuah bangunan persatuan-persatuan kaum Cina. Namun cadangan tersebut ditangguhkan sehingga tahun 1920-an apabila perang Eropah berlaku dan ekonomi dunia meleset. Pada tahun 1923, Persidangan Masyarakat Cina Selangor diadakan di Pejabat Urusan Timah Selangor. Mesyuarat itu bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan penubuhan DPCS dan ia berjaya ditubuhkan secara rasmi apabila para hadirin bersetuju dengan cadangan tersebut.
DPCS boleh dianggap sebagai “asas” bagi pertubuhan persatuan-persatuan Cina di Selangor dan Kuala Lumpur, sebelum tertubuhnya Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia atau Huazong. Ia merupakan satu tanda wakil masyarakat Cina serta sedia berkhidmat kepada negara serta masyarakat majmuk setempat. DPCS menjadi “tempat rujukan” dewan perhimpunan China seluruh negara kerana lokasinya yang strategik di ibu kota negara yang merupakan pusat politik, ekonomi dan pendidikan negara. Pada tahun 2007 sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-50, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mengumumkan senarai Warisan Kebangsaan dan Bangunan DPCS merupakan bangunan pertubuhan Cina yang pertama di Malaysia mendapat anugerah ini.
Namun pada tahun 2003, sebilangan ahli yang keluar dari DPCS telah mendaftarkan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dalam tempoh amat singkat. Memandangkan perkara ini amat serius, lembaga pengarah DPCS mengadakan mesyuarat untuk membincangkan penyelesaian. Selepas itu, lembaga pengarah mengikut konsensus dan usul yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung, mengutuskan surat kepada Pendaftar Pertubuhan untuk menyampaikan bahawa DPCS dan masyarakat Cina membantah penubuhan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan meminta untuk membatalkan pendaftarannya. Kemudian, Pendaftar Pertubuhan meluluskan pindaan perlembagaan Dewan Perhimpunan. Maka, nama Dewan Perhimpunan ditukar daripada “Dewan Perhimpunan China Selangor” kepada “Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor” (DPCKLS) pada tahun 2006.
Pada tahun 2013, sekali lagi terdapat anggota pertubuhan Cina mendaftarkan “Dewan Perhimpunan Cina Wilayah Persekutuan” dengan Pendaftar Pertubuhan. Dengan slogan “Melindungi Budaya Berpersatuan yang Sihat, Membanteras Gejala Negatif Masyarakat Cina”, DPCKLS menganjurkan sesi taklimat “Membantah Penubuhan Dewan Perhimpunan Cina Wilayah Persekutuan” untuk membolehkan pelbagai lapisan masyarakat memahami keseriusan isu ini. Usaha ini mendapat sokongan daripada pelbagai pertubuhan Cina dan pemimpin mereka.
Tahun | Perkara | Pengenalan ringkas |
---|---|---|
Awal abad ke- 20 | Loke Yew, Choo Kia Peng, Cheong Yoke Choy dan pemimpin-pemimpin masyarakat Cina yang lain mencadangkan penubuhan pertubuhan ini dan memohon kepada kerajaan supaya sebidang tanah diperuntukkan untuk membina bangunan pertubuhan. | Loke Yew, Choo Kia Peng, Cheong Yoke Choy, pemimpin-pemimpin masyarakat Cina yang lain mencadangkan penubuhan pertubuhan ini. Loke Yew dengan murah hati menyumbangkan 50,000 Dolar Selat sebagai tabung permulaan untuk menggalakkan dermaan. Sebelum ini beliau dengan Kapitan Yap Kwan Seng telah berjaya memperoleh sebidang tanah daripada kerajaan untuk tujuan membina bangunan Pejabat Urusan Timah Selangor (kini digelar sebagai Persatuan Pelombong-Pelombong Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) dan tempat kediaman kuli-kuli yang baru tiba di negara ini. Tanah ini akhirnya digunakan untuk membina sebuah bangunan persatuan-persatuan kaum Cina. |
1923 | Dewan Perhimpunan China Selangor (DPCS) ditubuhkan secara rasmi. | Setelah ekonomi berpulih, pemimpin-pemimpin yang dilantik untuk menyempurnakan harapan Loke Yew seperti Choo Kia Peng, Cheong Yoke Choy, Low Leong Gan telah mengadakan Persidangan Masyarakat Cina Selangor di Pejabat Urusan Timah Selangor. Mesyuarat itu bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan penubuhan sebuah persatuan pimpinan kaum Cina. Dewan Perhimpunan China Selangor (DPCS) ditubuhkan secara rasmi apabila para hadirin bersetuju dengan cadangan penubuhan tersebut. Selain itu, mereka juga memutuskan bahawa dewan utama dinamakan sebagai “Dewan Loke Yew” demi memperingati wawasan dan sumbangan Loke Yew. |
