Pada awal Februari ini, gempa bumi kuat berukuran 7.8 yang berlaku di sempadan Syria dan Turkiye telah mengakibatkan kerugian dan kemusnahan yang besar dalam kalangan rakyat kedua-dua negara ekoran angka maut dan cedera yang terus meningkat. Setakat hari ini, sekurang-kurangnya 50,000 orang telah dilaporkan terkorban susulan gempa bumi yang dahsyat ini.
Mesyurarat Lembaga Pengarah Eksekutif Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH) yang diadakan pada 8 Februari 2023 telah meluluskan usul bagi melancarkan kutipan derma bantuan kemanusiaan bencana gempa bumi Syria dan Turkiye di bawah pimpinan Naib Presiden KLSCAH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kutipan Derma Bencana Gempa Bumi Syria dan Turkiye, Saudara Thay Peng Hong. KLSCAH telah menetapkan sasaran sumbangan sebanyak dua ratus ribu ringgit (RM200,000.00) dan seterusnya menggerakkan masyarakat Cina untuk memberikan sokongan kemanusiaaan kepada mangsa gempa bumi Syria dan Turkiye. Hari ini, KLSCAH menyerahkan kutipan derma kepada MyCARE, dan melalui MyCARE, menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa Syria dan Turkiye.
Pihak KLSCAH telah melancarkan kutipan derma khas pada 10 Februari 2023. Lantaran itu, KLSCAH bergerak pantas dalam memobilisasi ahli-ahli pertubuhan KLSCAH serta ahli Lembaga Pengarah KLSCAH dalam menyalurkan sumbangan kewangan kepada mangsa gempa bumi. Pihak kami juga mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan berjaya mendapat kutipan derma sebanyak Tiga Ratus Empat Belas Ribu Tujuh Ratus dan Tiga Ringgit (RM314,703.00) dalam tempoh yang singkat.
Sehubungan itu, WANITA KLSCAH dan Jawatankuasa Budaya dan Pendidikan KLSCAH turut melancarkan program kutipan khas sendiri dan menganjurkan konsert amal masing-masing demi menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi. Dengan kerjasama WANITA KLSCAH dan Jawatankuasa Budaya dan Pendidikan KLSCAH, program kutipan derma khas tersebut telah dijalankan dengan lancar dan berjaya mencapai sasaran sumbangan dengan segera.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-100 KLSCAH. Peranan KLSCAH berubah mengikut perkembangan sejarah dan keadaan semasa negara. Kini, KLSCAH telah menuju ke arah masyarakat sivil dan memupuk ciri-ciri kepelbagaian merentasi etnik seperti melancarkan penubuhan Gabungan Bertindak Malaysia yang bersifat multi-etnik pada tahun 2009 dan kerjasama strategik dengan Pertubuhan Ikram Malaysia dalam Pilinan Raya Umum ke-15 baru-baru ini. Justerunya, Kutipan Derma Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Syria dan Turkiye tersebut selari dengan kerja-kerja merentasi etnik yang dijalankan oleh KLSCAH sepanjang tahun ini. Inisiatif bantuan gempa bumi tersebut merentasi sempadan wilayah, bangsa, agama, dan warna kulit yang menunjukkan semangat tolong-menolong dan bertimbang rasa dalam kalangan masyarakat.
Sidang Media Penyampaian Mock Cheque pada hari ini adalah bertujuan untuk menyerahkan kutipan derma yang diterima kepada MyCARE bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi Syria dan Turkiye. Di sini, pihak KLSCAH ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang menyahut seruan KLSCAH demi menyalurkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi. Walaupun sumbangan berkenaan tidak banyak, tetapi diharapkan dapat membantu rakyat Syria dan Turkiye mengatasi krisis gempa bumi serta kembali menjalani kehidupan norma mereka dengan segera. Semoga bencana alam ini segera berlalu dan mangsa-mangsa dapat menghadapi cabaran ini dengan tabah. Sekian.