Kami, pertubuhan masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah, menyeru kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi pihak warganegara Malaysia Pannir Selvam Pranthaman, dan orang lain yang berisiko hukuman mati di Singapura. Pada peringkat ini, setelah ketandusan tindakan kehakiman, tiada apa yang boleh menghalang pelaksanaan hukuman mati ke atas Pannir oleh kerajaan Singapura pada bila-bila masa.

Pelanggaran Hak Asasi Manusia dalam Kes Pannir

Kes Pannir dicemari oleh beberapa pelanggaran undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Pada 2017, Pannir disabitkan kesalahan mengimport 51.84g diamorphine (heroin) ke Singapura dan dijatuhkan hukuman mati mandatori. Kesalahan berkaitan dadah tidak memenuhi ambang “jenayah paling serius” yang mana penggunaan hukuman mati mesti dihadkan di bawah undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Hukuman mati dikenakan sebagai hukuman mandatori, yang bermaksud bahawa hakim tidak boleh mengambil kira keadaan tertentu kesalahan atau latar belakangnya. Hakim mendapati Pannir bertindak sebagai “kurier” kerana beliau hanya mengangkut dadah. Bagaimanapun, Pendakwaan tidak memberikan beliau Sijil Bantuan Substantif yang mengakibatkan hakim tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati mandatori. Proses ini melanggar hak untuk perbicaraan yang adil kerana ia meletakkan keputusan antara hukuman hidup atau mati di tangan pihak pendakwaan yang bukan pihak neutral dalam perbicaraan, yang tidak sepatutnya mempunyai kuasa sedemikian, dan kerana ia menjejaskan pemisahan yang jelas yang mesti wujud antara pihak pendakwaan dan mahkamah.

Selain itu, sabitan dicapai dengan bergantung pada anggapan undang-undang tentang pengetahuan mengenai dadah tersebut di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah. Apabila anggapan undang-undang ini digunakan, beban pembuktian dialihkan kepada defendan untuk disangkal kepada piawaian undang-undang yang lebih tinggi iaitu “pada imbangan kebarangkalian”. Anggapan bersalah di sisi undang-undang melanggar hak untuk dianggap tidak bersalah – suatu norma lazim undang-undang antarabangsa – dan jaminan perbicaraan adil lain di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang memberi mandat bahawa beban membuktikan pertuduhan terletak pada pihak pendakwaan.

Keperluan terdesak untuk campur tangan Malaysia

Sebagai sebuah negara jiran yang mempunyai hubungan sejarah dan diplomatik yang rapat dengan Singapura, Malaysia mempunyai kedudukan unik untuk membela hak asasi manusia dan melindungi hak rakyatnya yang menghadapi hukuman mati di negara itu. Apabila hak asasi manusia dipertaruhkan, berdiam diri bukanlah pilihan yang boleh dipertahankan. Semua tindakan yang mungkin, perlu diambil untuk menghentikan pelaksanaan dan penggunaan hukuman mati, termasuk apabila ia digunakan dengan melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, lebih-lebih lagi semua ini berlaku di negara jiran merentas sempadan.

Sejak Jun 2024, Singapura telah mempergiatkan usaha untuk melaksanakan hukuman mati, termasuk memendekkan tempoh notis kepada hanya empat hari bagi mereka yang sebelum ini diberikan penangguhan hukuman mati, menambah pada kekejaman dan kebimbangan banduan akhir dan keluarga mereka, selain mengehadkan masa yang boleh mereka luangkan bersama. Akta Permohonan Pasca Rayuan dalam Kes Hukuman Mati 2022 (PACC) yang berkuat kuasa pada 28 Jun 2024 dan pindaan kepada Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2024, yang berkuatkuasa pada 28 Januari 2025, mempunyai kesan sekatan selanjutnya ke atas keupayaan banduan akhir untuk memfailkan rayuan undang-undang atau mendapatkan semakan, mengutamakan kemuktamadan penghakiman berbanding semakan dan ujian perlindungan proses.

Pada 2024, lapan daripada sembilan individu telah dihukum bunuh di Singapura atas kesalahan berkaitan dadah. Perkembangan ini menggariskan kesegeraan bagi kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan bersatu dan lebih kuat, menyeru Singapura untuk segera menamatkan semua pelaksanaan hukuman mati sebagai langkah kritikal ke arah memansuhkan hukuman mati.

Sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) semasa, Malaysia berada dalam kedudukan yang unik untuk memperjuangkan hak asasi manusia dan menjadi contoh yang kukuh untuk rantau ini. Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Malaysia telah menekankan kepentingan kerjasama serantau untuk menegakkan hak asasi manusia di Dialog Hak Asasi Manusia dan Hak Alam Sekitar pada Januari 2025. Campur tangan Malaysia dalam kes Pannir bukan sahaja menunjukkan komitmen negara untuk menyokong rakyatnya yang berhadapan hukuman mati di luar negara, tetapi juga kepimpinan negara dalam memajukan agenda hak asasi manusia dalam ASEAN.

Pannir memohon peluang kedua

Sejak 2017, Pannir telah menyalurkan tenaga beliau ke arah kreativiti, advokasi dan refleksi, menggunakan masa beliau sebagai banduan akhir di Singapura untuk menjelaskan realiti yang dihadapi oleh mereka yang dijatuhkan hukuman mati. Dari sel penjaranya, beliau telah menulis lagu dan puisi yang menyentuh hati yang bercerita tentang kesedihan, harapan, dan doa mereka yang dijatuhkan hukuman mati, yang kebanyakannya telah dikongsi dengan orang ramai melalui NGO Sebaran Kasih yang diasaskan oleh adik perempuannya, Angelia. Lagu-lagu ini bukan sahaja mencerminkan
pertumbuhan peribadi Pannir tetapi juga mengukuhkan mesej beliau tentang belas kasihan dan kepentingan memberi orang peluang kedua.

Sehingga kini, Sebaran Kasih telah mengeluarkan tiga lagu Pannir, yang menampilkan bakat tempatan yang terkenal seperti Dato’ DJ Dave, Kidd Santhe, Santesh Kumar, dan Saint TFC. Lagu-lagu ini membawa kisah Pannir—dan penderitaan yang lebih luas yang dihadapi oleh banduan akhir— ke hadapan, menggalakkan rakyat Malaysia untuk merenung tentang kuasa pengampunan dan nilai memberi seseorang peluang kedua.

Seruan untuk Tindakan Segera

Kes Pannir Selvam bukanlah unik; ia adalah lambang kepada isu ketidakadilan sistemik yang lebih meluas dalam pelaksanaan hukuman mati di seluruh rantau ini. Malaysia telah menunjukkan kepimpinan dengan memansuhkan hukuman mati mandatori dan meringankan sejumlah besar hukuman pada 2024. Walaupun perjalanan Malaysia ke arah pemansuhan mesti diteruskan, kini tiba masanya untuk melanjutkan kepimpinan tersebut untuk melindungi rakyatnya di luar negara dan menyokong pemansuhan hukuman mati secara global. Hukuman mati adalah hukuman yang paling kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah yang semestinya tidak lagi mendapat tempat dalam masyarakat kita. Kami menyeru kerajaan Malaysia untuk segera campur tangan dalam kes Pannir untuk menghalang pelaksanaan hukuman mati, termasuk yang menyalahi undang-undang di bawah undang-undang dan piawaian antarabangsa.

Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk mengambil langkah-langkah berikut tanpa lengah:

  1. Campur tangan yang pantas dan berkesan: Gunakan semua saluran yang ada, termasuk rayuan terus kepada Presiden dan Perdana Menteri Singapura, untuk mendapatkan semakan segera untuk kes Pannir, dan meringankan hukuman mati beliau dan meminta penangguhan segera ke atas semua pelaksanaan hukuman mati di Singapura.
  2.  Memanfaatkan mekanisme ASEAN: Gunakan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk menyokong kerjasama serantau untuk memansuhkan hukuman mati.

Dikeluarkan bersama oleh:

  1. Amnesty International Malaysia
  1. Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN)

Disokong oleh pertubuhan masyarakat sivil berikut:

  1. Lawyers for Liberty
  2. MADPET (Malaysians Against Death Penalty and Torture)
  3. Sebaran Kasih MY
  4. Sisters in Islam (SIS)
  5. HAKAM
  6. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  7. Bersih
  8. Centre for Independent Journalism
  9. Freedom Film Network
  10. Family Frontiers (Malaysia)
  11. justice for sisters
  12. North South Initiative
  13. Parti Sosialis Malaysia
  14. Agora Society Malaysia
  15. Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia (GBSM)
  16. Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall Civil Rights Committee (KLSCAH – CRC)
  17. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  18. The Good Society Malaysia

Disokong oleh individu berikut:

  1. Andrew Khoo
  2. Mohammad Alshatri bin Abdullah
  3. Thulasi Munisamy

Tinggalkan Balasan