1933 | Mesyuarat pemegang amanah bersetuju supaya menjemput wakil-wakil dari 22 pertubuhan di Selangor dan Kuala Lumpur untuk mendirikan Jawatankuasa DPCS. | Mesyuarat pemegang amanah bersetuju supaya menjemput wakil-wakil daripada Persatuan Kwong Siew, Persatuan Hokkien, Persatuan Fui Chiu, Persatuan Kwangsi, Persatuan Teochew Poit Ip, Persatuan Poon Yu, Persatuan Chung Shan, Persatuan Tong On, Persatuan Wui Leng, Persatuan Sam Shui, Persatuan Foochow, Persatuan Eng Choon, Persatuan Char Yong, Persatuan Ka Yin, Persatuan Chakkai, Persatuan Kheng Chiu, Dewan Perniagaan dan Industri Cina, Persatuan Selangor Bijih Timah dan Persatuan Getah untuk mendirikan Jawatankuasa DPCS. Persatuan An Xi, Zeoi Loke Dramatic Association dan Persatuan Opera Yan Keng juga dijemput dan menghantar wakil menyertai Jawatankuasa DPCS. Justeru itu, 22 pertubuhan ini bertanggungjawab untuk mengurus DPCS sehingga awal abad 1950-an. |
1934 | DYMM Sultan Selangor memperuntukkan geran tanah kepada DPCS. | Geran tanah DPCS telah diluluskan oleh Residen Kaunselor Mr. Adams sebagai wakil Sultan Selangor. Geran ini sah selama 100 tahun sehingga 20 Julai 2034. Pemegang amanah ialah Cheong Yoke Choy, Low Leong Gan, Alan Loke (Loke Wan Wye) dan G. R. Sykes. |
DYMM Sultan Selangor merasmikan bangunan DPCS. | DPCS menjemput DYMM Sultan Selangor Sultan Alaeddin Sulaiman Shah untuk merasmikan bangunan DPCS yang telah siap sepenuh. Kos pembinaan berjumlah 200,000. | |
1935 | Lembaga Pengarah pertama mengambil jawatan. Cheong Yoke Choy terpilih sebagai presiden pertama (1935-1948). | Perlembagaan DPCS telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Lembaga Pengarah DPCS terdiri daripada wakil-wakil 22 pertubuhan yang dijemput dan Cheong Yoke Choy terpilih sebagai presiden pertama. |
1942 | DPCS berhenti urusan sepanjang tempoh pendudukan Jepun. | Tentera Jepun menyerang semenanjung Tanah Melayu dan Kuala Lumpur jatuh ke dalam tangan Jepun. Pertempuran ini mengakibatkan DPCS terpaksa berhenti urusan. Golongan pro-Jepun menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Pusat Kuala Lumpur dan menjadikan bangunan DPCS sebagai tapak operasinya. Pada masa itu, masyarakat Cina di Singapura dan Malaya diarah memberi 50 juta Dolar Selat sebagai syarat supaya Jepun menghentikan rampasan harta dan pembunuhan beramai-ramai. Negeri Selangor harus menanggung 10 juta daripada jumlah tersebut. DPCS menentukan bagaimana penduduk-penduduk Cina berkongsi beban tersebut. Dalam tempoh pendudukan Jepun yang selama tiga tahun dan lapan bulan, semua keputusan mengenai hal ehwal yang melibatkan orang Cina di Selangor (ada juga melibatkan seluruh negara) adalah dicapai di DPCS. |
1945 | Urusan DPCS berpulih setelah Jepun menyerah kalah. | Pada 15 Ogos, Maharaja Jepun mengumumkan penyerahan kalah tanpa syarat. Sorakan kemenangan merebak di seluruh Tanah Melayu dan Singapura. Urusan DPCS berpulih. Tentara Jepun mengadakan hasutan sehingga konflik etnik berlaku sekali-sekala di semenanjung Tanah Melayu. Sebaik sahaja berpulih urusan, DPCS dijemput juga untuk mengambil bahagian dalam pengantaraan terhadap kes pembunuhan orang Cina di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Memandangkan keharmonian antara kaum adalah penting untuk menjamin keamanan dan ketenteraman masyarakat, DPCS telah bersetuju untuk memikul tanggungjawab ini. |
1956 | Mengadakan Persidangan Pertubuhan- pertubuhan Cina Berdaftar di Persekutuan Malaya Untuk Menuntut Kelayakan Kewarganegaraan. | Lima pertubuhan utama iaitu DPCS, Jiao Zong, Gabungan Ikatan Persatuan Cina Selangor, Dewan Perhimpunan China Perak dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Melaka telah bersama-sama mengadakan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Cina Berdaftar di Persekutuan Malaya Untuk Menuntut Kelayakan Kewarganegaraan. Persidangan itu diadakan di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur. Semua usul dalam persidangan tersebut telah diluluskan sebulat suara oleh lebih daripada 1,200 wakil yang mewakili 454 buah pertubuhan utama di Malaysia. Bukan itu sahaja, Lim Lian Geok juga dimandatkan untuk menggubal Deklarasi Persidangan. Di samping itu, Choe Yew Fai dan Leong Chi Cheong melobi di seluruh negara supaya pertubuhan-pertubuhan Cina berdaftar menandatangani Deklarasi tersebut sebagai tanda sokongan. Sejumlah 1,094 buah pertubuhan telah menandatangani Deklarasi itu, bersamaan kira-kira 89% daripada jumlah bilangan pertubuhan Cina pada masa itu. |
