Kita mengenali seseorang dengan dirinya yang ditampilkan pada hari ini. Tetapi amat jarang kita tahu bagaimana dirinya sebelum ini. Jarang juga kita tahu, sebelum seseorang itu menjadi dirinya pada hari ini, beliau sebenarnya mempunyai pengalaman hidup yang panjang. Dengan siapa beliau berkawan, apa yang membentuk cara beliau berfikir, dan apa pula yang mempengaruhi beliau sebelum mengambil pendirian tertentu.

Demikian juga dengan tokoh yang panggilan manjanya Abu ‘Urwah. Merujuk kepada YB Saari Sungib. Abu itu sebutan Arab yang bermakna “bapa”. ‘Urwah pula adalah nama anak lelaki sulung beliau. Terjemahan penuhnya, bapa kepada ‘Urwah.

Nama Abu ‘Urwah tidak asing bagi mereka yang terlibat dengan gerakan Islam, sama ada PAS, AMANAH, JIM, IKRAM, ISMA, ABIM, WADAH, Hizbut Tahrir, atau dengan apa nama sekalipun. Buku-buku tulisan beliau menjadi rujukan ahli gerakan Islam. Malahan, beberapa tokoh terkenal dalam negara di Malaysia pada hari ini seperti Dr. Asri Zainal Abidin (Dr.MAZA) yang menjadi mufti di Perlis dan Dr.Maszlee Malik yang kini Menteri Pendidikan – pernah terpengaruh dengan pembacaan pada karya Abu ‘Urwah.

Pernahkah kita terfikir bahawa idealisme gerakan Islam juga telah mengalami perubahan. Jika dahulu konsep negara Islam diangkat, tetapi semakin hari semakin mencair. Jika dahulu penentangan terhadap sekular itu amat ketara, tetapi sekarang negara sekular kelihatan semakin dipuji; malah ada sebilangan bertanggapan bahawa pengamalan di negara sekular lebih dekat dengan ajaran Islam berbanding pengamalan di negara-negara umat Islam. Wacana-wacana sebegini amat dekat dengan diri Abu ‘Urwah. Bukan sekadar melihat, malahan beliau terlibat dalam wacana sebegini, dan beliau melihat sendiri bagaimana rakan-rakan beliau mengambil pendirian ketika berhadapan dengan wacana-wacana ini.

Kami berbesar hati kerana Abu ‘Urwah menerima undangan kami untuk berkongsi pengalaman dirinya dalam gerakan Islam, dari dahulu hingga ke kini, dan halatujunya pada masa depan.

Tarikh: 17 Disember 2018 (Isnin)
Masa: 8:30pm – 10:30pm
Tempat: Bilik Xiao En KLSCAH (Tingkat Bawah)
Bahasa Penghantar: Bahasa Melayu
Tetamu: YB Saari Sungib
Moderator: Wan Ji bin Wan Hussin
Penganjur: SAUDARA, Pemuda KLSCAH

Tinggalkan Balasan