Pada 15hb Disember 2021, dua laporan berita melaporkan kemungkinan terdapat salah guna kuasa melibatkan isu saham yang dimiliki Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Azam Baki dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 9 Mac 2020.

Pihak Polis Diraja Malaysia telah mengesahkan bahawa terdapat laporan polis yang telah difailkan terhadap Azam Baki berhubung dengan kes ini dan perkara tersebut telah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Namun begitu, Azam Baki mengelak daripada menjawab isu struktural pembelian dan pemilikan saham tersebut. Sebaliknya, beliau memilih untuk memfailkan saman sebanyak RM10 juta terhadap wartawan yang menulis artikel berkait dengan tindakan Azam serta adiknya Nasir Baki.

Tekanan sebegini bersifat menutup cerita sebenar daripada terkeluar dan menimbulkan lebih banyak persoalan. Malah, Azam Baki bertindak menyalahgunakan nama dan jawatan Yang di-Pertuan Agong dengan berkata sebarang laporan berkait isu ini adalah tindakan menghina YDPA.

Pelbagai cadangan telah diketengahkan bagi menangani isu ini. Antaranya penstrukturan semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekaligus meletakkan SPRM di bawah Parlimen, mengubah komposisi anggota SPRM, Penubuhan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah serta usaha-usaha lain.

Walaupun begitu, semua ini sukar untuk terhasil sehingga proses undang-undang yang harus bermula dengan penangkapan Azam Baki oleh pihak berkuasa dilakukan dengan segera.

Jika ini tidak berlaku, kebarangkalian adalah tinggi untuk isu ini ditutup oleh Sang Penguasa.

Negara ini sudahpun diselubungi kesan parah rasuah selepas tindakan pencurian dan penyamunan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang telahpun dikenakan hukuman 12 tahun penjara serta dengan RM210 juta.

Penyakit rasuah memberi kesan pedih kepada rakyat pada waktu kos sara hidup serta harga barang giat meningkat. Tambahan pula, rakyat di 8 negeri yang terkesan banjir sedang terhimpit dengan cabaran memulakan semula kehidupan mereka tanpa bantuan kerajaan yang mencukupi.

Untuk mengelakkan episod rasuah daripada terus berulang, Jawatankuasa Tangkap Azam Baki mendesak supaya:

i) Azam Baki ditangkap dengan serta-merta oleh agensi penguatkuasa

ii) Proses undang-undang ke atas Azam Baki bermula dengan segera

iii)  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dirombak dan diletakkan di bawah Parlimen.

Setiap pemimpin dan anggota yang berjawatan tinggi harus berhenti bertindak atas kepentingan sendiri termasuk menipu dan menyeleweng untuk kekal berkuasa.

Rakyat sekian lama dibiarkan tanpa penjelasan yang memuaskan daripada kerajaan dan pihak berkuasa. Malah mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang sepatutnya bersidang pada 19 Januari ini bagi menyiasat Azam Baki juga telah ditangguhkan. Maka apakah jalan lain bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan dan memastikan mereka yang diberi amanah menjalankannya dengan bebas dan adil?

Justeru, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki akan turun ke jalan raya untuk berhimpun secara aman bagi menyatakan tuntutan rakyat supaya ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan rakyat dan negara.

Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk turut bersama pada jam 11:00 pagi Sabtu, 22hb Januari 2022 di hadapan Sogo, Kuala Lumpur.

Jika anda tidak bersama pada hari dan waktu tersebut, kibarkan bendera hitam dan gunakan tanda pagar #TangkapAzamBaki serta #RombakSPRM pada setiap posting media sosial anda.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki
Disokong oleh:
Kumpulan Masyarakat Sivil:
1. Sekretariat Solidariti Rakyat
2. Pemuda KLSCAH
3. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya
4. Jaringan Kebajikan Komuniti
5. Liga Rakyat Demokratik
6. Persatuan Pengundi Muda
7. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
8. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
9. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
10. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
11. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM
12. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
13. Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT)
14. Community Action Network (CAN)
15. Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
16. Sabah Reform Initiative (SARI)
17. Terabai Kenyalang Heritage Association of Sarawak (TKHAS)

Parti-parti Politik:
1. Angkatan Muda Keadilan
2. DAPSY Malaysia
3. Pemuda Amanah
4. Pemuda HARAPAN
5. PEJUANG Muda
6. Pejuanita Muda
7. Pemuda Sosialis
8. MUDA

Gambar: Twitter Tangkap Azam Baki

Tinggalkan Balasan