PENGENALAN
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) ditubuhkan pada tahun 2016 untuk mempertahankan hak pekerja-pekerja kontrak di premis Kerajaan. Pekerja-pekerja kontrak di premis sekolah dan hospital seperti pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan tukang kebun mengalami pelbagai masalah akibat sistem kontrak yang diamalkan oleh Kerajaan.
Sejak 2016, JPKK menyalurkan banyak aduan mengenai eksploitasi kontraktor terhadap pekerja kontrak di sekolah dan hospital seperti tidak dibayar gaji untuk beberapa bulan, lambat bayar gaji, membuat potongan yang tidak wajar dalam gaji pekerja, tidak mencarum KWSP, PERKESO, Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), pembuangan pekerja secara besar-besaran dan banyak lagi.
Masalah yang paling besar adalah pekerja tiada jaminan kerja dibawah sistem kontrak ini. Apabila setiap tiga tahun kontraktor bertukar, pekerja turut hilang tempoh perkhidmatan mereka dan dikira sebagai pekerja baru walaupun berpuluh tahun berkhidmat di premis yang sama, malah ada juga pekerja yang hilang kerja setelah tamat kontrak.
Selain itu, Malaysia merupakan satu negara yang menandatanggani konvensyen CEDAW (Elimination of All Forms of Discrimination Against Women) dimana pekerja-pekerja kontrak seperti pekerja pembersihan di sekolah dan hospital majoritinya pekerja wanita dari golongan B40 sedang mengalami exploitasi yang teruk dan Kerajaan tidak boleh membenarkan keadaan ini berterusan dibawah sistem kontrak.
YAB Perdana Menteri, permintaan JPKK juga selaras dengan Perkara 5, Perlembagaan Persekutuan dimana hak dan jaminan kerja adalah sebahagian daripada hak untuk hidup. Selain itu amalan sistem kontrak yang dilakukan di sekolah dan hospital adalah bercanggah dengan keputusan di Mahkmah Malaysia dan juga Konvesnyen ILO.
MENGAPA SISTEM KONTRAK BAGI KERJA-KERJA TETAP?
Kerja-kerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun adalah kerja tetap samada di sekolah mahupun di hospital. Selagi bangunan tersebut wujud, maka selagi itu kerja-kerja tersebut memang akan wujud. Ini bukan kerja sementara ataupun bermusim. Maka, apakah kerelavanan pihak Kerajaan memberi kontrak jangka pendek seperti dua atau tiga tahun kepada pekerja melalui kontraktor swasta? Bukankah ini adalah penyalahgunaan konsep “kerja kontrak tetap” terhadap pekerjaan tetap.
Hal ini bukan sahaja bercanggah dengan definasi “kerja kontrak tetap” (Fix-term contract) yang dinyatakan dalam Akta Kerja 1955, malah juga salah dari segi undang-undang buruh antarabangsa – ILO (International Labor Organization) yang secara terang menyatakan dimana kerja kontrak adalah hanya untuk kerja yang bersifat sementara atau bermusim.
Dalam isu yang sama, baru-baru ini pada bulan Mei 2020, satu keputusan Mahkamah juga turut menyatakan penyalahgunaan kerja kontrak bagi pekerjaan tetap.
Dalam kes Ahmad Zahri Mirza Abdul Hamid vs Aims Cyberjaya Sdn Bhd apabila seorang pekerja yang diambil dengan sistem kontrak dan kontraknya diperbaharui beberapa kali dan tiba-tiba pada satu masa kontraknya tamat tanpa sebab. Alasan yang diberi oleh majikannya adalah pekerja ini dibawah kerja kontrak dan majikan ada hak mutlak untuk memutuskan pembaharuan kontraknya. Dalam kes ini, pekerja menang dan salah satu sebabnya adalah pekerja ini tidak boleh dianggap sebagai pekerja kontrak (iaitu sementara) kerana kerjanya bersifat tetap dan kontraknya diperbaharui beberapa kali sebelum ini tanpa persetujuan pekerja, maka pembuangan pekerja ini adalah tidak sah.
Pelajaran yang kita dapat daripada kes ini adalah kontrak kerja yang bersifat sementara tidak boleh digunakan bagi kerja-kerja tetap dan ia adalah penyalahgunaan konsep “kontrak kerja tetap” itu sendiri. Dalam kes ini, syarikat swasta yang melakukan perkara ini, tetapi isu yang dibawah oleh JPKK adalah Kerajaan sendiri melakukan kesalahan ini di premis mereka kepada pekerja-pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan juga tukang kebunya.
PENYERAHAN MEMO DI KEMENTERIAN-KEMENTERIAN YANG RELEVAN
Kami, JPKK telahpun menyerahkan memorandum yang membincangkan isu ini kepada EMPAT kementerian yang relevan sebelum ini.