1958 | Membantu permohonan kelayakan kewarganegaraan dan pendaftaran pemilih. | Selepas Kemerdekaan, kerajaan telah menetapkan tempoh keutamaan permohonan kelayakan kewarganegaraan iaitu dari 1 September 1957 hingga 31 Ogos 1958. Permohonan untuk menjadi warganegara telah menjadi tugas mendesak bagi masyarakat Cina memandangkan tempoh keutamaan ini hanya setahun. Cawangan-cawangan Malaysian Chinese Association (MCA) dan pertubuhan Cina tertinggi di negeri-negeri berganding bahu untuk membantu penduduk-penduduk Cina memohon kelayakan kewarganegaraan. Ibu pejabat Jawatankuasa Kerja Selangor terletak di DPCS. Semasa tamat tempoh keutamaan permohonan kewarganegaraan, sejumlah 700,000 orang Cina di Kuala Lumpur dan Selangor telah memperoleh kelayakan kewarganegaraan. |
1969 | Peristiwa 13 Mei. | Rusuhan serius berlaku di beberapa tempat di Kuala Lumpur sekitar pukul tujuh petang, 13 Mei. Kerajaan mengambil tindakan keras untuk mengawal keadaan dan mengisytiharkan perintah darurat dengan segera. Stadium Chin Woo, Stadium Negara dan Stadium Merdeka telah dipinjam oleh kerajaan sebagai tempat perlindungan sementara untuk mangsa-mangsa rusuhan. Pada hari ketiga rusuhan, presiden DPCS Lee Yoon Thim menghadiri mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri untuk membincangkan pengendalian masalah-masalah bekalan makanan dan bantuan. Sebagai pertubuhan Cina utama di Selangor, DPCS turut menjadikan bangunannya sebagai stesen bantuan mangsa dan juga sebagai salah satu terminal pengangkutan dan penyimpanan makanan. Pegawai-pegawai tentera dan polis juga ditempatkan di DPCS. Selain itu, mangsa-mangsa yang rumah mereka termusnah dapat mendaftar di DPCS untuk memohon rumah pangsa yang disediakan kerajaan. DPCS adalah salah satu stesen bantuan mangsa daripada tujuh stesen bantuan mangsa yang disediakan oleh kerajaan. Terdapat ramai mangsa datang ke DPCS untuk mendapatkan makanan sepanjang tempoh kesusahan itu. |
1974 | Menyokong kempen kebangkitan sekolah-sekolah menengah persendirian Cina. | DPCS menghantar surat kepada semua ahli lembaga pengarah supaya menyokong kempen kebangkitan sekolah-sekolah menengah persendirian Cina dan menderma untuk membantu pembangunan sekolah-sekolah menengah persendirian Cina. |
1975 | DPCS disusun semula menjadi “Dewan Perhimpunan China Syarikat Berhad dengan Jaminan”. | Pada peringkat awal penubuhan DPCS, tiada sistem kealihan disediakan dan semua orang Cina layak menyertai dan menjadi ahli. Ketika bangunan DPCS disempurnakan pada tahun 1933, DPCS menjemput pertubuhan-pertubuhan Cina utama untuk menyertai jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal DPCS. Namun, kini terdapat lebih daripada seribu pertubuhan Cina di Selangor, DPCS mungkin dianggap sebuah pertubuhan yang bersikap tertutup dan tidak maju sekiranya ia terus diuruskan oleh hanya 22 pertubuhan. Oleh itu, lembaga pengarah memutuskan untuk menyusun semula DPCS sebagai “Dewan Perhimpunan China Syarikat Berhad dengan Jaminan”. Langkah ini bukan sahaja membolehkan semua pertubuhan Cina di Selangor memohon untuk menjadi ahli, malah menjadi penyediaan untuk projek pembinaan bangunan bertingkat dua puluh dua. |
1983 | Mengetuai “Lima Belas Pertubuhan Cina” untuk mengemukakan Memorandum Kebudayaan Kebangsaan. | Presiden DPCS, Khoo Seong Chi mengetuai “Lima Belas Pertubuhan Cina” iaitu pertubuhan-pertubuhan Cina utama di 13 negeri, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysi (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) untuk mengemukakan Memorandum Kebudayaan Kebangsaan kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Enam hari kemudian, ketua jawatankuasa kebudayaan dan pendidikan DPCS, Cheong Jing Leong telah mengetuai wakil-wakil “Lima Belas Pertubuhan Cina” untuk berdialog dengan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Anwar Ibrahim supaya menukar pandangan tentang isu kebudayaan kebangsaan. |
1985 | Mengeluarkan Deklarasi Bersama Pertubuhan-pertubuhan Cina Kebangsaan. | Deklarasi Bersama Pertubuhan-pertubuhan Cina Kebangsaan yang merangkumi isu-isu politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan itu adalah hasil daripada ahli-ahli pakar dan akademik yang diundang oleh dari Centre for Malaysian Chinese Studies. Deklarasi ini telah diterima oleh “Lima Belas Pertubuhan Cina” dan diumumkan oleh presiden DPCS, Khoo Seong Chi. |
