SURAT BANTAHAN KEPADA KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) DARIPADA GERAKAN MAHASISWA

  1. Menarik balik Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) dan notis larangan Konsert di Institusi Pendidikan Tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2023.
  2. Memulihkan Jawatankuasa Teknikal Mansuhkan AUKU dengan kadar segera.
  3. Memperkasakan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik mahasiswa/i dan ahli akademik.
  4. Memperkasa autonomi kewangan dan memberikan autonomi kewangan kepada mahasiswa/i.
  5. Memartabatkan hak kebebasan berpersatuan mahasiswa/i.

1.0 LATAR BELAKANG

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkenalkan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di Institusi Pendidikan Tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2023 yang dikeluarkan kepada semua universiti awam dan swasta di Malaysia. Peruntukan dalam Garis Panduan ini adalah tidak masuk akal, dengan banyak larangan dan peraturan yang tidak munasabah. Keputusan ini juga dilakukan tanpa mengambil kira pandangan mana-mana pihak berkepentingan universiti. Gerakan Mahasiswa dengan tegasnya membantah Garis Panduan ini dan menyeru agar Garis Panduan ini ditarik balik dengan kadar segera serta memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

2.0 TUNTUTAN KAMI

2.1 Menarik balik Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di Institusi Pendidikan Tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2023.

Setelah mendapati bahawa pihak pengurusan universiti telah mendapat arahan daripada pihak KPT bahawa Garis Panduan ini akan berkuatkuasa secara serta-merta, kami telahpun mendapati berita bahawa pihak KPT berniat untuk menyemak semula Garis Panduan ini dan selaku Menteri Pendidikan Tinggi, YB Khaled Nordin tidak pernah meluluskan Garis Panduan tersebut.

Isu yang pertama di sini adalah mengenai percanggahan naratif di antara pihak pengurusan universiti dan pihak KPT. Isu yang kedua adalah mahasiswa/i sebagai pihak berkepentingan universiti, pendapat kami tidak pernah diperoleh sebelum Garis Panduan ini dikeluarkan. Kami ingin mengkritik pihak KPT yang bersikap tidak bertanggungjawab dan tidak profesional dalam mengeluarkan Garis Panduan sebegini.

Berkenaan Garis Panduan itu sendiri, kami turut menunjukkan empat sebab utama yang menyebabkan Garis Panduan ini tidak masuk akal dan tidak munasabah.

2.1.1 Penyekatan hak dan kebebasan pihak berkepentingan universiti.

Sebagai contoh, dalam fasal 4.0 dibaca bersama fasal 16.0, dinyatakan bahawa konsert itu perlu mendapatkan kelulusan Kesatuan Mahasiswa atau Majlis Perwakilan Pelajar universiti berkenaan. Walau bagaimanapun, Pihak Pengurusan Universiti dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) di bawah KPT masih mempunyai kuasa mutlak untuk membatalkan acara tersebut sebelum atau pada tarikh acara itu sendiri jika ia dianggap “membawa kesan negatif dalam pelbagai aspek”.

Selanjutnya, dalam fasal 5.4 dan 14.1, semua bahan promosi dan publisiti termasuk poster, sepanduk, buntings, backdrop, wall of fame, portal, dan juga bahan digital seperti media sosial perlu mendapatkan pengesahan dan kelulusan Pusat Komunikasi Korporat universiti.

Ini adalah bertentangan dengan “autonomi mahasiswa” yang beberapa kali dijanjikan oleh KPT. KPT perlu mematuhi janjinya dan membenarkan mahasiswa/i memiliki platform untuk membesar dan berkembang sebagai pemimpin masa depan negara kita.

2.1.2 Perampasan autonomi mahasiswa/i sebagai seorang individu.

Fasal 6.0 menyatakan pembatasan masa pada mana-mana badan mahasiswa/i untuk mengatur aktiviti, jika sesuatu acara diluluskan untuk bermula pada waktu tertentu, ia tidak boleh ditangguhkan sama sekali, walaupun VIP masih belum tiba atau jika terdapat situasi kecemasan yang tidak dapat diramalkan. Pengecualian hanya diberikan kepada VVIP yang terdiri daripada keluarga diraja. Sesuatu program sepatutnya bermula hanya apabila penganjurnya memutuskan ia sesuai untuk bermula, dan ini berbeza bagi setiap genre acara. Gerakan Mahasiswa berpendapat bahawa aktiviti mahasiswa/i tidak memerlukan peraturan yang begitu ketat.

