Memorandum: Bantahan Menaikkan Kadar Denda Bagi Kesalahan Melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) [Individu: RM10,000,  Syarikat: RM50,000]

Kerajaan telah mewartakan jumlah kesalahan kompaun terhadap sesiapa yang melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan nilai maksimum sebanyak RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa pada 11hb Mac 2021.

Menerusi pindaan itu juga, syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Menurut laporan media, terdapat seramai 330 individu telah dikompaun RM10,000 kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada hari pertama pelaksanaan.

Pindaan telah dibuat selanjutnya baru-baru ini, iaitu membezakan kadar denda antara pesalah kali pertama dan pesalah yang mengulangi kesalahan serta menawarkan diskaun kepada pesalah jika membayar denda dalam tempoh yang ditetapkan.

Namun demikian, individu dan syarikat yang melanggar peraturan SOP masih ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM10,000 dan RM50,000 masing-masing. Kami  menganggap nilai denda maksimum yang dikenakan kepada individu dan syarikat adalah tidak adil dan keterlaluan. Tatacara penguatkuasaan yang kurang jelas juga amat membingungkan orang ramai.

Dengan segala hormatnya, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor ( KLSCAH) bersama dengan ahli-ahli KLSCAH dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani tegas menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan menaikkan kadar kompaun kesalahan melanggar SOP  yang tidak munasabah tanpa menerima pandangan masyarakat.

Desakan dan bantahan

Kami mendesak kerajaan agar mengkaji semula kadar maksimum kompaun ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dalam ketiga-tiga perkara berikut:

1. Kehidupan rakyat dan operasi syarikat semakin sukar akibat penularan wabak Covid-19

Usul: Rakyat masih hidup dalam kesukaran akibat pandemik wabak Covid-19. Menurut laporan media, sekitar 30 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan hampir semua wang simpanan persaraan mereka dalam Akaun 1 ketika penularan COVID-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu.

Selain itu, sebanyak 32,469 buah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menutup operasi bermula pada Mac 2020 sehingga September 2020. Ini menunjukkan bahawa tindakan kerajaan meningkatkan kadar kompaun maksimum sangat drastik tanpa mempertimbangkan keadaan rakyat dan syarikat yang semakin sukar akibat penularan wabak Covid-19.

Cadangan: Kami berpendapat bahawa kerajaan harus meningkatkan kesedaran dan kefahaman awam terhadap kepentingan mematuhi SOP dalam usaha kawalan penularan wabak Covid-19 dengan merangka program pendidikan dan sebaran yang sistematik.

Di samping itu, kadar denda yang dikenakan harus mampu ditanggung oleh rakyat. Oleh itu, kerajaan perlu berunding dengan wakil-wakil organisasi awam, mendengar suara dan pendapat rakyat, terlebih dahulu sebelum melaksanakan undang-undang berkenaan dan mengambil tindakan selanjutnya.

2. Tindakan Penguatkuasaan yang tidak konsisten amat mengelirukan rakyat

Usul: Kerajaan baru-baru ini sekali lagi menukar pelaksanaan hukuman denda kepada individu yang melanggar peraturan SOP Covid-19. Nilai kompaun ingkar SOP telah dikurangkan kepada RM1,500 bagi kesalahan pertama manakala, sesiapa yang mengulangi kesalahan melanggar peraturan SOP akan dikenakan kadar kompaun sebanyak RM10,000.

Individu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP boleh mendapat potongan 50 peratus jika membayar dalam masa tujuh hari manakala individu boleh mendapat diskaun 25 peratus sekiranya denda dibayar dalam tempoh 8 hingga 14 hari.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan penetapan nilai tawaran kompaun dan kadar pengurangan seperti yang tersebut di atas, tetapi kami berpendapat bahawa kerajaaan kurang serius dalam mengendalikan isu kesihatan awam, Kekerapan kerajaan membuat pusingan ‘U’ akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam.

Pindaan mengenai tatacara operasi pihak pegawai kesihatan juga kurang jelas. Dimaklumkan bahawa pesalah akan diberi diskaun jika membayar denda dalam tempoh yang telah ditentukan, namun budi bicara pegawai kesihatan tidak dihuraikan dengan lebih mendalam dalam kerja-kerja menetapkan nilai kompaun selepas menerima rayuan pesalah. Kami bimbang gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai awam akan semakin berleluasa jika tidak mempunyai tatacara penguatkuasaan yang konsisten.