Jenazah Lim Lian Geok ditempatkan di DPCS untuk orang awam tampil memberi penghormatan. | Lim Lian Geok, seorang pejuang pendidikan Cina yang berwibawa telah meninggal dunia pada 18 Disember 1985. DPCS bersama-sama dengan “Lima Belas Pertubuhan Cina” telah menubuhkan jawatankuasa pengebumian demi menguruskan hal ehwal pengebumian beliau. Selain itu, jenazah beliau telah juga ditempatkan di DPCS untuk orang awam tampil memberi penghormatan terakhir. | |
1987 | Tercetus skandal Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad (KSM) menyebabkan kerugian besar dalam kalangan masyarakat Cina. DPCS bergabung dengan pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan untuk menghulurkan bantuan. | Berlakunya peristiwa bergelora koperasi-koperasi yang melanda seluruh negara pada penghujung tahun sebelum itu, dengan ramai rakyat pertengahan dan bawahan menjadi mangsa. Presiden DPCS, Cheong Jing Leong, menghimpunkan Centre for Malaysian Chinese Studies, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong, Jawatankuasa Hak Sivil Pertubuhan Cina Negeri Johor, Koperasi Mewah, Keperasi Bersatu, Koperasi Hoklian, Jawatankuasa Penaja Mempertahankan Hak Pendeposit Koperasi dan sebagainya, bersama dengan pengamal guaman, untuk membincangkan cara untuk menangani masalah, dan mengeluarkan kenyataan yang bertajuk “Cara Penyelesaian Menyeluruh untuk Isu Koperasi”. Selain itu, DPCS juga menjalankan kerja pendaftaran pendeposit koperasi dan pengumpulan maklumat, pada masa yang sama, menyediakan 13 orang peguam selama enam hari untuk memberi perkhidmatan guaman secara percuma kepada mangsa-mangsa skandal. |
Perhimpunan Tokong Thean Hou untuk Mempertahankan Pendidikan Cina. | Kementerian Pendidikan menghantar 200 orang guru yang tidak mempunyai kelayakan Bahasa Cina atau tidak faham Bahasa Cina untuk memegang jawatan tinggi di sekolah-sekolah Cina. Pada 11 Oktober, pertubuhan-pertubuhan Cina di seluruh negara dan tiga buah parti politik majoriti Cina mengadakan perhimpunan bantahan di Tokong Thean Hou. Cheong Jing Leong selaku presiden DPCS menjadi pengerusi majlis perhimpunan ini. Lebih 3,000 orang wakil dari seluruh negara, membantah sekeras-kerasnya niat yang cuba menghakis sekolah-sekolah Cina, dan dengan sebulat suara menuntut kepada pihak berkuasa supaya mengalihkan mereka yang tidak layak. | |
Memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin pertubuhan Cina yang ditahan dalam “Operasi Lalang”. | Pemuda UMNO menganggap Perhimpunan Tokong Thean Hou menjejaskan maruah kaum Melayu dan menganjurkan perhimpunan di Stadium Merdeka pada 1 November yang menghimpunkan 50,000 orang untuk menyambut ulang tahun penubuhan UMNO di samping menunjukkan kekuatannya. Suasana tegang menyelubungi seluruh negara. Tidak lama kemudian, pihak kerajaan melancarkan “Operasi Lalang” yang melibatkan penahanan besar-besaran dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) . Seramai 106 orang daripada berbilang kaum ditahan, termasuk aktivis pendidikan Cina seperti Pengerusi Dong Zong, Lim Hong Seng, Pengerusi Jiao Zong, Sim Mow Yu, Timbalan Pengerusi Jia Zong Tuang Pik King dan Pengarah Centre for Malaysian Chinese Studies, Kua Kia Soong. Tiga suratkhabar diarahkan untuk menghentikan penerbitan. Presiden DPCS, Cheong Jing Leong walaupun tidak ditahan, tetapi dengan serta-mertanya memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan tahanan dan menenangkan keluarga mereka. DPCS menjadi pusat untuk kempen pembebasan tahanan. | |
1988 | Rombongan “Lima Belas Pertubuhan Cina” yang diketuai oleh Presiden DPCS menyerahkan “Memorandum ‘Lima Belas Pertubuhan Cina’ Mengenai Semakan Akta Pendidikan 1961” kepada Kementerian Pendidikan. | Pada tahun 1987, khabar angin tentang pindaan terhadap Akta Pendidikan 1961 tersebar luas. Presiden Cheong Jing Leong memanggil mesyuarat tergempar bersama “Lima Belas Pertubuhan Cina”, untuk mendengar pandangan semua mengenai isu tersebut. Mesyuarat tersebut memutuskan untuk menubuhkan “Jawatankuasa Bertindak Prihatin terhadap Rancangan Kementerian Pendidikan untuk Pindaan Akta Pendidikan 1961” dan mengemukakan “Memorandum ‘Lima Belas Pertubuhan Cina’ Mengenai Semakan Akta Pendidikan 1961” kepada Kementerian Pendidikan. |