Pada 27 November 2020, kami telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Memorandum ini secara khususnya membincangkan masalah pekerja kontrak di premis sekolah kerajaan. Kami juga menyatakan bahawa mantan Menteri Pendidikan, YB Dr.Maszlee Malik telah memberi perhatian serius terhadap isu ini semasa pentadbiran mereka sehingga beliau membuat beberapa janji seperti menyenaraihitamkan kontraktor yang memangsakan pekerja kontrak sebagai langkah jangka pendek, menyediakan mesyuarat antara kementerian untuk mencari penyelesaian bagi isu ini, membawa isu ini ke perhatian Perdana Menteri pada waktu tersebut. Kami telahpun menyatakan hasrat kami untuk terus mengadakan perbincangan dengan Kerajaan sekarang untuk meneruskan kerja-kerja reform yang dimulakan oleh mantan Menteri Pendidikan.
Pada 3 Disember 2020, kami telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bagi isu pekerja-pekerja kontrak di Hospital Kerajaan yang turut menghadapi pelbagai masalah tambahan di pendamik sekarang dan mereka tidak diiktiraf sebagai pekerja Frontliner kerana mereka adalah pekerja kontrak walaupun bekerja di premis Kerajaan. Kerajaan menawarkan dua kali pemberian tunai kepada pekerja frontliner, di pakej stimulus dan bajet 2021 tetapi pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang juga turut jadi frontliner dianaktirikan oleh Kerajaan. Selain menjadikan pekerja-pekerja ini tetap, memorandum kami juga turut menyatakan Kerajaan harus mengiktiraf golongan pekerja ini sebagai pekerja frontliner.
Pada 18 Disember 2020, JPKK telah menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan menyatakan bahawa Kementerian Kewangan mempunyai tanggungjawab besar dalam isu ini kerana kementerian ini yang membuat keputusan tentang menentukan bajet bagi perkhidmatan-perkhidmatan ini dan pemberian kontrak. Dalam memorandum tersebut, kami juga menyatakan tentang satu kajian yang telah kami lakukan tentang penyerapan pekerja-pekerja kontrak ini sebagai pekerja tetap di premis Kerajaan. Kajian tersebut selain daripada membincangkan masalah-masalah yang wujud akibat sistem kontrak ini, juga ada satu kiraan yang menunjukkan bagaimana jika kerajaan menghapuskan sistem kontrak boleh mendatangkan penjimatan 200 juta dalam setahun. kKmi mempunyai satu cadangan polisi yang menjimatkan kos kerajaan dan pada masa yang sama mengatasi masalah-masalah penindasan yang dihadapi oleh pekerja, maka, sebarang perbincangan untuk menghapuskan sistem kontrak ini juga tidak boleh dilakukan tanpa penglibatan Kementerian Kewangan.
Kami juga telah menyerahkan memorandum kepada YB Menteri Sumber Manusia kerana pekerja adalah dibawah penyeliaan beliau.
Kini, kami menyerahkan tuntutan kami kepada YAB Perdana Menteri Malaysia sebagai eksekutif teringgi negara supaya isu kami boleh dibincangkan diperingkat kabinet dan mencapai satu penyelesaian yang kami pasti akan memberikan manfaat kepada kesemua pihak iaitu kerajaan, pekerja dan negara.
KERAJAAN AKAN POPULAR DAN JIMAT WANG
Kami juga ingin menyatakan bahawa JPKK telah membuat satu kajian mengenai perbandingan sistem ini sebelum dan selepas polisi penswastaan. Hasil kajian JPKK mendapati bahawa premium kontraktor bernilai RM500 juta untuk perkhidmatan keselamatan sekolah harian sahaja. Kajian JPKK mendapati bahawa melalui pengambilan pekerja kontrak sebagai kakitangan awam akan mewujudkan lebih pekerjaan, meningkatkan gaji pekerja dan menjimatkan dana.
Sebagai contoh; kerajaan akan mewujudkan 50% lebih pekerjaan dalam perkhidmatan keselamatan sekolah harian tetapi dijangka menjimat sehingga RM250 juta berbanding sistem kontrak sedia ada. Pihak JPKK berpendapat pemberian “living wage” kepada golongan B40 daripada penjimatan premium kontraktor akan merancakkan ekonomi tempatan.
TUNTUTAN PEKERJA KONTRAK
- Serap pekerja kontrak sebagai pekerja tetap
- Sebelum tahun 1997, semua pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun di sekolah dan hospital adalah pekerja tetap kerajaan yang mempunyai jaminan kerja. Namun sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke 4 – Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996, sistem ini telah ditukar kepada sistem kontrak yang telah menghancurkan jaminan kerja. Kerja-kerja tetap ini di – ‘outsource’ – kan kepada syarikat swasta yang kini membawa padah kepada pekerja-pekerja B40 ini. Kontraktor yang sering memangsakan pekerja tanpa memberi faedah asas pekerjaan dan membuatkan pekerja ini kekal sebagai pekerja baru tanpa kenaikan gaji sepanjang tempoh perkhidmatan harus dipandang serius. Sistem kontrak bagi kerja-kerja tetap ini harus dihapuskan dan kembalikan sistem lama yang dapat menjamin kebajikan pekerja.
