Walaupun Manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 telah berjanji akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), namun Presiden Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Ngan Teng Ye berpendapat bahawa kerajaan baharu wajar menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi negara, dan mengelakkan mereka yang berfikiran sempit daripada terus menggembar-gemburkan isu pengiktirafan UEC yang akan menimbulkan kontroversi nanti.
Negara kita sedang mengalami perubahan besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah. Biarpun pembentukan kerajaan baharu telah diputuskan, tetapi perkembangan sosial dan ekonomi masih dalam keadaan rumit dan sukar, dan menghadapi pelbagai cabaran.
Kita perlu sedar bahawa sentimen perkauman dan keagamaan yang ekstrem akan menggugat keamanan negara dan keharmonian sosial jika tidak ditangani dengan baik.
Dapat diramalkan bahawa perjuangan untuk dasar kepelbagaian dan inklusif akan mengambil jangka masa yang panjang dan berterusan.
Semasa memberi ucapan sempena majlis perayaan ulang tahun ke-99 KLSCAH semalam, Ngan Teng Ye berharap semua pihak boleh saling membantu dan bersolidariti dalam negara bermasyarakat majmuk ini, memastikan keterbukaan, inklusif, dan saling belajar tentang konsep kepelbagaian supaya dijadikan petunjuk utama bagi merealisasikan penghayatan keindahan kepelbagaian budaya dan semangat kebersamaan kita sebagai anak Malaysia.
Inilah wawasan kemakmuran yang diharapkan oleh masyarakat Cina dalam seabad ini. Dalam era politik kepelbagaian diamalkan oleh kerajaan, beberapa matlamat perjuangan yang tidak dapat dicapai dalam tempoh singkat seperti pengiktirafan UEC boleh kita serah pada masa untuk tentukan, bagi mengelakkan segelintir pihak yang berfikiran sempit cuba menimbulkan kontroversi dan merebut kuasa.