1989 | Menyerahkan “Memorandum Asas dan Cadangan berkenaan Dasar Ekonomi Negara Pasca 1990” kepada kerajaan. | Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan mulai tahun 1970 akan tamat tempohnya pada tahun 1990. Kerajaan menubuhkan sebuah badan yang digelar “Jawatankuasa Perundingan Dasar Ekonomi Negara” untuk mendengar dan mengumpul pandangan pelbagai pihak berkenaan dengan halatuju sektor ekonomi negara pasca 1990. Oleh yang demikian, DPCS bekerjasama dengan Dong Jiao Zong untuk menyediakan “Memorandum Asas dan Cadangan berkenaan Dasar Ekonomi Negara Pasca 1990” dan diserahkan kepada Jawatankuasa tersebut untuk menyampaikan pandangannya. |
Pertubuhan-pertubuhan Cina Malaysia ditubuhkan. | Sejak Lee Yan Lian menjadi presiden DPCS pada tahun 1975, beliau mencadangkan untuk menggabungkan tenaga pertubuhan-pertubuhan Cina untuk menubuhkan “Badan Umum Pertubuhan-pertubuhan Cina Kebangsaan” demi berganding bahu menggerakkan usaha kebudayaan dan pendidikan masyarakat Cina, di samping menyatukan pendirian untuk mengemukakan pelbagai tuntutan kepada kerajaan. Namun, oleh sebab diganggu oleh faktor-faktor politik pada ketika itu, hasrat ini tidak dapat direalisasikan. Pada tahun 1982, DPCS memperbaharu usaha untuk menubuhkan Persekutuan Pertubuhan-pertubuhan Cina Malaysia (Tang Lian), dan mendapat sambutan daripada pertubuhan-pertubuhan pimpinan Cina di setiap negeri. Jawatankuasa Persediaan ditubuhkan di DPCS, dan menerima draf perlembagaan Tang Lian yang disediakan oleh DPCS. Pada 20 Februari 1983, Jawatankuasa Persediaan mengemukakan permohonan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan. Permohonan itu ditandatangani bersama oleh pengerusi Jawatankuasa Persediaan, Khoo Seong Chi (Presiden DPCS) dan setiausaha, Wee Khoon Hock (Dewan Perhimpunan China Kelantan). Selepas usaha berterusan selama lapan tahun, pendaftaran akhirnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. | |
1998 | Membantah peristiwa anti-Cina di Indonesia. | Rusuhan tercetus di Jakarta, Indonesia. Banyak kedai orang Cina dan pusat beli-belah dirompak dan dibakar. Lebih mengerikan adalah lebih seratus orang wanita cina dirogol, adanya diseksa sampai mati. Bahagian Wanita DPCS mengeluarkan kenyataan untuk mengecam tindakan kejam ini. DPCS mengadakan perhimpunan bantahan. Sebanyak 77 buah pertubuhan Cina dan badan bukan kerajaan menghantar wakil untuk menyertai tindakan bantahan ini, meluluskan sebulat suara dan menandatangani surat bantahan yang disediakan oleh DPCS. Ngan Ching Wen memimpin rombongan yang terdiri daripada Bahagian Wanita, Bahagian Pemuda, Jawatankuasa Hak Sivil dan Jawatankuasa Sosio-Ekonomi untuk menyerahkan surat bantahan kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia. Selepas tindakan tersebut dilaporkan dalam media antarabangsa, masyarakat sivil di Hong Kong, Taiwan, Eropah dan Amerika Syarikat turut mengecam kerajaan Indonesia. Oleh sebab tekanan antarabangsa, tentera Indonesia baru menghentikan kekejamannya. |
1999 | Pertubuhan-pertubuhan bekerjasama membantu mangsa dalam industri penternakan khinzir akibat perebakan penyakit virus Nipah. | Jangkitan virus Nipah tercetus di ladang penternakan khinzir di Sungai Nipah, Negeri Sembilan. Wabak ini mengakibatkan lebih 100 orang mati di seluruh negara, ribuan orang terpaksa meninggalkan kampung halaman, dan khinzir serta kemudahan bernilai beratus juta ringgit dimusnahkan. Kehilangan yang teruk ini menjadikannya bencana penternakan yang paling serius dalam sejarah Malaysia. DPCS mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah, memutuskan sebulat suara untuk menubuhkan “Jawatankuasa Bersama Pertubuhan Cina Kebangsaan untuk Membantu Mangsa-mangsa Industri Penternakan Khinzir” secara bersama dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Persekutuan Persatuan-persatuan Hokkien Malaysia, Dewan Perhimpunan China Negeri Sembilan, Nanyang Siang Pau, China Press dan Sin Chew Jit Poh. Jawatankuasa ini membantu mangsa-mangsa untuk menghadapi kesukaran. Selain melawat kawasan bencana untuk memahami keadaan dan mengunjungi mangsa, Jawatankuasa juga mengutip dana untuk membantu mangsa. Pada masa yang sama mengaturkan pakar untuk mengkaji secara mendalam tentang keadaan kawasan bencana dan latar belakang insiden ini, dan menerbitkan maklumat yang dikumpul dalam “Pengumpulan Maklumat dan Laporan Siasatan tentang Peristiwa Penyakit Radang Otak Penternak Khinzir”. |
