Kepelbagaian dan perbezaan pendapat adalah tanda-tanda kemerdekaan yang sebenar
Kami, amat menghargai kepelbagaian di Malaysia daripada segi etnik, agama, bahasa, kebudayaan, sosioekonomi, jantina, dan gaya hidup serta fizikalnya. Oleh demikian, kami tidak akan berpura-pura bahawa adanya satu Malaysia yang akan memenuhi harapan dan aspirasi seluruh masyarakat Malaysia. Kami bangga dengan wawasan kami sendiri untuk Negara dan dalam masa yang sama kami menghormati wawasan pihak yang lain.
Kami melihat kepelbagaian kecenderungan dan variasi pendapat dalam konteks bagaimana Negara ini patut maju ke hadapan adalah satu kemestian dan keperluan – Kemestian kerana kita bebas untuk memilih; Keperluan kerana kita mempunyai pelbagai alternatif yang dapat dipertimbangkan. Kepelbagaian dan perbezaan pendapat adalah tanda-tanda keindahan kemerdekaan yang sebenar.
Kami yakin, walau bagaimanapun seluruh warga Malaysia, ahli politik dan pengundi mesti bersama-sama berkongsi satu matlamat utama iaitu pemansuhan keganasan politik.
Keganasan politik mengancam kemerdekaan kita
Keganasan politik merujuk kepada segala perbuatan untuk mencapai matlamat politik dengan cara mengakibatkan kesengsaraan kepada pihak lain ataupun menindas mereka dengan zalim. Perkara ini adalah berbeza sekali daripada pengamalan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan di mana ketidakadilan atau kezaliman tidak disuarakan, dilaksanakan dan dijadikan satu modal ancaman.
Keganasan politik adalah lebih teruk daripada pencabulan keamanan kerana kezaliman politik adalah pengeksploitasian pihak yang lemah dan minoriti. Ia menafikan mangsa-mangsa kezaliman politik hak untuk turut sama menyertai proses pembinaan masyarakat dan menghalang kewujudan keputusan bersama melalui penggunaan akal yang rasional.
Bahkan, kezaliman politik adalah teras penjajahan kerana ia menjadi instrumen bagaimana sistem penjajahan dikenakan ke atas kita. Kemerdekaan Negara dalam konteks ini hanyalah bererti apabila seluruh warganegara bebas daripada penerusan penjajahan kezaliman dan dapat mempraktikan kebebasan serta dapat menggunakan akal yang rasional dalam kehidupan seharian.
Empat prinsip dalam Memperkasakan Keamanan
Dalam hal ini, keamanan berbaur ketakutan yang menjadi punca penghalang penyertaan penuh kita dalam hal ehwal awam merupakan keamanan yang palsu.
Keamanan yang sejati hendaklah bersifat memperkasa dan menyeluruh untuk membolehkan seluruh warga Malaysia menyumbang dan menikmati hidup bernegara. Keamanan yang tulen menghendaki kedaulatan undang-undang dan perlindungan hak-hak asasi manusia. Oleh sebab itu, ia sememangnya bersifat politik namun sama sekali bukan politik kepartian.
Kami, menyeru seluruh pertubuhan dan warganegara Malaysia terutamanya ahli politik dan parti-parti politik untuk berpegang kepada prinsip-prinsip berikut:
1. Toleransi sifar kepada kezaliman sebagai medium politik
Hidup berketamadunan memerlukan keupayaan mengawal diri. Konflik-konflik yang timbul haruslah ditangani secara aman menerusi dialog, perbincangan secara menyeluruh dan proses tindakan guaman menurut saluran perundangan. Hendaklah kita mempunyai sikap toleransi sifar terhadap ugutan ataupun desakan keganasan sebagai medium politik tanpa mengira keadaan mahupun perkara.
Dalam konteks ini, perbuatan keji yang telah dilakukan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam “protes kepala lembu” semestinya didakwa kerana mencetuskan keganasan, dan bukannya kerana hasutan mahupun perhimpunan haram. Samseng-samseng yang mengugut untuk merogol Rodziah Ismail dan membunuh Khalid Samad yang dipilih sebagai wakil rakyat sah di Shah Alam, hendaklah disiasat and ditangkap atas dakwaan ugutan jenayah. Ugutan keganasan seksual, norma biasa di dalam banyak konflik masyarakat, adalah membimbangkan dan sama sekali tidak boleh diterima.
2. Melawan kebencian dengan hujah
Kebencian wujud dalam setiap masyarakat dan hanya akan dapat dihapuskan secara efektif dengan hujah dan akal yang rasional, bukanlah dengan undang-undang. Dengan mengambil kira keadaan masyarakat yang peka dan merangsangkan, kedangkalan ucapan yang penuh dengan kebencian boleh didedahkan dan pelakunya dimalukan. Penindasan melalui penggunaan undang-undang hanya melemahkan tindak balas masyarakat terhadap kebencian dengan menidakkan keperluan daya intelektual dan keberanian moral dalam berhadapan dengan ketaksuban.
Pencabulan terbaru terhadap Malaysiakini oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana menyiarkan klip video “protes kepala lembu” dan sidang akhbar Menteri Dalam Negeri yang mempertahankan perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar kebebasan bersuara, tetapi juga melindungi keganasan daripada kecaman masyarakat.