Fasal 8.0 dan 9.0 pula telah menghadkan pakaian artis di pentas, serta jawatankuasa dan peserta yang terlibat dalam acara itu sendiri. Contoh-contohnya seperti: artis lelaki tidak boleh memakai perhiasan atau seluar pendek semasa persembahan malah semasa sesi raptai; artis lelaki dari luar mesti mengikat rambut panjang mereka, dan artis lelaki dari university tersebut tidak dibenarkan memiliki rambut panjang; tindakan berpakaian bersilang jantina tidak dibenarkan, tanpa pengecualian walaupun untuk persembahan budaya; pakaian yang dianggap “memberahikan” juga dilarang.

Dalam fasal 8.0, 9.0, 10.0, 12.0, dan 13.0, terdapat sekatan terhadap aktiviti yang boleh dilakukan di atas pentas. Sebagai contoh, tiada sentuhan fizikal yang dibenarkan antara penari berlainan jantina; tidak boleh ada “gerakan berlebihan” untuk tarian; genre dan lirik muzik, serta paparan skrin LED harus diluluskan oleh “penasihat” acara tersebut.

Penentuan ini secara nyata melanggar kebebasan peribadi individu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, terutamanya Artikel 5: kebebasan peribadi dan Artikel 10: kebebasan bercakap dan bersuara. Mahasiswa/i harus dihormati sebagai individu yang sederajat, dan mereka harus mempunyai hak yang sama di bawah undang-undang. Membezakan mahasiswa/I kerana “mereka bukan sebahagian daripada masyarakat” adalah kenyataan yang tidak adil dan tidak wajar.

2.1.3 Peruntukan dan penggunaan perkataan yang kabur maknanya.

Dalam fasal 5.5, penganjur acara diberi tanggungjawab untuk memastikan persembahan konsert tidak “mendorong kepada kelakuan melampau artis atau penonton atau sekretariat” dan “tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh memecah belahkan perpaduan kaum”. Dalam fasal 7.0, 8.0, dan 9.0, artis yang dijemput juga bukanlah artis “kontroversi”, tidak boleh “mendatangkan mudarat atau merosakkan imej universiti”, tidak boleh berpakaian “menjolok mata”, dan tidak boleh melakukan aksi yang “memberahikan”. Dalam fasal 10.2 dan 12.3, lirik dan persembahan artis, serta perlambangan yang dipaparkan juga tidak boleh menyentuh “sensitiviti rakyat Malaysia”.

Perkataan ini sama ada tidak ditakrifkan dalam garis panduan itu sendiri atau definisi yang diberikan dalam garis panduan adalah kabur mengenai apa yang dianggap sebagai “kontroversi”, “mendorong kepada kelakuan melampau” dan sebagainya. Ia tidak adil untuk kemudian mengambil tindakan terhadap penganjur yang tidak jelas tentang konteks peruntukan-peruntukan berikut jika mereka “melanggar” garis panduan tersebut.

2.1.4 Penyerapan nilai konservatisme ke dalam universiti di Malaysia.

Dalam fasal 11.0, pemisahan tempat duduk penonton menjadi sangat berlebihan. Pertama adalah pemisahan yang ketat antara penonton lelaki dan perempuan dengan pengecualian diberikan kepada “penonton keluarga”. Mosh Pit juga tidak dibenarkan dan tempat duduk tetap, tanpa pengecualian, disediakan untuk penonton tanpa mengira sifat aktiviti tersebut. Penganjur juga dikehendaki menjaga tindakan penonton “tingkah laku” mereka pada setiap masa.

Contoh-contoh lain termasuk dalam fasal 8.0, di mana artis lelaki dilarang untuk memakai seluar pendek dan perhiasan di atas pentas dan berpakaian seperti jantina berlawanan tidak dibenarkan; dan dalam fasal 9.0, sebarang sentuhan fizikal antara penari iringan berlainan jantina dilarang, dan tarian tidak boleh “berlebihan pergerakan”.

Undang-undang seperti ini merupakan undang-undang peribadi di bawah Syariah yang perlu diikuti oleh orang Islam sahaja. Namun begitu, fasal-fasal dalam Garis Panduan ini terpakai kepada mereka yang berlainan agama juga, dan ini bertentangan dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan menganuti dan mengamalkan agama-agama yang lain yang bukannya Islam. Agama Islam merupakan agama rasmi Malaysia, namun penggunaannya terhad sebagai undang-undang peribadi orang Islam, dan tiada sesiapa yang boleh dipaksa untuk menganuti dan mengamalkan agama itu.

