Pada 10hb Disember 2024, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH) telah menerima kunjungan hormat daripada wakil MYCARE. Kunjungan tersebut disambut oleh Presiden KLSCAH, Saudara Yan Deng Yi, bersama-sama dengan Naib Presiden Saudara Lee Foo Wong, Setiausaha Agung Saudara Tan Soon Lim, dan Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Saudara Liao Kok Fah.
Wakil MYCARE yang hadir termasuk Pengerusi Dato’ Seri Kamal , GMO Puan Roha dan Eksekutif Encik Harith.
Tujuan kunjungan ini adalah untuk melaporkan pencapaian operasi bantuan kemanusiaan MYCARE semasa menyertai misi bantuan bencana gempa bumi Syria-Turkiye tahun lalu, serta meneroka kemungkinan kerjasama erat antara kedua-dua pihak pada masa hadapan.
Pada awal Februari 2023, gempa bumi berskala 7.8 magnitud melanda kawasan sempadan antara Syria dan Turkiye, menyebabkan kerosakan teruk kepada masyarakat dan rakyat kedua-dua negara, dengan ramai yang kehilangan nyawa atau cedera parah.KLSCAH dengan semangat kemanusiaan, melancarkan kempen kutipan dana dan berjaya mengumpul sebanyak RM314,703.00 yang melebihi sasaran asal RM200,000. Dana yang dikumpul telah disalurkan kepada MYCARE untuk melaksanakan bantuan susulan kepada mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye.
Kunjungan ini mengukuhkan hubungan antara KLSCAH dan MYCARE, serta membuka peluang kerjasama pada masa hadapan demi tujuan kemanusiaan yang mulia.