Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH) menyokong kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dalam solidariti terhadap Gaza. Pada 22 Januari jam 11:00 pagi, Naib Presiden KLSCAH, Puan Ng Geok Chee, mewakili KLSCAH dalam sidang media yang dianjurkan oleh IKRAM, menyeru semua pihak untuk memberi perhatian kepada situasi di Gaza serta memperjuangkan keamanan dan keadilan.

_______________________________________

Kenyataan Media Bersama Daripada Rakyat dan NGO Malaysia
“Selepas Gencatan Senjata: Apa Seterusnya Untuk Gaza?”

 NGO Bersama Mengalu-alukan Perjanjian Gencatan Senjata HAMAS-Israel

Hari ini, kami sebagai gabungan pertubuhan bukan kerajaan Malaysia (NGO) telah bersama-sama mengeluarkan kenyataan akhbar mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata yang dicapai oleh HAMAS dan Israel baru-baru ini. Kenyataan kolektif ini menggambarkan harapan dan jangkaan bersama masyarakat antarabangsa untuk keamanan yang berkekalan dan pengakhiran penjajahan  oleh rejim Israel di rantau itu.

Mengalu-alukan Pemberhentian Permusuhan

Gabungan NGO ini melahirkan kelegaan dan harapan yang mendalam dengan pemberhentian konflik. Kami percaya bahawa langkah penting ini akan membuka jalan kepada keamanan yang berkekalan dan menamatkan penderitaan rakyat Palestin, yang terdiri daripada semua latar belakang agama, yang terjejas oleh konflik.

Harapan untuk Masa Depan

Kami menyatakan harapan kami supaya keganasan dan pembunuhan akan berhenti untuk selama-lamanya. Kami berharap rakyat Gaza, yang telah melalui perang tanpa henti selama 465 hari, kini boleh menikmati kehidupan yang lebih aman dan bermakna. Mereka berhak menikmati akses kepada air bersih, tenaga, sanitasi, pengangkutan dan infrastruktur, serta akses kepada penjagaan kesihatan dan sistem pendidikan yang lebih baik. Kami juga berharap rakyat Gaza diberi lebih peluang untuk meneruskan usaha ekonomi demi mencapai kehidupan yang mampan.

Pengawasan dan Akauntabiliti Antarabangsa

Kami menggesa pihak berkuasa antarabangsa untuk memastikan bahawa terma perjanjian gencatan senjata dihormati dan dipatuhi. Israel, sebagai negara penjajah, tidak seharusnya dibenarkan untuk memulakan permusuhan sesuka hati, seperti yang mereka ancam sebelum ini. Membenarkan tindakan Israel ini bermaksud bersetuju dengan mereka untuk meneruskan kekejaman tanpa sebarang notis atau berdasarkan prasangka.

Keadilan dan Akauntabiliti

Tidak dapat dinafikan, pembunuhan beramai-ramai di Gaza, yang telah mengorbankan lebih daripada 46,000 nyawa yang tidak berdosa, mencederakan lebih daripada 100,000 orang, dan menjadikan ribuan kanak-kanak yatim piatu, adalah jenayah terbesar terhadap kemanusiaan pada abad ke-21. Kami menganggap kepimpinan Israel yang diketuai oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebagai penghasut dan pelaku yang bertanggungjawab ke atas jenayah yang mengerikan ini.

Kami menegaskan kepentingan mengheret pihak yang bersalah ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Tindakan selanjutnya mesti diambil untuk memastikan mereka yang terlibat dalam jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai ini dihadapkan ke muka pengadilan. Keadilan adalah asas keamanan. Membiarkan Israel terlepas daripada jenayah pembunuhan beramai-ramai merupakan suatu penghinaan kepada masyarakat dunia.

Penamatan Bekalan Senjata kepada Israel

Pembunuhan beramai-ramai dipercayai diberlakukan dengan sokongan kuasa Barat, terutamanya Amerika Syarikat, UK, Perancis dan Jerman. Sokongan tanpa syarat mereka, dalam menghantar bom dan peluru berpandu, bagaikan memberi “lesen” kepada Israel untuk menggunakan senjata canggih ini ke atas rakyat Gaza. Kami menyeru semua pihak berkaitan agar menghentikan pembekalan senjata kepada Israel untuk mengelakkan sebarang pembunuhan dan jenayah perang pada masa hadapan. Penamatan bekalan senjata kepada Israel amat penting untuk mencegah keganasan dan memupuk persekitaran yang kondusif untuk keamanan di Palestin.

Usaha Pembinaan Semula

Kami merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang mendalam kepada sokongan padu dan solidariti Kerajaan Malaysia terhadap perjuangan untuk keadilan Palestin. Ops Ihsan, inisiatif kemanusiaan yang melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan 60 NGO Malaysia untuk menyampaikan bantuan kepada Palestin adalah usaha yang layak dijadikan contoh.

