Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) kecewa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) selama 14 hari, dan bukannya 21 hari. Sebelum ini, KLSCAH pernah menyeru SPR melanjutkan tempoh berkempen sehingga 21 hari, namun cadangan tersebut tidak diterima.
Memandangkan keputusan tersebut sudah muktamad, KLSCAH mengemukakan tiga cadangan berikut, dan diharapkan SPR dapat membuat pertimbangan sewajarnya.
1. Sediakan pusat mengundi yang mencukupi: Susulan penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun, bilangan pengundi layak yang berumur 18 tahun dan ke atas akan mencecah lebih 5.8 juta. Walaupun tempoh masa pengundian dilanjutkan selama satu jam, namun SPR juga perlu memastikan pusat mengundi menyediakan tempat mengundi yang secukupnya mengikut kawasan pilihan raya yang berbeza bagi mengelakkan kesesakan.
2. Melanjutkan tarikh permohonan undi pos sehingga 30 Oktober: Walaupun permohonan undi pos dalam dan luar negara bermula pada 10 Oktober, namun KLSCAH berpendapat bahawa tempoh permohonan tersebut terlalu singkat kepada pengundi baharu yang bermastautin di luar negara. KLSCAH menyeru SPR melanjutkan tarikh permohonan undi pos sehingga 30 Oktober dan memudahkan proses permohonan bagi menggalakkan mereka mendaftar sebagai pengundi pos.
3. Kerjasama antara semua pihak bagi memperkukuh pengurusan bencana banjir: KLSCAH menyeru SPR mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya berlaku banjir ketika tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung. SPR wajib bekerjasama dengan anggota keselamatan dan mendirikan pusat pemindahan, pada masa yang sama menyediakan pusat mengundi sementara di dalam pusat pemindahan, untuk membantu mangsa banjir dan juga memastikan keselamatan mereka.
KLSCAH menyeru seluruh rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pengundi dengan mengundi mana-mana calon yang difikirkan sesuai untuk menjadi wakil rakyat mereka, kerana keberkesanan sistem demokrasi bergantung kepada usaha bersama setiap warganegara.
DEWAN PERHIMPUNAN CHINA KUALA LUMPUR DAN SELANGOR (KLSCAH)