Mengemukakan Tuntutan Pilihanraya, menyampaikan aspirasi dan pandangan rakyat. | Pilihan raya Umum ke-10 pada tahun 1999, sebanyak 2095 buah pertubuhan menandatangani “Tuntutan Pilihan Raya Pertubuhan-pertubuhan Cina Malaysia” (Suqiu), atas pendirian multi-etnik dan berlandaskan kepentingan negara, untuk mengemukakan pandangan rakyat jelata berkenaan dengan isu-isu negara. Tuntutan ini mendapat “penerimaan secara prinsip” daripada Kerajaan Barisan Nasional dan sokongan daripada parti-parti pembangkang. Namun, setahun selepas itu, Pemuda UMNO mendesak Jawatankuasa Kerja Suqiu untuk menarik balik 17 tuntutan dan meminta maaf dengan golongan Bumiputera dan mengugut untuk membakar bangunan DPCS sekiranya tidak berbuat demikian dalam tempoh seminggu. Selain itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad juga menyamakan Jawatankuasa Kerja Suqiu dengan Parti Komunis Malaya dan Al-Maunah. Walaupun peristiwa ini tidak dijangka oleh Jawatankuasa Kerja dan masyarakat Cina, tetapi DPCS masih tegas dengan pendirian, tidak meminta maaf dan tidak menarik balik tuntutan. | |
2000 | Mempertahankan tanah perkuburan Kuala Lumpur daripada perpindahan. | Pada tahun 1998, oleh sebab Kerajaan menganggap tanah perkuburan Jalan Dewan Bahasa yang terletak di pusat bandar menjejaskan pemandangan bandar, mengumumkan untuk mengambil balik tanah perkuburan bagi tujuan pembangunan. Ini menimbulkan bantahan hebat daripada masyarakat cina. Kelompok tanah perkuburan Kuala Lumpur terdiri daripada perkuburan lapan kumpulan etnik dan agama yang berbeza, mempunyai ciri-ciri kepelbagaian budaya dan agama. Ia bukan sahaja bukti sejarah usaha penerokaan masyarakat cina di Kuala Lumpur, malah juga peparu hijau di tengah-tengah bandaraya dengan bangunan-bangunan tinggi. Untuk mempertahankan kelompok tanah perkuburan yang penuh dengan nilai kemanusiaan ini, DPCS bersama dengan pihak pengurusan tanah perkuburan di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur untuk menubuhkan “Jawatankuasa Mempertahankan dan Mencantikkan Tanah Perkuburan Cina”. Pada tahun itu, Jawatankuasa Kerja Tuntutan Pilihanraya Umum Pertubuhan-pertubuhan Cina Malaysia dan Pemuda DPCS menganjurkan lawatan sambil belajar di tanah perkuburan untuk pelajar-pelajar dan mereka yang daripada kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang untuk memahami makna dan kepentingan dalam mengekalkan tanah perkuburan. Perhimpunan Pertubuhan-pertubuhan Cina Selangor dan Kuala Lumpur untuk Mempertahankan Tanah Perkuburan juga diadakan. Kabinet akhirnya tunduk pada kehendak rakyat dan memutuskan dalam mesyuarat Kabinet untuk tidak memindah tanah perkuburan. Selepas itu, Jawatankuasa Kerja menyerahkan memorandum yang ditandatangani 363 buah pertubuhan berbilang kaum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, untuk meminta kepada pihak berkuasa supaya menyenaraikan tanah perkuburan sebagai warisan budaya, di samping membantu dalam kerja-kerja pencantikan. |
2001 | Mempertahankan kebebasan akhbar, membantah pengambilalihan media oleh parti politik. | MCA melalui sayap perniagaannya, Huaren Holdings mengambilalih Nanyang Press Holdings telah menyebabkan bantahan hebat daripada masyarakat Cina. Ramai penulis dan pengamal media berhenti menyumbangkan tulisan sebagai tanda bantahan akan ruang kebebasan bersuara yang disekat. DPCS mengeluarkan kenyataan bersama dengan pertubuhan-pertubuhan Cina, berpandangan bahawa ini merupakan campur tangan parti politik dalam mengawal kebebasan akhbar, menyeru kepada MCA untuk menghormati masyarakat Cina dan menghentikan tindakan pengambilalihan syarikat akhbar. Pada 28 Mei, Huaren mengambilalih Nanyang Siang Pau dan China Press. Selepas itu, “Jawatankuasa Kerja Pertubuhan-pertubuhan Cina Kebangsaan Membantah Pengambilalihan Nanyang Press Holdings oleh Parti Politik” ditubuhkan, dengan presiden DPCS Ngan Ching Wen sebagai pengerusi. Jawatankuasa Kerja menganjurkan Perhimpunan Wakil Pertubuhan-pertubuhan Cina Kebangsaan dan meluluskan usul membantah pengambilalihan media oleh parti politik. Namun, dalam Mesyuarat Agung Khas MCA, usul menyokong pengambilalihan media diluluskan dengan perbezaan undi yang kecil. Adalah menjadi kenyataan bahawa industri akhbar Cina di negara kita telah diculik. |
