Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) berperdirian bahawa keputusan melarang penjualan  minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan “minuman keras yang dianggap tidak berkaitan dengan perubatan” di kedai ubat Tionghua oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikuatkuasa mulai 1 November 2021 adalah dasar yang tidak adil terhadap perdagangan runcit tradisional di sekitar Kuala Lumpur.

Pihak kami juga bimbang bahawa pelaksanaan Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) ini akan diikuti oleh kerajaan tempatan di negeri-negeri lain dan menjejaskan perkembangan sektor perdagangan runcit di Malaysia.

Sebelum ini, penguatkuasaan garis panduan berkenaan telah diperkenalkan oleh DBKL pada November 2020 dan sepatutnya dimulakan pada 1 Oktober lalu, namun ia telah ditangguhkan selama sebulan sehingga DBKL memulakan pelakasanaan pada 1 November 2021.

KLSCAH berpendapat bahawa garis panduan penjualan minuman keras oleh DBKL tidak menjustifikasikan sebab-sebab larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Tionghua dengan jelas. Sedangkan kedai-kedai di Pasaraya, Pasar Raya Besar dan Kompleks Beli-Belah dibenarkan menjual minuman keras.

Pelaksanaan garis panduan berkenaan akan menyebabkan pendapatan perdagangan runcit tradisional, terutamanya sektor perniagaan kedai ubat Tionghua yang bergantung kepada penjualan minuman keras untuk tujuan rawatan penyakit akan dijejaskan. Sektor kedai traditional yang selama ini beroperasi tanpa mendapat sokongan kerajaan untuk mempersiap diri bagi memodenkan runcit tradisional, kini ditekan dengan dasar yang berpihak kepada pasaraya besar.

Sehubungan itu, KLSCAH menganggap penguatkuasaan Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) oleh DBKL tidak selaras dengan konsep ‘ Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Oleh itu, KLSCAH menyeru DBKL supaya menarik balik keputusan pelaksanaan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Tionghua.

Kenyataan Media KLSCAH
3hb November 2021

Gambar: Oriental Daily / Foto Hiasan sahaja

Tinggalkan Balasan