AKTA PERHIMPUNAN AMAN LEBIH MENCABUL HAK ASASI RAKYAT
KLSCAH beranggap bahawa Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang baru dibentangkan atas nama pindaaan sebenarnya merupakan tindakan untuk menyekat kebebasan berhimpun dan sekali gus melanggar Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang yang diperkenalkan ini jelas bersifat lebih menekan berbanding peruntukan Seksyen 27 di bawah Akta Polis 1967.
Pada Oktober 2010, Perhimpunan Agung PBB telah mengiktiraf hak berhimpun secara aman dan berpersatuan bagi melindungi hak-hak minoriti untuk kebebasan bersuara, berhimpun secara aman dan berpersatuan, dan sekatan hendaklah bebas dari sebarang gangguan.
Akan tetapi, berdasarkan akta baru ini, penganjur memerlukan kelulusan 30 hari sebelum perhimpunan itu diadakan, tidak boleh berhimpun dalam kawasan larangan, melipatgandakan jumlah denda yang boleh dikenakan kepada peserta dan penganjur terlibat, dan individu berumur di bawah 21 tahun serta kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun juga tidak dibenarkan menyertai perhimpunan.
Sementara itu, Seksyen 27 di bawah Akta Polis 1967 yang sudah ketinggalan zaman merupakan suatu alat kerajaan untuk menekan kebebasan berhimpun. Akta ini harus dimansuhkan kerana telah melanggar hak asasi manusia dan prinsip-prinsip demokrasi.
Pindaan ini seharusnya membawa kepada kebebasan demokrasi yang lebih baik di Malaysia. Meskipun Perkara 10 membenarkan sebarang akta digubal oleh Parlimen untuk menghadkan perlaksanaan hak berhimpun namun had tersebut tidak boleh sama sekali sampai ke tahap menghapuskan hak rakyat terhadap perhimpunan aman. Pihak KLSCAH menentang akan pindaan ini, dan ia seharusnya dibetulkan semula bagi selaras dengan proses demokrasi dan hak berhimpun secara aman.