Menyokong Gerakan Mempertahankan SJKC Damansara. | Peristiwa perpindahan SJKC Damansara disebabkan oleh pilih kasih mengikut kaum dalam dasar pendidikan negara, sehingga jumlah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina tidak mencukupi di kawasan bandar, tidak dapat menambahkan bilangannya mengikut keperluan penduduk. Pada masa yang sama pelbagai sekatan telah dikenakan kepada perpindahan SJKC dan pembinaan sekolah cawangan. Sekumpulan penduduk kampung yang mencintai SJKC Damansara, di bawah bantuan masyarakat dari pelbagai latar belakang, menubuhkan Jawatankuasa Kerja Mempertahankan Sekolah, untuk mempertahankan sekolah asal SJKC Damansara yang terletak di dalam komuniti Kampung Baru Damansara. Gerakan SJKC Damansara berjaya mendapat sokongan daripada rakyat berbilang kaum di Malaysia. Mahasiswa-mahasiwa berbilang kaum yang berkesedaran sosial melawat SJKC, mendengar pandangan dan pengalaman penduduk kampung. Gerakan ini mewujudkan reaksi hebat dalam masyarakat, menjadikannya tumpuan di dalam dan luar negara. Dewan Perhimpunan yang memegang teguh pada pendirian mempertahankan pendidikan bahasa ibunda, secara proaktifnya menyokong perjuangan Jawatankuasa Mempertahankan SJKC Damansara, termasuk menganjurkan kempen mengutip tandatangan, sesi taklimat, menggantung sepanduk, mendirikan papan tanda, menyebarkan risalah, mengadakan lawatan berkumpulan dan menyokong kempen derma seorang seringgit, untuk memecahkan pemulauan media terhadap isu ini. | |
2003 | Membantah pendaftaran dan penubuhan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur. | DPCS amat terkejut dengan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur mendapat pendaftaran dalam tempoh amat singkat iaitu sepuluh hari sahaja. Memandangkan perkara ini amat serius, lembaga pengarah DPCS mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan penyelesaian. Selepas itu, lembaga pengarah mengikut konsensus dan usul yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung, mengutuskan surat kepada Pendaftar Pertubuhan untuk menyampaikan bahawa DPCS dan masyarakat Cina membantah penubuhan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan meminta untuk membatalkan pendaftarannya. |
2006 | Menukar nama kepada “Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor”. | Pendaftar Pertubuhan meluluskan pindaan perlembagaan Dewan Perhimpunan. Maka, nama Dewan Perhimpunan ditukar daripada “Dewan Perhimpunan China Selangor” kepada “Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor” (DPCKLS). |
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyenaraikan bangunan DPCKLS dalam senarai “50 Warisan Kebudayaan Negara yang pertama”. | Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-50, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mengumumkan senarai Warisan Kebudayaan Negara yang pertama. Bangunan DPCKLS merupakan bangunan pertubuhan Cina yang pertama di Malaysia mendapat anugerah ini. | |
2009 | Membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). | Gabungan Membantah PPSMI menganjurkan perhimpunan besar-besaran, lebih 10,000 orang berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agung, dengan harapan Baginda bersetuju dengan pemansuhan PPSMI dan kembali menggunakan bahasa ibunda dalam pengajaran. |
Upacara menurunkan papan tanda “SJKC Damansara sudah ditutup selama 2926 hari”. | SJKC Damansara (sekolah asal) yang ditutup oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2001 dibuka semula pada tahun ini selepas usaha berterusan daripada penduduk Kampung Baru Damansara dan masyarakat umum untuk memperjuangkan sekolah cawangan dan mengekalkan sekolah asal. Oleh sebab hasrat untuk membuka semula sekolah asal SJKC Damansara sudahpun tercapai, DPCKLS mengadakan upacara menurunkan papan tanda “SJKC Damansara sudah ditutup selama 2926 hari” yang terpacak di balkoni tingkat satu bangunan DPCKLS. | |
