KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini menyertai ribuan rakyat memeriahkan majlis rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Perdana Menteri memulakan kunjungannya dengan menghadiri ke rumah terbuka anjuran parti GERAKAN di pekarangan ibu pejabat parti itu di Cheras.
Beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meluangkan masa kira-kira 45 minit di majlis berkenaan, turut beramah mesra dan bersalaman dengan pengunjung yang hadir.
Selesai majlis itu, Dr Mahathir ditemani isteri berkunjung pula ke majlis sama anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (DPCKLS) di bangunan pertubuhan itu di sini.
Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri tiba pada majlis itu, yang turut dihadiri beberapa menteri dan timbalan menteri.
Pada majlis itu, Dr Mahathir dan timbalannya serta pengunjung yang hadir turut disajikan dengan persembahan seni patung tepung dan seni kebudayaan Tiong Hua.
Beliau bersama kenamaan lain juga diberi peluang menulis kaligrafi, jawi dan Tamil yang turut menjadi sebahagian agenda dalam majlis itu, selain lawatan ke tapak pameran di dewan berkenaan.
Terdahulu, di kedua-dua majlis, Dr Mahathir dan kenamaan lain turut menggaul ‘yee sang’, acara tradisi setiap kali sambutan Tahun Baru Cina.
Dipetik daripada: Berita Harian
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/649898/pm-tpm-meriahkan-sambutan-tahun-baharu-cina