Kenyataan Bersama IKRAM & KLSCAH

BANTERAS SEGERA SENTIMEN PERKAUMAN

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH) melahirkan kebimbangan dengan sentimen perkauman yang dimainkan akhir-akhir ini terutamanya di media sosial.

Sentimen perkauman yang ditiupkan boleh menggugat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sehubungan dengan itu, IKRAM dan KLSCAH menggesa semua pihak agar membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mengeluarkan kenyataan atau menerbitkan bahan yang boleh menimbulkan kegusaran awam. Pertimbangan hendaklah berpandukan  Rukun Negara yang bertujuan membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.

IKRAM dan KLSCAH menyeru agar semua pemimpin politik dan pemimpin masyarakat berperanan untuk memastikan anggota masing-masing tidak mengeluarkan kenyataan provokasi perkauman demi menjaga keharmonian yang telah sekian lama terbina.

Anggota masyarakat juga harus berperanan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa apabila terdapat pihak-pihak yang menyebarkan kebencian terhadap sesuatu kaum atau mengapi-apikan isu perkauman. Dengan itu, sentimen perkauman dapat disekat dan dibawa ke muka pengadilan.

Harapan kita agar perpaduan dan kesepaduan di antara masyarakat pelbagai kaum dapat dikukuhkan dan seterusnya mewujudkan negara yang stabil demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, maju dan progresif.

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)

 

Depan (dari kiri):Naib Presiden KLSCAH Ng Geok Chee, Setiausaha Agung, KLSCAH Tan Soon Lim, Presiden KLSCAH Ngan Teng Ye, Presiden IKRAM Hj Badlishah Sham bin Baharin,Timbalan Presiden IKRAM Jusni bin Yusoff , Setiausaha Agung IKRAM Hj Shahrul Aman bin Mohd Saari

Tinggalkan Balasan