2.2 Memulihkan Jawatankuasa Teknikal Mansuhkan AUKU dengan kadar segera.

Bagi Jawatankuasa Teknikal Masuhkan AUKU (JTMA) ini, kami menuntut supaya ahli-ahli JTMA terdiri daripada pakar-pakar undang-undang, aktivis mahasiswa dan aktivis sosial yang mempunyai pengalaman yang berkaitan, pengkaji undang-undang dalam bidang yang berkaitan dan sebagainya. Antara tokoh-tokoh yang berwibawa ialah Prof Shad Saleem Faruqi, Prof Edmund Terence Gomez serta Prof Azmi Sharom. Ini adalah untuk mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh tentang akta tersebut. Untuk pengetahuan Tuan-tuan dan Puan-Puan, Jawatankuasa ini telah berjaya menghasilkan enam kertas polisi yang komprehensif dan turut menegaskan nilai dan prinsip kebebasan akademik, autonomi universiti serta autonomi mahasiswa. Kertas – kertas polisi tersebut adalah berkaitan sistem tadbir urus, ombudsman, sistem peruntukan dan kewangan yang berinstitusi, perjanjian tahap perkhidmatan, profesion akademik, dan university serta institusi pendidikan tinggi. Namun, usaha ini tidak diteruskan selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.

2.3 Memperkasakan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik mahasiswa dan ahli akademik.

Di bawah seksyen 15(2)(b) AUKU, mahasiswa/i tidak dibenarkan untuk menyertai mana-mana organisasi yang ditetapkan oleh LPU yang tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan mahasiswa/i atau Universiti itu. Di bawah seksyen 15(3)(b) pula, mahasiswa/i tidak dibenarkan memberikan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap mana-mana pihak yang ditetapkan oleh LPU sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan mahasiswa/i atau Universiti itu.

Kedua-dua peruntukan ini memberikan kuasa yang luas dan kabur kepada LPU dalam menentukan apakah yang dimaksudkan sebagai “tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan mahasiswa/i atau Universiti itu”. Walaupun universiti-universiti di Malaysia sentiasa menyatakan bahawa mereka sanggup melatih dan menzahirkan mahasiswa mahasiswi yang mempunyai pemikiran yang kritikal dan bebas, tetapi AUKU telah memberikan kuasa kepada pihak universiti untuk menyekat aktiviti yang berunsur akademik dengan alasan aktiviti tersebut adalah “tidak sesuai”.

Di bawah seksyen 15(4) pula, mahasiswa/i hanya dibenarkan untuk membuat sesuatu kenyataan sekiranya kenyataan itu adalah berkaitan dengan pengajian atau penyelidikannya dalam seminar, simposium atau majlis seumpamanya. Oleh itu, seksyen 15(4) telah mengenakan sekatan yang agak ketat di mana mahasiswa/i hanya dibenarkan menyuarakan pendapat mereka dalam keadaan-keadaan yang agak terhad. Kami berpandangan bahawa kebebasan bersuara dan akademik tidak seharusnya disekat secara pramatang oleh undang-undang tambahan kerana institusi pengajian tinggi ditubuhkan dengan aspirasi melahirkan tunggak negara yang berfikiran kritikal dan berupaya menyuarakan pendapat secara berprinsip.

Bagi staf IPT dan ahli akademik pula, kebebasan bersuara serta kebebasan akademik golongan ini turut tersekat. Secara amnya, AUKU tidak memperuntukan kebebasan akademik untuk golongan staf IPT dan ahli akademik. Perkara ini dapat dilihat dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) di mana peraturan tatatertib boleh didapati di bawah Jadual Kedua Akta 605. Seseorang pegawai mesti memberikan taat setia sepenuhnya kepada kerajaan menurut Peraturan 3; seseorang pegawai tidak boleh membuat kenyataan awam yang boleh memudaratkan dasar kerajaan, memburukkan nama kerajaan dan sebagainya menurut Peraturan 18. Peruntukan-peruntukkan ini telah menyekat kebebasan bersuara para akademik dan pentadbiran, dan mereka tidak dibenarkan menyuarakan pendapat mereka tentang kerajaan, mahupun memberi sebarang maklumat atau penjelasan.