Kami menghargai usaha Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dengan tegas dan lantang mempertahankan hak rakyat Palestin untuk membentuk negara berdaulat mereka sendiri, dan beliau telah berkali-kali membuktikan ketegasannya di tengah-tengah kesunyian suara di pentas dunia. Namun, kami masih tetap menyeru kerajaan Malaysia untuk meningkatkan usaha dalam membantu pembinaan semula Gaza. Proses pembinaan semula Gaza memerlukan sokongan yang jitu, dan sumbangan Malaysia akan menjadi amat berharga dalam mengembalikan kehidupan mereka yang terjejas.

Seruan Tindakan kepada Semua Rakyat Malaysia untuk Memperbanyak Bantuan Kemanusiaan ke Gaza

Kami juga menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama untuk terlibat sama dalam menyokong proses pembinaan semula dan meningkatkan sumbangan terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza. Berbilion-bilion ringgit diperlukan untuk usaha pembinaan semula bagi jangka masa panjang. Sumbangan, tidak kira kecil atau besar, akan memberi perubahan dalam mengurangkan penderitaan dan membina semula komuniti di sana.

Gencatan senjata tidak boleh dilihat sebagai penamat kepada tumpuan kita terhadap Gaza, tetapi sebaliknya permulaan untuk pendekatan yang lebih proaktif, berperikemanusiaan dan berupaya meningkatkan kesedaran sosial demi menyokong rakyat Gaza. Adalah penting bagi kita semua untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembinaan semula Gaza. Sumbanglah dengan ikhlas kepada agensi-agensi bantuan kemanusiaan yang berdaftar dan dipercayai yang telah bekerja tanpa jemu untuk membawa bantuan dari Malaysia ke Gaza walaupun umum mengetahui usaha mereka ini berisiko tinggi.

Advokasi Berterusan

Kami berjanji untuk terus memberi tekanan sosial, ekonomi dan politik terhadap penyokong penjajahan haram Palestin melalui boikot, pelupusan dan sekatan. Langkah-langkah ini penting untuk mempromosikan keadilan dan hak asasi manusia. Semua institusi di Malaysia, baik kerajaan mahupun swasta, harus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia yang memberi sokongan penuh kepada Palestin. Justeru, sebarang hubungan dengan agensi yang menyokong pendudukan haram di Palestin harus dihentikan. Tindakan ini termasuklah terhadap agensi yang menyokong dasar aparteid rejim Israel, serta mereka yang menyediakan teknologi dan sokongan infrastruktur untuk tujuan ketenteraan yang menindas rakyat Palestin dan menafikan hak serta kebebasan mereka.

Ke Arah Negara Palestin yang Bebas dan Merdeka

Akhir sekali, kami menegaskan sokongan penuh kami untuk perjuangan rakyat Palestin menubuhkan negara yang bebas dan merdeka. Ia adalah perjuangan yang memerlukan usaha bersama dan sokongan daripada komuniti global. Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta menikmati kebebasan demokrasi, kami berharap agar saudara-saudara kami di Palestin, sama ada Islam atau Kristian, dapat menikmati hak yang sama di negara berdaulat mereka sendiri.

 

Kenyataan media ini disokong oleh / This press statement is endorsed by:

  1. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
  2. Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
  3. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
  4. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  5. Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
  6. Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Cawangan Malaysia)
  7. International Educational and Scientific Cultural Organization (IESCO)
  8. Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah-sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM)
  9. BDS Malaysia
  10. Al-Quds Foundation Malaysia
  11. GDD Organisation (Gazze Destek)
  12. Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
  13. Rose2Rose
  14. Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP)
  15. MERCY Malaysia
  16. Friends of Palestine Network (FoP)
  17. Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM)
  18. IKRAM Health Malaysia
  19. Global Peace Mission (GPM) Malaysia
  20. Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN)
  21. Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia
  22. Better Dads Malaysia
  23. Association of NexGen Christians of Malaysia (ANCOM)
  24. Palestine Centre of Excellence (PACE)
  25. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
  26. Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM)
  27. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
  28. Malaysians Against Pornography (MAP)
  29. Pertubuhan Pendidikan Progresif Kuching
  30. Hidayah Centre Foundation (HCF)
  31. Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia
  32. Malaysian Association of Muslim Finance Professionals
  33. Malaysian Research & Education Foundation (MyREF)
  34. Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS)
  35. Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB)

 

Sokongan individu / Personal endorsement:

  1. Dato’ Hussamuddin Yaacub
  2. Muslim Imran
  3. Datuk Tan Yew Sing
  4. Loh Pai Ling
  5. Samer Allawi
  6. Suliman Hamid
  7. Thai Ming Yeow

Tinggalkan Balasan