Pemuda KLSCAH mengecam tindakan polis yang menyiasat kumpulan mahasiswa Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany) di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kenyataan mereka respons terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat, dan menasihati semua anggota parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.

Kami ingin mengingatkan pihak polis agar tidak menyalahgunakan kuasa untuk menyekat hak kebebasan bersuara. Setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk bersuara dan menyuarakan pendapat seperti yang termaktub dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Tindakan siasatan atau penahanan yang bermotif politik dengan tujuan menghapuskan pandangan yang berbeza adalah bercanggah Perlembagaan dan bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Malangnya, pihak polis masih lagi mengguna akta-akta yang menindas rakyat dan menyekat kebebasan bersuara terhadap mahasiswa tersebut. Padahalnya, Akta Hasutan adalah peninggalan penjajah yang telah lapuk dan selalu diguna oleh pemerintah untuk mengehadkan kebebasan rakyat  meluahkan pendapat secara bebas. Kami mengecam sekeras-kerasnya atas segala bentuk penindasan dan menegaskan bahawa semua akta-akta yang menindas rakyat harus dimansuhkan.

Kenyataan UMANY yang bertajuk”YDPA tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara” hanya membincang dan menghuraikan fakta dan peranan monarki berdasarkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Perbincangan ini harus dilihat dari segi akademik and dihujah secara rasional. Kami kesal terhadap tindakan segelintir netizen dan kumpulan yang memutarbelitkan maksud kenyataan dengan melabelkan UMANY sebagai organisasi komunis yang cuba “menghancurkan sistem beraja”. Pemuda KLSCAH mengecam tindakan pihak yang melemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dan berniat buruk ini.

Selain itu, Kami kecewa terhadap pengumuman pihak Universiti Malaya (UM) yang mengatakan akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mahasiswa-mahaisiswi tersebut. Sebagai sebuah universiti yang terkemuka, adalah memalukan pihak pengurusannya mencengkam hak asasi mahasiswa dan gagal mempertahankan prinsip kebebasan akademik dan autonomi.

Kami berpendapat bahawa hak bersuara harus dihormati dan dijamin tak kiranya sama ada kami bersetuju dengan ulasan-ulasannya atau tidak. Di sebaliknya, kami sepatutnya membincang dengan hati yang terbuka dan secara rasional, tindakan membuat laporan polis dan menyebarkan maklumat palsu adalah tidak wajar dan memudaratkan demokrasi negara kita.

Kami menyeru agar semua pihak hentikan segala siasatan dan dakwaan yang tidak berasas, bersamalah mempertahankan nilai demokrasi dan hak asasi manusia.

(Gambar dipetik dari Fb UMANY)

Tinggalkan Balasan