Oleh itu, kami menuntut bahawa hak dan kebebasan bersuara serta akademik wajarlah dijamin di bawah IPT. Mahasiswa/i, seperti ahli masyarakat Malaysia yang lain, wajarlah menikmati hak dan kebebasan bersuara yang telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

2.4 Memperkasakan autonomi kewangan dan memberikan autonomi kewangan kepada mahasiswa.

Di bawah seksyen 15A AUKU, mahasiswa/i tidak dibenarkan untuk mengumpul atau memegang wang. Kesannya, mahasiswa/i sentiasa mengalami kesukaran dalam menganjurkan pelbagai aktiviti terutamanya aktiviti yang melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Hal ini adalah disebabkan oleh kelembapan sistem “e-procurement” dan system tuntutan bayaran melalui resit di Universiti-Universiti.

Sekiranya mahasiswa/i ingin membayar melalui “e-procurement”, peniaga yang menawarkan perkhidmatan hanya boleh mendapatkan bayaran sekurang-kurangnya beberapa bulan selepas perkhidmatan telah diberikan. Sebagai alternatif, mahasiswa/i terpaksa menggunakan wang mereka sendiri terlebih dahulu sebelum menuntut bayaran daripada pihak pengurusan Universiti dengan menggunakan resit asal. Walau bagaimanapun, kelembapan pihak pengurusan Universiti dalam memproses tuntutan bayaran mahasiswa/i telah menyebabkan mahasiswa/i menanggung risiko kewangan yang agak tinggi. Tambahan pula, perkara ini juga membuka peluang kepada pihak universiti untuk tidak meluluskan perbelanjaan persatuan mahasiswa yang kurang disegani pihak pentadbiran.

Oleh itu, kami menuntut supaya hak menguruskan hal ehwal kewangan badan mahasiswa dikembalikan kepada para mahasiswa/i. Bagi memastikan pengurusan kewangan yang telus, pihak Universiti boleh menubuhkan sebuah badan kawal selia, untuk menyemak dan mengauditkan kaporan kewangan badan mahasiswa pada setiap hujung tahun kewangan.

2.5 Memartabatkan hak kebebasan berpersatuan mahasiswa.

Di bawah seksyen 16 AUKU, Naib Canselor diberikan kuasa untuk menggantung atau membubarkan mana-mana pertubuhan, badan dan kumpulan pelajar yang pada pendapat Naib Canselor, boleh merosakkan atau mendatangkan mudarat kepada kepentingan atau kesentosaan Universiti. Walau bagaimanapun, kuasa sebegitu adalah bersifat drakonian kerana ia memberikan kuasa kepada Naib Canselor untuk membuat keputusan menggantung atau membubarkan sesebuah badan pelajar tanpa perlunya menjalankan sebarang siasatan terlebih dahulu.

Oleh itu, kami menuntut supaya kuasa draconian sebegini dimansuhkan. Sebaliknya, mana-mana badan pelajar yang dituduh menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang Universiti wajarlah disiasat oleh pihak Universiti dan dibawa ke hadapan sebuah tribunal yang bebas untuk menjatuhkan keputusan.

Di bawah seksyen 15D AUKU, Naib Canselor boleh dengan budi bicaranya menggantung seseorang pelajar yang dipertuduh atas suatu kesalahan boleh daftar. Sama seperti seksyen 16, peruntukan-peruntukan sebegini memberikan kuasa draconian kepada Naib Canselor untuk membuat keputusan tanpa semak imbang yang sepatutnya.

Tambahan pula, Jawatankuasa Tatatertib Universiti juga tidak dapat memberikan keadilan kepada pelajar yang sewajarnya. Sudah terang lagi tersuluh dalam kes Fahmi Zainol v Jawatankuasa Tatatertib Pelajar Universiti Malaya [2017] 10 CLJ 305, Mahkamah Tinggi telah memustuskan bahawa Jawatankuasa Tatatertib Pelajar yang terlibat tidak mematuhi peraturan undang-undang asas dan telah melanggar hak asasi pelajar-pelajar yang didakwa. Oleh itu, kami menuntut supaya Jawatankuasa Tatatertib Pelajar Universiti wajar digantikan dengan sebuah Tribunal Tatatertib yang bebas, terdiri daripada individu yang berpengetahuan undang-undang dan yang paling penting, memisahkan peranan pendakwa daripada hakim.

