Maksud governan (governance) adalah berbeza dengan maksud pemerintahan (government). Perbezaan asas kedua-dua konsep tersebut ialah kekuasaan yang diperlukan untuk mengadakan governan tidak semestinya berasalkan agensi-agensi kerajaan, manakala kekuasaan untuk mengadakan pemerintahan tidak lain daripada kerajaan. Subjek pemerintahan semestinya dirujuk kepada agensi-agensi awam yang dikuasai oleh kerajaan, manakala subjek governan merangkumi bukan sahaja agensi-agensi awam, tetapi institusi-institusi swasta, malah kerjasama antara kedua-dua pihak agensi awam dan institusi swasta.

Masyarakat sivil merujuk kepada entiti yang terbentuk daripada pertubuhan-pertubuhan sivil yang bertujuan untuk mempertahankan hak-hak asasi yang dinikmati oleh warganegara. Masyarakat sivil merupakan juga suatu daerah di antara Negara (the State) dengan dunia korporat.Seorang sarjana British, Gordon White menyarankan bahawa, “masyarakat sivil merupakan suatu daerah yang terletak di antara Negara dengan keluarga, ia bebas daripada penguasaan Negara dan berautonomi. Ia secara sukarelanya terbentuk oleh ahli-ahli masyarakat yang bertujuan untuk mempertahan dan memajukan kepentingan dan nilai masing-masing.”.

2. Governan Sempurna dan Masyarakat Sivil

Seperti yang tersebut di atas, governan itu hasil daripada kerjasama antara kerajaan dengan masyarakat sivil, kerjasama antara agensi awam dengan institusi swasta, dan juga kerjasama secara wajib dan sukarela.

Maka, konsep governan tidak bercirikan pemantauan, tetapi rakan kongsi antara bidang awam dengan swasta. Prinsipnya bukan pemusatan kuasa, tetapi pengagihan kuasa. Negara tidak lagi berperanan sebagai pengagih sumber, tetapi hanya bertindak sebagai pengurus sumber. Pengurusan, dalam konteks ini, tidak lagi merujuk kepada pengurusan dari segi kuasa eksekutif, tetapi pengurusan yang berasaskan hukum pasaran. Negara tidak lagi bertindak sebagai pengarah tunggal, tetapi salah seorang rakan dalam kerjasama antara pihak awam dengan swasta.

Menurut pandangan tradisional, segala sumber dikawal oleh Negara dan Negara merupakan institusi tunggal yang bertindak untuk memenuhi pelbagai keperluan masyarakat umum. Walau bagaimanapun, kebangkitan hukum pasaran menimbulkan kepercayaan umum bahawa pasaran dan korporat dapat bertindak sebagai pengganti kepada Negara dengan memikul bersama fungsi perkhidmatan-perkhidmatan sosial. Namun, kebelakangan ini tertimbulnya kesedaran dan kebimbangan akan kemungkinan berlakunya “kegagalan” (failure) Negara, dan korporat yang berorientasikan pasaran terlalu mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan keperluan masyarakat umum. Maka, sarjana-sarjana pentadbiran awam dari Negara-negara maju mencadangkan supaya konsep pemerintahan digantikan dengan konsep governan, yakni mengambil kira fungsi masyarakat sivil dan daya masyarakat umum, sebagai penyelesaian kepada kelemahan-kelemahan pemerintahan.

Pencapaian tahap governan yang lebih berkualiti melibatkan persoalan “governan baik” (good governance). “Governan baik” merujuk kepada penciptaan satu hubungan rakan kongsi dalam pengurusan kerjasama antara Negara dengan masyarakat umum. Berdasarkan prinsip governan baik, proses pembuatan dasar harus mengambil kira unsur-unsur seperti keesahan (legitimacy), ketelusan (transparency), kebertanggungjawaban (accountability), dan juga memenuhi syarat-syarat seperti prinsip undang-undang (rule of law), keresponsifan (responsiveness) dan keberkesanan (effectiveness).

Dalam usaha melangkah ke arah “governan baik”, pihak berkuasa harus mengambil kira peranan masyarakat sivil dan membenarkan penyertaan masyarakat sivil dalam hal-ehwal awam dan proses penggubalan dasar. Tahun-tahun kebelakangan ini, peranan masyarakat sivil kelihatan semakin penting dalam pembangunan sosial mahupun di negara-negara Barat yang telah maju ataupun negara-negara sedang membangun di rantau Asia Tenggara. Sehubungan ini, masyarakat sivil membuktikan kebolehan masing-masing dalam membantu governan negara. Pengalaman baru-baru ini membuktikan bahawa hubungan antara masyarakat sivil dengan Negara bukan sekadar bertentangan dan bermusuhan, tetapi terwujud juga jalinan interaksi dan hubungan bekerjasama yang positif.

