Pada 4 September 2025 (Khamis) jam 11 pagi, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menerima kunjungan hormat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, bagi mengadakan sesi dialog dan lawatan ke koridor sejarah KLSCAH.

 

Kunjungan ini disambut oleh Presiden KLSCAH Encik Ngan Teng Ye, bersama Timbalan Presiden Dato’ Sri Chong Ket Pen, Naib Presiden Thay Peng Hong, Naib Presiden Lee Foo Wong, Naib Presiden Puan Ng Geok Chee, Setiausaha Agung Yeo An Thai, Penolong Setiausaha Agung Lee Ying Wai, Pengerusi Jawatankuasa Sosio Ekonomi Ong Soo Lee, Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Lee See Kiang, Pengerusi Wanita KLSCAH Chong Siow Wei, serta Ahli Lembaga Pengarah Kwan Say Hong, Chong Soon Fatt dan Chong Su Foh.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden Ngan Teng Ye menzahirkan sukacita atas lawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan memperkenalkan sejarah serta perkembangan peranan KLSCAH sejak penubuhannya. Beliau menekankan bahawa dari awal KLSCAH berperanan dalam urusan perantauan, KLSCAH kemudiannya berkembang menjadi institusi yang aktif dalam perkhidmatan sosial selepas kemerdekaan, dan kini banyak memberi tumpuan dalam bidang politik serta kebudayaan, aktif bersuara demi isu keadilan, serta giat memperluas ruang masyarakat sivil.

 

Sebagai contoh, KLSCAH telah lama memberi perhatian kepada isu demokrasi dan keadilan sosial, serta turut menyertai gerakan masyarakat termasuk BERSIH. Tambahan pula, semasa Pilihan Raya Umum ke-15, KLSCAH turut memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada masyarakat sivil dengan bekerjasama bersama NGO menganjurkan kempen “VOTE MALAYSIA”, dan menjadi pusat utama pengumpulan undi pos.

Selepas itu, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra daripada KLSCAH dan menyatakan bahawa ini bukanlah kunjungan pertama beliau, malah beliau pernah hadir beberapa kali sebelum ini, khususnya pada era reformasi negara.

 

Beliau mengiktiraf peranan KLSCAH sebagai sebuah “jambatan” yang menghubungkan pelbagai pihak. KLSCAH sebagai bangunan Warisan Kebangsaan, bukan sahaja sebuah institusi penting bagi masyarakat Cina, malah turut menyumbang kepada masyarakat dan negara sepanjang masa ini.

 

Beliau turut menegaskan masa depan Malaysia tidak hanya bergantung kepada kekuatan dalaman, tetapi juga berkait rapat dengan pembangunan bersama ASEAN  yang kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan potensi besar. Menurut beliau, komuniti perniagaan TiongHua di Malaysia mempunyai peranan penting untuk memacu ASEAN, terutamanya dalam bidang tenaga hijau, perdagangan digital dan kerjasama serantau. Beliau menyeru agar KLSCAH terus menjadi jambatan dalam pertukaran silang budaya dan kerjasama serantau, demi menyemai nilai perpaduan, kepercayaan dan saling menghormati dalam masyarakat.

 

Yeo An Thai, Setiausaha Agung KLSCAH,  turut memperkenalkan sejarah perkembangan KLSCAH kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Beliau menjelaskan bahawa KLSCAH bukan sahaja memberi perhatian kepada hal ehwal masyarakat Cina, malah juga aktif dalam urusan awam dan memainkan pengaruh rentas kaum. KLSCAH turut memberi tumpuan kepada kerjasama rentas kaum, seperti bekerjasama dengan MyCare untuk menganjurkan kutipan derma bagi mangsa gempa bumi Syria dan Turki dan berjaya mengutip sebanyak RM300,000.

 

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Lee Ying Wai mengiringi Yang di-Pertua Dewan Rakyat melawat Koridor Sejarah KLSCAH untuk memahami lebih lanjut mengenai sejarah KLSCAH.

 

Pada penutup sesi, Yang di-Pertua Dewan Rakyat merakamkan penghargaan atas layanan mesra dan sumbangan aktif KLSCAH. Sebagai tanda kenang-kenangan, KLSCAH menyampaikan cenderamata kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebelum sesi bergambar bersama dan seterusnya jamuan makan tengah hari. Sesi dialog ini berakhir pada jam 1 petang.

Tinggalkan Balasan