3.0 KESIMPULAN

Pihak Gerakan Mahasiswa mengkritik pihak KPT kerana meluaskan kawalannya terhadap aktiviti mahasiswa/i dan mengehadkan kebebasan pelajar serta memperluaskan dasar-dasar konservatif di kampus. Larangan-larangan yang ketat di kampus ini belum pernah berlaku dalam sejarah dan ini memberikan petanda yang jelas bahawa pihak KPT tidak berniat memberi kebebasan yang lebih besar kepada mahasiswa/i. Pelaksanaan garis panduan ini secara tiba-tiba tanpa notis awal serta tanpa memperolehi pendapat pelajar, dengan jelas menunjukkan bahawa pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk mengembalikan autonomi pelajar yang dijanjikan sebelum ini nampaknya hanyalah aksi bagi mengalihkan perhatian mahasiswa/i. Kami dengan ini menyeru KPT untuk menarik balik Garis Panduan ini dengan kadar segera, memansuhkan AUKU, dan mengembalikan hak dan autonomi kepada para mahasiswa/i yang dijanjikan serta pengalaman kampus yang progresif.

 

Disediakan oleh:

University of Malaya New Youth (UMANY)

Disokong oleh:

University of Malaya New Youth (UMANY)

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya Suara Siswa

Suara Siswa UM

Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

ALIRAN

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)

Gerakan Pembebasan Akademik

KLSCAH Civil Rights Committee

KLSCAH Youth

Parti Muda

Parti Sosialis Malaysia

洪偉翔律師(翱翔天際專欄作者)

Siti Kasim (Human rights lawyer)

Thomas Fann (Bersih Chairperson)

Ooi Kok Hin (Bersih Executive Director)

Pusat Komas

Ooi Guo Shen (Former President of Universiti Malaya Students’ Union)

Wong Yan Ke (Former president of UMANY/)

Pemuda Sosialis

Persatuan Alumni UMANY

Malaysian Action for Justice and Unity (MAJU)

Youth Of Malaysia

Mahasiswa Demokratik Malaysia

Monash University Student Association (MUSA)

Taylor’s Chinese Society

Persatuan Matematik Universiti Malaya (UMMA)

Leo Club of Universiti Malaya

Universiti Malaya Actuarial and Financial Mathematics Society (UMACT)

Universiti Malaya International Students Association (UMISA)

Taekwondo WT UM

AIESEC in UM

Pasukan Gendang 24 Musim Universiti Malaya

Kung Fu Club University Malaya

UMCvEC

Universiti Malaya Japanese Club

UM Justech

UM Lex Act

UM Toastmasters Club

Universiti Malaya Dancesport Club (UMDSC)

Southern University College Debate Club

Kelab Kesenian Persembahan Universiti Malaya (KKPUM)

Citizen Lab

Pasukan Debat Cina New Era

Bichara Malaya

Universiti Malaya Data Analytics Club (UMDAC)

Agora Society

Teoh Beng Hock Trust for Democracy

SKL Nan Ann Youth Section

Selangor and Kuala Lumpur Hokkien Association Youth Section

GOPIO Malaysia

Persatuan Alumni New Era

Justice for Sisters

Institut Demokrasi dan Emansipasi Anak Muda (IDEA)

UNDI18 (Persatuan Pengundi Muda)

Students Progressive Front UUM

Suara Siswa UUM

Malaysia Youths and Students Evolution

Student Progressive Front UUM

Suara Siswa UUM

New Era University College Media Studies Society

The Malacca Chinese Assembly Hall Youth Section

Youth Bureau of Negeri Sembilan Chine

 

Individu:

Prahvina Nagaraja

Eusoff Husainy

Preevena Devi Jayabalan

Yong Li Yan

Dennis Tan Guo An

Leo Ik Hau (Southern University College)

Mervin Tan Wei Hong

Lim Jin Hang

Chan Jun Ye

Choy Meng Hooi

Nursarah Aisyah

Leong Mae Jern

Lee Yong Xing (Southern University College )

Jonathan Lee Rong Sheng

Bowie Koh Chao Wei (Engineering Society of Universiti Malaya (ESUM))

Muhammad Faris bin Ahmad Faiz (President of Persatuan Komputer Universiti Malaya (PEKOM))

Pang Guo Liang (University Monash Malaysia)

Gan Wan Xuan (Southern University College (SUC))

Nadia Malyanah

Shari Tan Xin Wen

Liew Chien Xuan

柯福特 (柔佛州和谐福利协会总务)

Lee Jian Hong

Chan Yan Wei

Tan Chun Keat

Chuah Yee Rou

 

Tinggalkan Balasan