Cadangan: Walaupun nilai kompaun antara pesalah kali pertama dan pesalah yang mengulangi kesalahan telah dibezakan, namun kerajaan wajib membangunkan pangkalan data yang komprenhensif untuk merekod data pesalah-pesalah yang pernah melanggar SOP. Ini dapat memastikan pihak penguatkuasa mengeluarkan kompaun secara berkadar berdasarkan nilai tawaran kompaun yag ditetapkan dan rujukan pangkalan data pesalah melanggar peraturan SOP, serta mengambil kira semua aspek berkaitan.

Selain itu, kerajaan harus menetapkan ‘Garisan Panduan Rayuan’ yang jelas untuk membolehkan pesalah melanggar SOP dapat membuat rayuan mengikut prosedur yang tertentu. Ini juga dapat mengelakkan pegawai kesihatan mengenakan kompaun secara arbitrari. Sebaliknya, mereka hendaklah menetapkan jumlah kompaun mengikut garisan panduan tertentu dan secara berkadar setelah menerima rayuan pesalah dan mengambil kira keadaan pesalah.

3. Pindaan undang-undang berkaitan denda tanpa dibentang dalam persidangan parlimen akan menyekat ruang demokrasi negara.

Usul: Penggantungan sidang Parlimen telah bermula setelah darurat disytiharkan pada 11 Januari yang lalu. Sebenarnya, Kementerian Kesihatan berharap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dapat dipinda dalam sidang parlimen yang diadakan pada Oktober 2020 atau selewat-lewatnya pada tahun ini menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba .

Namun demikian, pindaan undang-undang tersebut tidak dibentang dalam sidang parlimen. Sebaliknya, ia telah dipinda mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Cadangan: Kami menganggap segala pindaan mengenai isu-isu kesihatan awam haruslah dibentang di parlimen dan akhirnya mendapat perkenan Yang-Dipertuan Agong sebelum ia diluluskan menjadi undang.

Setelah DYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendaklah memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tentang tarikh pembukaan siding parlimen dengan secepat mungkin.

Kami menegaskan segala pindaan mengenai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) harus dijalankan dalam parlimen menurut prosedur legislatif sebelum rang undang-undang berkenaan menjadi undang-undang rasmi.

Penaja memorandum: DEWAN PERHIMPUNAN CHINA KUALA LUMPUR DAN SELANGOR  (KLSCAH)

Memorandum disokong oleh:

  1. DEWAN PERHIMPUNAN CINA NEGERI SEMBILAN
  2. GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN CHINA PAHANG
  3. LLG CULTURAL DEVELOPMENT CENTRE
  4. PERSEKUTUAN PERSATUAN-PERSATUAN LEMBAGA PENGURUS SEKOLAH CINA MALAYSIA
  5. GABUNGAN PERSATUAN GURU-GURU SEKOLAH CINA MALAYSIA
  6. DEWAN PERDAGANGAN MALAYSIA-CHINA
  7. PERSATUAN ALUMNI SEKOLAH KUEN CHENG
  8. PERSATUAN KWANG TUNG RAWANG
  9. PERSATUAN HO PO KUALA LUMPUR DAN SELANGOR
  10. CHINESE INK PAINTING SOCIETY MALAYSIA
  11. PERSATUAN SENI MUZIK CHIN YONG MALAYSIA
  12. PERSATUAN PENDUDUK RUMAH KEDAI JALAN LOKE YEW KUALA LUMPUR
  13. PERSATUAN MURID TUA SEKOLAH PERAK YUK CHOY W/P, SEL, NS, DAN PAHANG
  14. PERSATUAN BEKAS MURID-MURID CONFUCIAN SCHOOL WILAYAH PERSEKUTUAN DAN SELANGOR
  15. PERSATUAN ALUMNI KOLEJ UNIVERSITI NEW ERA
  16. PERATUAN HAINAN SELANGOR DAN WILAYAH PERSEKUTUAN
  17. PERSATUAN PEKEDAI & PEKERJA W/P & SELANGOR
  18. PERSATUAN KWANGSI SELANGOR & KUALA LUMPUR
  19. THE UNITED LEE’S ASSOCIATION SELANGOR & KUALA LUMPUR
  20. PERSATUAN ALUMNI SEKOLAH PEREMPUAN CINA PULAU PINANG SELANGOR & WP K.L.
  21. SELANGOR AND KUALA LUMPUR HOKKIEN ASSOCIATION
  22. GABUNGAN PERSATUAN ALUMNI UNIVERSITI TAIWAN MALAYSIA
  23. PERSATUAN FUI CHIU W/P & SELANGOR
  24. PERSATUAN SHING AN SELANGOR DAN KUALA LUMPUR
  25. THE SELANGOR AND KUALA LUMPUR NAN ANN ASSOCIATION
  26. PERSATUAN CHAK KAI KOONG KON KUALA LUMPUR
  27. PERSATUAN WUI LENG SELANGOR & KUALA LUMPUR
  28. PERSATUAN HUIAN QUANGANG KUALA LUMPUR & SELANGOR
  29. THE UNITED CHINESE SCHOOL COMMITTEES’ ASSOCIATION OF SELANGOR AND WP KUALA LUMPUR
  30. PERSATUAN KWONG SIEW SELANGOR Dan WILAYAH PERSEKUTUAN
  31. PERSATUAN KETURUNAN CHAN SHE SHU YUEN KL & SELANGOR
  32. PERSATUAN KWONG TUNG KLANG
  33. PERSATUAN TONG ON SELANGOR & WILAYAH
  34. PERSATUAN GUANGXI MALAYSIA
  35. PERSATUAN HOKKIEN KLANG
  36. PERSATUAN CHING YUEN SELANGOR DAN WILAYAH PERSEKUTUAN
  37. PERSATUAN KA YIN KUALA LUMPUR & SELANGOR
  38. PERSATUAN PENJAJA-PENJAJA DAN PENIAGA-NIAGA KECIL P.J.
  39. PERSATUAN BEKAS PENGHUNI PULAU PANGKOR DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR
  40. PERSATUAN PENIAGA DAN PENGUSAHAAN SEDERHANA
  41. PERSATUAN SAN JIANG KUALA LUMPUR & SELANGOR
  42. MALAYSIA INTERNATIONAL COMMERCE, CULTURE & ARTS FACILITATION ASSOCIATION (MICAFA)
  43. PERSATUAN SISWAZAH-SISWAZAH TAIWAN CHENG KUNG UNIVERSITI, MALAYSIA
  44. PERSATUAN KEJURUTERAAN CHINA SELANGOR & W.P
  45. PERSATUAN KWANG TUNG SELANGOR DAN KUALA LUMPUR
  46. THE CINA CLANSMEN ASSOCIATION OF KUALA LUMPUR
  47. PERSATUAN KETURUNAN LIU KWEE TANG MALAYSIA TENGAH
  48. KUALA LUMPUR ENG CHOON HOEY KUAN
  49. THE SELANGOR & FEDERAL TERRITORY CHUNG SHAN ASSOCIATION
  50. THE WOMEN DEVELOPMENT ORGANIZATION OF MALAYSIA (WDO) PETALING JAYA
  51. PERSATUAN SHUAI JIAO MALAYSIA
  52. PERSATUAN TUI SHOU (PUSH HANDS) MALAYSIA
  53. WANITA GABUNGAN PERSATUAN NAMA KELUARGA CINA MALAYSIA
  54. PERSATUAN KOMUNITI PRIHATIN SELANGOR DAN KL
  55. STUDENT PROGRESSIVE FRONT UUM
  56. UNIVERSITI OF MALAYA ASSOCIATION OF NEW YOUTH (UMANY)
  57. TUNKU ABDUL RAHMAN UNIVERSITY COLLEGE OF ASSOCIATION OF NEW YOUTH (TARANY)
  58. GERAKAN MAHASISWA MAJU UPM
  59. CITIZENS AGAINST ENFORCED DISAPPEARANCES (CAGED)
  60. ORIENTAL HEARTS AND MINDS STUDY INSTITUTE (OHMSI)
  61. PUSAT KOMAS
  62. INSTITUTE FOR LEADERSHIP AND DEVELOPMENT STUDIES (LEAD)
  63. TEOH BENG HOCK TRUST FOR DEMOCRACY
  64. MALAYSIA LIU KWEE TANG CLANSMEN ASSOCIATION
Gambar: Berita Harian

Tinggalkan Balasan