2010 | Menubuhkan “Jawatankuasa Pro-tem Rancangan Tindakan Malaysia” (PoAM Pro-Tem Committee) | Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), presiden DPCKLS Tan Yew Sing dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Tindakan Dua Puluh Tahun Hua Zong. Selepas Tan mengambil alih jawatan itu, dengan pengalamannya dalam bidang akademik, beliau menghimpunkan lebih 40 orang pakar akademik berbilang kaum daripada latar belakang pendidikan yang berlainan, untuk menulis kertas kerja tentang pelbagai bidang. Dokumen yang dihasilkan, dengan tajuk “Mengubah Nasib Negara”, memperkenalkan program tindakan untuk peringkat pertama Rancangan Tindakan Malaysia (2010-2011). Dengan hasrat membantu pelaksanan program ini, DPCKLS mengadakan mesyuarat lembaga pengarah untuk memutuskan penubuhan “Jawatankuasa KLSCAH untuk Menggerakkan Rancangan Tindakan Dua Puluh Tahun”. Aktiviti pertama Jawatankuasa adalah bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan tanah perkuburan kawasan Kuala Lumpur dan Selangor untuk menganjurkan forum “Transformasi Penaiktarafan Tanah Perkuburan Bukan Keuntungan Masyarakat Sivil”, dengan menjemput pakar dari dalam dan luar negara untuk membentangkan ucapan, dan menerap pengalaman daripadanya, demi membolehkan kemajuan dalam kerja pengurusan tanah perkuburan di negara kita. |
2011 | Membantah pengambilan tanah oleh syarikat MRT di Jalan Sultan. | Di bawah rancangan MRT Kuala Lumpur Raya, syarikat Prasarana Malaysia ingin mengambil tanah di Jalan Sultan dan Jalan Petaling yang melibatkan hampir 30 buah rumah kedai, untuk membina sistem MRT. Tindakan ini dibantah oleh pengusaha kedai. DPCKLS berpandangan bahawa Jalan Petaling dan Jalan Sultan ialah jalan bandar yang dibangunkan sejak pertengahan abad ke-19, mempunyai sejarah melebihi seratus tahun dan kekal sibuk, menjadi tarikan bagi orang ramai dari dalam dan luar negara, dan merupakan landskap kemanusiaan yang unik. Lebih 100 orang wakil pertubuhan di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor menghadiri Taklimat Kecemasan Isu Jalan Sultan yang dianjurkan oleh DPCKLS, mengambil tindakan untuk menyokong empat tuntutan mempertahankan Jalan Sultan, termasuk “mengekalkan komuniti seratus tahun Jalan Sultan, menggunakan laluan pintasan MRT, mengadakan sesi pendengaran awam, dan membatalkan warta pengambilan tanah Jalan Sultan”. Selain itu, DPCKLS juga mula merancang aktiviti lawatan warisan kebudayaan di sekitar tempat itu demi membolehkan orang ramai lebih mengenali perkembangan dan nilai sejarah bandaraya Kuala Lumpur. |
2012 | Membantah Pelan Induk Pendidikan 2013-2025 dan menerbitkan “Pembaharuan Pendidikan Kebangsaan”. | DPCKLS dan 15 buah pertubuhan Cina mengeluarkan kenyataan akhbar berkenaan dengan Laporan Awal Pelan Induk Pendidikan 2013-2025, untuk menyampaikan pandangan masyarakat Cina terhadap laporan ini kepada Kementerian Pendidikan dan meminta Kementerian Pendidikan menghormati pandangan rakyat dengan meminda dasar yang tidak memanfaakan pendidikan kebangsaan. Pertubuhan-pertubuhan Cina kemudiannya menubuhkan kumpulan kerja khusus dan menerbitkan “Pembaharuan Pendidikan Kebangsaan: Penilaian dan Cadangan untuk Pelan Induk Pendidikan 2013-2025” selepas menjalani kajian dan analisis yang teliti demi berkongsi hasil kajian dengan pelbagai lapisan masyarakat. |
2013 | Membantah Menara Merdeka 118. | Oleh sebab tidak berpuas hati dengan tanah Taman Merdeka ditukar statusnya dan digunakan untuk pembinaan bangunan pencakar langit, kekurangan maklumat tentang bangunan, pelan reka cipta yang tidak diumumkan dan impak negatif terhadap kawasan bersebelahan, DPCKLS, Persatuan Hokkien Kuala Lumpur dan Selangor dan Persatuan Pertalian Chan She Shu Yuen menyerahkan surat bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di samping menggesa Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya bercampur tangan untuk menghentikan projek ini. Selain itu, DPCKLS juga merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Mempertahankan Taman Merdeka yang melancarkan Kempen “Katakan Tidak Pada Menara Merdeka 118”. |
2016 | Membantah penubuhan Dewan Perhimpunan Cina Wilayah Persekutuan. | Sekumpulan anggota pertubuhan Cina mendaftarkan “Dewan Perhimpunan Cina Wilayah Persekutuan” dengan Pendaftar Pertubuhan. Dengan slogan “Melindungi Budaya Berpersatuan yang Sihat, Membanteras Gejala Negatif Masyarakat Cina”, DPCKLS menganjurkan sesi taklimat “Membantah Penubuhan Dewan Perhimpunan Cina Wilayah Persekutuan” untuk membolehkan pelbagai lapisan masyarakat memahami keseriusan isu ini. Usaha ini mendapat sokongan daripada pelbagai pertubuhan Cina dan pemimpin mereka. |