Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH) menyatakan kebimbangan terhadap sebuah kapal milik negara China dikenali sebagai Da Yang Hao yang dilaporkan memasuki zon ekonomi eksklusif Malaysia (EEZ) kerana ia telah melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982, iaitu zon ekonomi eksklusif wilayah negara pesisir laut dengan keabsahannya sehingga 200 batu nautika dan berhak untuk menjalankan kegiatan penerokaan minyak dan gas serta aktiviti menangkap ikan. Kapal dan pesawat negara asing dibenarkan melalui zon tersebut, namun wajib mematuhi peraturan dan undang-undang negara pesisir laut yang berkenaan.
Menurut laporan Malaysiakini, seorang pemerhati Vietnam mendapati bahawa kapal Da Yang Hao pernah memasuki zon perairan Malaysia dan berada sekitar 140km, iaitu kira-kira 75 batu nautika dari Wilayah Persekutuan Labuan dan tidak melebihi EEZ Malaysia seluar 200 batu nautika dari pesisir pantai. Kapal Da Yang Hao juga dikatakan terletak 50 batu nautika dari kawasan penerokaan minyak Petronas, iaitu West Capella pada pukul 10.20 pagi, 26hb September 2021. Dakwaan tersebut telah disahkan benar oleh Malaysiakini dengan merujuk laporan Satelit Sistem Pengenalan Automatik (AIS) dan pemetaan data oleh Flanders Marine Institute yang menggariskan sempadan EEZ Malaysia.
Pada 14 Julai tahun lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2018 siri 3 telah mendedahkan bahawa di antara tahun 2016 hingga 2019, zon perairan Malaysia telah dicerobohi sebanyak 89 kali oleh Kapal Pasukan Pengawal Pantai China dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China.
Pada bulan Mei tahun ini, mantan Menteri Luar Negara, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata akan mengemukakan nota bantahan diplomatik terhadap pencerobohan pesawat China di ruang udara Malaysia dengan memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia dan berunding dengan Menteri Luar China, Wang Yi untuk memberikan penjelasan berhubung pencerobohan tersebut. Namun demikian, pesawat dan kapal China masih dilaporkan memasuki zon ekonomi eksklusif Malaysia menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia harus memandang serius terhadap isu ini yang dianggap mengancam kedaulatan Malaysia.
Selanjutnya, negara China pernah menandatangani Deklarasi Tatalaku di Laut China Selatan pada tahun 2002 dengan negara anggota ASEAN demi mengekalkan kestabilan dan keamanan di Laut China Selatan. Kini, negara anggota ASEAN dan China dikatakan sedang berusaha untuk menyambung semula bacaan kedua draf teks tunggal untuk rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan. Oleh itu, pencerobohan kapal Da Yang Hao dalam perairan zon ekonomi eksklusif Malaysia jelas telah melanggar Deklarasi Tatalaku di Laut China Selatan, iaitu negara-negara harus melakukan aktiviti penerbangan dan pelayaran dengan mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 dan undang-undang antarabangsa yang berkenaan.
Oleh itu, memandangkan bahawa Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein memaklumkan, beliau akan mengadakan lawatan kerja ke China dalam masa terdekat, KLSCAH mencadangkan bahawa selain mendapatkan pandangan negara China dalam isu AUKUS, beliau juga harus mempertahankan kedaulatan Malaysia dan menegaskan pendirian negara dalam isu berkaitan dengan Laut China Selatan dengan harapan negara-negara asing berpegang teguh kepada undang-undang antarabangsa, iaitu pesawat-pesawat dan kapal-kapal negara asing yang memasuki zon ekonomi eksklusif Malaysia harus memberi maklum awal kepada pihak penguatkuasa Malaysia untuk mengelakkan konflik antara negara berlaku.
Kenyataan KLSCAH
28hb September 2021