3. Tanggungjawab kerajaan untuk melindungi penyertaan politik
Kerajaan yang memonopoli hak sah penggunaan kekerasan hanya perlu wujud demi melindungi rakyat daripada kekerasan individu dan tidak menggunakan kekerasan lebih daripada apa yang sewajarnya. Kuasa untuk menghukum dan melaksanakan paksaan yang dimiliki kerajaan sama sekali tidak harus digunakan terhadap aktiviti politik yang bersifat aman. Sebaliknya, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan hak penyertaan politik dikalangan rakyat.
Daripada menahan secara rambang 160 orang peserta demonstrasi 1BLACKMalaysia, para peguam yang bertugas, 589 peserta demonstrasi anti-ISA dan juga bukan peserta yang berada disekitarnya, mereka yang anti-PPSMI, peserta demonstrasi Kampung Buah Pala dan Hindraf, begitu juga dengan menggunakan kekerasan yang tidak perlu; pihak polis sebaliknya lebih patut mengawal trafik dan membantu mengekalkan ketenteraman. Kerana akhirnya, perjuangan yang laungkan oleh para peserta demonstrasi ini akan dinilai keabsahannya oleh rakyat, dan bukannya polis maupun pihak eksekutif.
4. Mempertahankan kerajaan yang dipilih
Ancaman keganasan politik menjadi isu besar apabila tokoh-tokoh politik memilih jalan selain proses pilihan raya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. Demokrasi adalah satu-satunya jaminan kepada kestabilan politik dan keamanan. Ahli-ahli dan parti-parti politik hendaklah melakukan yang terbaik untuk memenangi pilihan raya secara telus dan jujur, dan bukanlah merampas kuasa selepas pilihan raya. Jika tidak, kehancuran sistem demokrasi akan mengundang rampasan kuasa dan revolusi.
Rampasan kuasa di Perak memperlihatkan sebuah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat digulingkan oleh institusi seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihak Mahkamah, pihak birokrasi dan polis yang dilantik. Siasatan berpihak BPR Malaysia di Selangor dalam suasana Barisan Nasional menyuarakan hajat untuk mengambil alih kerajaan negeri telah membawa kepada kematian Teoh Beng Hock, pegawai kerajaan negeri yang pertama ditahan di bawah agensi persekutuan. Sekiranya tiada komitmen daripada kedua-dua belah pihak dalam dunia politik dalam mempertahankan demokrasi, pilihan raya akan datang sudah tentu memperlihatkan tentera menjadi institusi seterusnya diheret dalam pertentangan politik.
Pada hari kelahiran Malaysia yang bertuah ini, yang sepatutnya dijadikan cuti umum negara 46 tahun lalu, marilah bersama-sama kita memperkasakan keamanan yang menjadi asas kehidupan negara kita agar seluruh rakyat dapat menikmati kebebasan yang sebenar.
Kami yang menandatangani perisytiharan ini:
1. 1BLACKMalaysia Facebook Page and Group
2. Aliran Kesedaran Negara (Aliran)
3. All Women’s Action Society Malaysia (AWAM)
4. Amnesty International Malaysia
5. Awal Nahdah Resources
6. Centre for Independent Journalism (CIJ)
7. Centre for Policy Initiatives (CPI)
8. Centre for Public Policy Studies (CPPS)
9. Civil Rights Committee, Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (CRC-KLSCAH)
10. Civil Society Committee, LLG Cultural Development Centre (LLG-CSC)
11. Civil Society Initiative for Parliamentary Reform (CSI@Parliament)
12. Council of Churches of Malaysia Youth Network
13. Durham Malaysian Scholars
14. Gabungan Bertindak Mahasiswa Utara(GBMU)
15. Group of Concerned Citizens (GCC)
16. Institut Kajian Dasar (IKD)
17. Institute for Development of Alternative Living (IDEAL), Sibu
18. Islamic Renaissance Front (IRF)
19. Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS)
20. Jawatankuasa Penduduk Zon 23 MPSJ
21. Justice for Beng Hock Facebook Page and Group
22. Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall Youth Section (KLSCAH-YS)
23. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)
24. Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA)
25. Malaysian AIDS Council
26. Malaysian Indian Development Association
27. Middle Eastern Graduate Centre (Magc)
28. Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN)
29. Muslim Professionals Forum (MPF)
30. National Institute for Electoral Integrity (NIEI)
31. Oriental Hearts and Mind Study Institute (OHMSI)
32. Pahlawan Volunteers
33. Partners of Community Organisations, Sabah (PACOS)
34. Penang Du Zhong Education Society
35. Penggerak Belia Zon 23 MPSJ
36. Persatuan Alumni PBTUSM Selangor
37. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower)
38. Persatuan Meditasi Projan KL & Selangor
39. Persatuan Penduduk Taman Muhibbah Seri Kembangan
40. Research for Social Advancement (REFSA)
41. Sarawak Central Region Friendship Association
42. Semparuthi Iyakkam
43. Sisters in Islam (SIS)
44. Suara Rakyat Malaysia (Suaram)