- Hapuskan budaya kroni dan keperluan untuk orang tengah
- Sistem kontrak ini dimulakan semasa zaman pemerintahan Tun Mahathir telah melalui satu edaran masa yang lama dimana terdapat pelbagai tuduhan bahawa cara pemberian kontrak ini adalah tidak telus dan bagaimana ia diberikan pula dirahsiakan dibawah Akta Rahsia Negara (OSA).
- Daripada pemantauan kami juga, ramai yang telah diberikan kontrak adalah mereka yang tiada pengalaman dan kepakaran dalam bidang ini dan ini sekaligus boleh dilabel sebagai lantikan politik, kroni dan sebagainya. Sistem ini membenarkan orang tengah yang tiada kaitan dengan kerja dan tempat kerja untuk mengawal dan mentadbir pekerja. Orang tengah ataupun kontraktor-kontraktor ini, disebabkan mereka bukan pakar & tidak kisah, terus melanggar undang-undang pekerjaan dan sering membelakangkan kebajkan & faedah pekerja dan memangsakan pekerja. Walaupun mempunyai banyak aduan terhadap kontraktor-kontraktor ini, tetapi mereka masih secara terus memperolehi kontrak dari kerajaan.
- Kurangkan pembaziran, cekapkan pentadbiran
- Sistem kontrak yang diperkenalkan pada tahun 1990an, hasratnya untuk mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran. Tetapi dalam 20 tahun ini, realitinya adalah kontraktor-kontraktor swasta yang pentadbiranya yang mewujudkan banyak masalah pekerjaan kepada pekerja serta turut meningkatkan kos pentadbiran di pejabat-pejabat kerajaan lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan juga kepada Mahkamah-mahkamah kita. Maka, penghapusan sistem kontrak akan mengurangkan pembaziran Kerajaan serta mencekapkan pentadbiran.
- Selain daripada itu, ramai bekas guru, gurubesar dan pekerja pembersihan, pekebun mengatakan hubungan mereka dahulu semasa tiadanya sistem kontrak adalah satu pengalaman yang lebih baik kerana mereka mempunyai hubungan langsung dengan pekerja dan mereka boleh membuat penyeliaan secara terus. Ini juga menyebabkan ramai pekerja ini bekerja untuk jangkamasa yang jauh lebih lama.
KESIMPULAN
Terdapat lebih kurang 250 000 pekerja kontrak khidmat sokongan dari seluruh premis kerajaan di seluruh pelusuk negara kita. Kesemua pekerja kontrak ini adalah pekerja yang berada di kategori B40. Kehidupan mereka terancam akibat sistem kontrak ini. Jika kerajaan benar-benar ingin menghapuskan kemiskinan rakyat, maka pemansuhan sistem kontrak adalah satu langkah yang bermakna dan mampu mengeluarkan pekerja dari kemiskinan.
Disini, kami juga ingin menyatakan bahawa Malaysia merupakan satu negara yang menandatangani konvensyen CEDAW (Elimination of All Forms of Discrimination Against Women) yang menekankan penjagaan kebajikan pekerja wanita dan menentang segala diskriminasi yang berlaku terhadap pekerja wanita. Pekerja-pekerja kontrak seperti pekerja pembersihan di sekolah dan hospital yang merupakan majoritinya pekerja wanita dari golongan B40 sedang mengalami ekploitasi yang teruk dan kerajaan tidak sepatutnya membenarkan keadaan ini berterusan.
Maka, JPKK amat berharap Yang Berhormat Perdana Menteri akan memandang isu kami serius dan memberi peluang kepada kami untuk membincangkan cadangan kami kepada pihak YAB Perdana Menteri untuk membawa perubahan polisi untuk menjadikan pekerja-pekerja ini sebagai pekerja tetap di sekolah dan hospital.
Memorandum disokong oleh:
- Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
- Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokong an Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia
- National Union of Transport Equipment & Allied Ind
- Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
- Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
- North South Initiative (NSI)
- Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)
- Kuliah Buku (KUBU)
- Parti Murba
- Parti Sosialis Malaysia
- Liberasi
- Empower Malaysia
- Teoh Beng Hock Trust for Democracy
- Aliran
- Jaringan Rakyat Tertindas
- Paper and paper products manufacturing Union (PPPMEU)
- Community Development Center (CDC)
- IDRIS Association
- Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API)
- Our Journey
- Klima Action Malaysia (KAMY)
- All Women’s Action Society (AWAM)
- Agora Society
- Center for Independent Journalism
- Community Women & Workers network
- Gabungan Pemandu Lori
- Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia
- Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JJOASM)
- Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Pos Lanai
- Eliminating Death & Abuse In Custody Together (EDICT)
- Jaringan Flat Kos Rendah Marhaen
- Pemuda Sosialis
- Pusat KOMAS
- Diversity Malaysia
- Parti AMANAH
- Gagasan Insan Progresif
- DAP Socialist Youth
- Jaringan Penternak Nasional Marhaen
- Knowledge and Rights with Young people through Safer Spaces (KRYSS)
- Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET)
- Liga Rakyat Demokratik
- Malaysia Muda
- Borneo Komrad
- Centre for Independent Journalism (CIJ)
