Kita mungkin mengkagumi seseorang, tanpa kita ketahui latar kehidupannya. Seseorang tokoh besar yang membicarakan idea-idea besar, terdapat pengaruh kehidupan yang amat mencabar di sebaliknya. Buku bacaannya, pengalaman dialognya, rintangan dan cabaran kehidupan… kesemua itu faktor terpenting yang mempengaruhi kehidupan seseorang tokoh.
Saari Sungib bukan sekadar terkenal dalam kalangan muslim, malahan nama beliau tidak asing bagi masyarakat non-muslim, terutama dari kalangan aktivis dan mereka yang bergerak dalam badan bukan kerajaan (NGO). Boleh dikatakan, semua bangsa dan penganut agama di Malaysia merasa senang dengan ketokohan Saari Sungib yang kini ADUN Hulu Kelang.
Atas semangat itu, SAUDARA bersama Pemuda KLSCAH mengundang Saari Sungip untuk berkongsi pengalaman dan penilaian beliau terhadap gerakan Islam. Sengaja beliau dijemput, kerana melihat perubahan dalam diri beliau dalam menanggapi isu-isu Islam di Malaysia, terutama ketika mengambil sikap terhadap isu negara Islam yang merupakan perkara induk dalam wacana gerakan Islam di dunia, khususnya di Malaysia.
Gerakan Islam
Tidak dinafikan, amat banyak pertubuhan gerakan Islam di dunia ini. Terutama selepas kematian Syed Qutb (salah seorang tokoh radikal dari Ikhwan, mati digantung oleh kerajaan Mesir pada tahun 1966), yang menurut Saari Sungib, lahir lebih 60 buah pertubuhan. Walaupun begitu, di Malaysia, gerakan Islam (JIM, ABIM dan PAS) terpengaruh dengan dua sahaja, iaitu Ikhwan Muslimin dari Mesir dan Jamaat Islami dari Pakistan.
Gerakan Islam seperti Ikhwan dan Jemaat Islami diterima kerana naratif agama mereka hanya “hitam-putih”; iaitu jika tidak Islam, maka itu kufur. Pada mereka, sebagai muslim, seharusnya menyokong negara Islam, pelaksanaan Syariah (Hudud-Qisas), non-muslim perlu dilihat sebagai golongan kelas kedua (diistilahkan sebagai kafir zimmi), tidak boleh angkat pemimpin dari kalangan non-muslim dan banyak lagi. Jika tidak terima, mereka dianggap tidak muslim. Andai muslim pun, mereka muslim yang tidak selamat di akhirat. Mereka dianggap muslim yang berdosa kepada Tuhan.
Naratif “hitam-putih” ini menyebabkan tajuk keadilan, perlukah kebebasan, apakah hak warganegara — semua wacana ini dianak-tirikan. Sesiapa sahaja yang membawa naratif itu, akan dianggap pro-Barat, pro-kekufuran. Dengan sebab itu, Abdul Hadi Awang dianggap sebagai tokoh yang disanjung. Lebih-lebih lagi, Abdul Hadi Awang membawa tajuk “garis Islam dan kufur” dalam wacana sehingga melahirkan “Amanat Hadi”. Ia ternyata memberi kesan besar kepada seluruh ahli gerakan Islam di Malaysia.
Menurut Saari Sungib, naratif ini berbeza dengan apa yang dibawa oleh Anwar Ibrahim yang ketika itu salah seorang tokoh besar dalam gerakan Islam di Malaysia yang menggunakan wadah ABIM. Beliau bercakap tentang keadilan, melawan penindasan dan kebebasan. Naratif ini agak kurang diminati oleh mereka yang terpengaruh dengan Ikhwan dan Jamaat Islami secara langsung.
Bagaimanapun, sejarah 1998 adalah titik perubahan. Agenda reformasi yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim menyebabkan semua gerakan Islam bersatu. Teman-teman rapat Anwar dari ABIM, Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor yang juga pernah terlibat dengan ABIM, Saari Sungib dari JIM dan banyak lagi. Kesemua mereka bersedia mendokong agenda reformasi. Sejak dari itu, wacana mereka berkenaan Islam semakin lama semakin mencair.
Negara Islam
Suka atau tidak, wacana Anwar Ibrahim ketika itu agak berlainan berbanding dengan wacana gerakan Islam di dunia. Pada tahun 1970-an, seluruh gerakan Islam berbicara berkenaan “non-muslim dalam negara Islam”, namun Anwar Ibrahim yang menggunakan wadah ABIM pula membawa wacana “Islam dalam masyarakat majmuk”. Malahan, menurut Saari Sungib, pada saat tokoh gerakan Islam di dunia membincangkan pelaksanaan syariah, Anwar Ibrahim membincangkan perkara yang lebih mendasar dalam konsep bernegara, seperti konsep kebebasan dan keadilan.
Walaupun wacana itu agak hambar dalam kalangan ahli gerakan Islam, tetapi selepas sejarah reformasi 1998, wacana ini menjadi antara perkara induk dalam pemikiran tokoh-tokoh gerakan Islam. Pergaulan kalangan ahli gerakan Islam tidak lagi sesama muslim, tetapi sudah melebar kepada kalangan non-muslim. Kesannya, cara berfikir ahli gerakan Islam semakin berubah.
Perubahan itu amat ketara, apabila pada malam itu, Saari Sungib secara terang-terangan menolak konsep negara Islam dan tidak janggal untuk menerima sebuah negara yang diperintah oleh orang yang tidak beragama Islam. Bukan sekadar mengakui banyak negara yang diperintah non-muslim itu jauh lebih baik berbanding negara yang diperintah oleh muslim, malahan pendirian beliau itu dihujah dengan Hadis, iaitu pada Zaman Nabi terdapat seorang Raja Kristian dari Habsyah yang bernama al-Najashi. Kerajaan beliau diiktiraf sebagai “adil” oleh Nabi Muhammad, malahan setelah al-Najashi memeluk Islam pun, beliau terus mengekalkan pemerintahannya, dengan meneruskan pendekatan adil seperti biasa, tanpa digezetkan kerajaan itu sebagai Islam.
Penutup
Dari tulisan ini, antara perkara yang dapat disimpulkan adalah seperti berikut:
Pertama, gerakan Islam di Malaysia seperti JIM yang kemudiannya berpecah menjadi IKRAM dan ISMA, PAS yang terpecah dua menjadi AMANAH. Hakikatnya mereka mendapat pengaruh dari dua gerakan Islam dunia, iaitu Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna dan Jemaat Islami yang diasaskan oleh Abu ‘Ala al-Maududi.
Kedua, perubahan pemikiran gerakan Islam di Malaysia tidak boleh lepas dari pendekatan Anwar Ibrahim, terutama selepas tercetusnya sejarah reformasi tahun 1998 yang melibatkan pemecatan beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ketiga, walaupun asas induk pemikiran gerakan Islam adalah konsep negara Islam, tetapi konsep ini semakin mencair, sehinggakan terdapat ramai ahli gerakan Islam sudah menerima konsep negara sekular, malahan negara yang pemimpin utama negara adalah orang bukan Islam.
Dipetik dari Penyelidikan Sosio-Budaya SAUDARA
https://saudara.org/2018/12/24/menilai-semula-gerakan-islam/