Rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini mencuri tumpuan dengan partunjukan khas beberapa tulisan kaligrafi.

Dilihat sebagai usaha perdamaian susulan kontroversi pengenalan tulisan Jawi di sekolah, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin PH yang lain berdiri memegang sepanduk dengan ucapan ‘Selamat Tahun Baru Cina’ yang ditulis dalam tulisan Jawi, khat, dan skrip Tamil.

Ketika dihubungi selepas itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KLSCAH, Lee Shok Jing berkata sepanduk itu juga turut memaparkan kaligrafi Cina lama yang tertera perkataan ‘musim bunga sudah kembali’.

“KLSCAH telah mempamerkan kaligrafi khat dan Cina sejak acara kebudayaan Cina pada tahun 2016,” katanya kepada Malaysiakini.

“Tetapi buat pertama kali, tulisan Jawi, khat dan Tamil dipamerkan semasa rumah terbuka Tahun Baru Cina kami,” tambahnya.

Pemimpin PH yang berada di atas pentas ialah Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Industri Utama Teresa Kok, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Turut berada di pentas adalah aktivis warisan Ishak Surin. Presiden MCA Wee Ka Siong adalah antara ahli politik lain yang dilihat hadir.

Pada majlis itu, beberapa meja juga diletakkan di sudut bahagian dewan utama. Di salah satu sudut, para tetamu dilihat beratur untuk meminta nama mereka ditulis dalam kaligrafi Jawi dan khat. Sementara di meja lain, demonstrasi kaligrafi Cina diadakan.

Ratusan tetamu yang hadir sebelum itu dihiburkan dengan pertunjukan tarian singa.

Pengkritik langkah kerajaan untuk memperkenalkan pelajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular sebelum ini mencadangkan supaya ia diajar sebagai sebahagian daripada pelajaran seni dan bukannya dimasukkan dalam subjek Bahasa Melayu.

Pelajaran Jawi kini digabungkan sebagai tiga halaman dalam buku teks Tahun 4 Bahasa Malaysia yang digunakan untuk sekolah vernakular tahun ini.

Pada masa ini, dasar Kementerian Pendidikan adalah bahawa seksyen tiga muka surat itu adalah pilihan untuk sekolah vernakular, tertakluk kepada persetujuan daripada ibu bapa dan persatuan ibu bapa dan guru.

Dipetik dari Malaysiakini
https://www.malaysiakini.com/news/508419

Tinggalkan Balasan