KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditahan akan tetap meneruskan himpunan itu walaupun polis memberi amaran ia melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perkara itu disahkan Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki menerusi kenyataan hari ini, yang turut menyatakan perhimpunan terbabt dirancang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara, pada jam 11 pagi Sabtu ini.

Kenyataan jawatankuasa itu disokong Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Turut menyokong, kumpulan masyarakat sivil seperti Sekretariat Solidariti Rakyat, Pemuda Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Selangor dan Kuala (KLSCAH) serta Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Menurut jawatankuasa itu, perhimpunan berkenaan adalah platform untuk mendesak Azam ditahan serta-merta oleh pihak berkuasa, selain mendesak proses undang-undang ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen susulan dakwaan salah guna kuasa membabitkan pemilikan saham.

Katanya, setiap pemimpin dan anggota yang berjawatan tinggi harus berhenti bertindak atas kepentingan sendiri termasuk menipu dan menyeleweng untuk kekal berkuasa.

Kenyataan itu turut memaklumkan, amalan rasuah memberi kesan kepada rakyat pada waktu kos sara hidup serta harga barang giat meningkat, selain penduduk di lapan negeri terkesan banjir sedang terhimpit dengan cabaran memulakan semula kehidupan mereka tanpa bantuan kerajaan yang mencukupi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dilaporkan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan penganjuran perhimpunan di Dataran Merdeka mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis turut meminta orang ramai tidak menyertai atau menganjurkan sebarang perhimpunan kerana Fasa 4 PPN masih dikuatkuasakan di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur.

Dipetik dari Berita Harian
https://bit.ly/3AyZiRb

Tinggalkan Balasan