Sempena Hari Malaysia ini, saya mewakili Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) merakamkan ucapan penuh tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga tanah air tercinta kita sentiasa diberkati dengan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan.

 

16hb September bukan sahaja merupakan mercu tanda penting dalam sejarah Malaysia, malah ia juga melambangkan aspirasi bersama seluruh rakyat Malaysia untuk membina negara yang harmoni dalam kepelbagaian budaya. Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama. Semangat patriotisme ialah inti pati yang menyatukan kepelbagaian ini dan membentuk kita sebagai masyarakat yang bersatu padu.

 

Tema Hari Malaysia tahun ini ialah “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”. Tema ini bukan sahaja mencerminkan usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, malah menekankan hakikat bahawa negara dan rakyat berkongsi nasib yang sama. Kepelbagaian budaya Malaysia sememangnya mempunyai perbezaan, tetapi kepelbagaian inilah yang menjadi khazanah berharga dalam masyarakat kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Hanya dengan saling menghormati dan bertolak ansur, kita dapat memperdalam kefahaman, mengumpul kekuatan, dan bersama-sama memacu negara ke arah keharmonian dan kemajuan yang berkekalan.

 

Isu Jalur Gemilang Terbalik

 

Namun demikian, kebelakangan ini berlakunya insiden pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang mencetuskan keresahan masyarakat. Dalam beberapa kes berkenaan, ada pengusaha mengalami kekecohan akibat hasutan ahli politik yang mengapi-apikan orang ramai; malah ada juga pengusaha diarahkan menutup premis oleh pihak berkuasa tempatan. Ketetapan penguatkuasaan yang begitu keras dan hampir menjadi piawaian tetap amat membimbangkan. Hakikatnya, kesilapan sebegini sepatutnya  memberi peluang bagi pihak berkuasa mendidik rakyat tentang cara pengibaran bendera yang betul, bukannya menjadikan tindakan hukuman sebagai kaedah utama.

 

Lebih mendukacitakan lagi, insiden sebegini telah dijadikan alat manipulasi politik. Terdapat ahli politik menampilkan diri sebagai “wira negara”, dengan terus memberi tekanan dan menghasut orang awam untuk menyerang pihak tertentu. Kecuaian yang tidak disengajakan tersebut dibesar-besarkan sebagai isu besar terhadap menghina martabat bendera. Tindakan sebegini hanya akan mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat. Jalur Gemilang sepatutnya merupakan lambang perpaduan, tetapi malangnya ia dijadikan pentas kontroversi dan sandiwara oleh segelintir ahli politik demi meraih keuntungan politik.

 

Kita mesti mengakui bahawa Jalur Gemilang merupakan simbol kebanggaan negara yang perlu dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Namun, bendera Jalur Gemilang tidak boleh disalahgunakan sebagai modal politik. Kita tidak patut memperbesarkan kesilapan sehingga membentuk pertembungan antara “patriotik” dan “pengkhianat.” Keadaan ini hanya akan mencetuskan perpecahan dan kegentaran dalam masyarakat, lalu menghakiskan makna perpaduan yang dilambangkan oleh Jalur Gemilang. Semangat patriotik bukan sekadar pada penghormatan luaran, tetapi harus diterjemahkan melalui tindakan yang rasional dan penuh tanggungjawab.

 

Patriotisme ialah nilai murni yang berakar dalam sanubari, berteraskan kesejahteraan masyarakat dan negara. Semangat patriotisme sebenarnya harus dipupuk melalui pendidikan, bukannya dicipta melalui hasutan politik atau ancaman. Justeru, KLSCAH menyeru agar kerajaan dalam menangani kes-kes seumpama ini, harus menampilkan kebijaksanaan dengan menjadikannya sebagai peluang untuk mendidik dan menyatupadukan rakyat. Dengan ini, Jalur Gemilang dapat berfungsi sebagai lambang penyatuan rakyat, bukannya punca pertikaian dan perpecahan.

 

Pada masa yang sama, kita juga harus mengingati bahawa 16 September merupakan hari di mana Sabah dan Sarawak menyertai pembentukan Malaysia. Keterbukaan serta sikap inklusif masyarakat di Sabah dan Sarawak dalam aspek kaum, agama dan budaya wajar dijadikan teladan oleh Semenanjung Malaysia, demi bersama-sama mengamalkan semangat kepelbagaian yang sebenar.

 

Semoga dengan sifat toleransi dan saling memahami, kita mampu merungkai segala perbezaan. Berbekalkan semangat perpaduan dan iltizam perjuangan, kita dapat melangkah menuju masa depan yang lebih gemilang. Dengan menghayati semangat “rakyat disantuni”, marilah kita menggembleng tenaga agar membina Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.Selamat Hari Malaysia!

 

Yang Ikhlas,

Yang Berusaha Tuan Ngan Teng Ye

Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH)

Tinggalkan Balasan