3. Pembentukan Masyarakat Sivil dan Ciri-cirinya

Masyarakat sivil terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat umum yang bukan dimiliki kerajaan dan Negara, umpamanya pertubuhan-pertubuhan sukarelawan, organisasi-organisasi komuniti, kumpulan berkepentingan, organisasi bukan beruntungan (Non-Profit Organisations), organisasi bukan kerajaan (Non-Government Organisations) dan sebagainya. Adalah diterima umum bahawa pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil mempunyai empat ciri-ciri utama seperti berikut:

Pertama, bersifat bukan kerajaan, iaitu tidak mewakili pendirian kerajaan dan Negara.

Kedua, bersifat bukan beruntung, iaitu objektif penubuhannya bukan untuk mengaut keuntungan, tetapi memperusahakan kebaikan masyarakat dan perkhidmatan sosial.

Ketiga, menikmati autonomi relatif, iaitu bebas daripada kongkongan kerajaan mahupun dari segi politik, pengurusan dan kewangan.

Keempat, bersifat rela hati, iaitu ahli-ahli menyertai sesuatu pertubuhan secara sukarela dan bukan di bawah paksaan.

Semakin matang dan kukuh masyarakat sivil, semakin penting peranannya dalam pengurusan sosial. Masyarakat sivil bukan sahaja mampu mengongsi sesetengah fungsi pengurusan dalam masyarakat berkenaan, malah dapat berganding bahu dengan agensi-agensi kerajaan dalam melaksanakan fungsi governan. Sebaliknya, masyarakat sivil yang lemah dan pasif tidak mampu memenuhi keperluan kerajaan dalam usaha governan, malah melambatkan langkah kemajuan sesebuah masyarakat.

Masyarakat sivil dan organisasi bukan untung yang bersifat initiatif dan kesukarelaan kadang kala lebih bersemangat berdedikasi, lebih berdaya mobilisasi dan sentiasa jauh lebih cekap dan positif daripada agensi-agensi kerajaan. Pertubuhan-pertubuhan sivil dalam masyarakat sivil yang sudah mantap kadang kala mungkin lebih berprofesionalisme daripada agensi-agensi kerajaan dalam mengemukakan pandangan dan cadangan mengenai dasar-dasar tertentu memandangkan pertubuhan-pertubuhan tersebut telah kian lama menfokuskan usaha masing-masing dalam sesuatu bidang tertentu.

Belanjawan yang dibentangkan oleh Tun Mahathir Mohamad, yang merangkap Menteri Kewangan, sebelum beliau bersara dari jawatan sebagai Perdana Menteri, memperakui peranan organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam kerjaya kebajikan sosial dan kerja amal. Perkembangan ini menunjukkan bahawa kerajaan sanggup mengakui fungsi organisasi bukan kerajaan dalam mengongsi tanggungjawab governan. Belanjawan 2004 memperuntukkan sejumlah RM9.64 juta kepada organisasi-organisasi bukan kerajaan. Walau bagaimanapun, organisasi-organisasi yang tidak bersependapat dengan kerajaan tidak menikmati peruntukan tersebut. Pada hakikatnya, organisasi-organisasi bukan kerajaan yang berpandangan kritis seperti Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dong Jiao Zong, Sisters in Islam, International Movement for a Just World (JUST), Women Development Center (WDC), Tenaganita, dan sebagainya, adalah genting dalam pembangunan semula masyarakat sivil. Pertubuhan-pertubuhan tersebut yang berfungsi sebagai pemantau kepada kerajaan juga merupakan salah satu faktor penting ke arah merealisasikan governan baik. Organisasi-organisasi tersebut memberi sumbangan masing-masing dalam pembinaan negara dari segi pembelaan hak-hak asasi manusia dan keadilan sosial.

Dewasa ini kerajaan sedang menghadapi pelbagai masalah governan, umpamanya, perlindungan alam sekitar, bekalan air, kemudahan kesihatan, pembangunan komuniti, pekerja asing, hak asasi manusia, pendidikan, dasar penswastaan dan sebagainya. Penyelewengan terwujud mahupun dalam proses penggubalan ataupun pelaksanaan dasar-dasar yang berkaitan dengan isu-isu tersebut. Malangnya, kerajaan belum lagi menyediakan saluran terbuka untuk menggalakkan penyertaan masyarakat sivil dalam penggubalan dasar. Kerajaan belum pula menginstitusikan satu mekanisma yang dapat membantu mengurangkan masalah-masalah governan. Sementara itu, sesetengah undang-undang dan tingkah laku kerajaan telah juga menghalang pertumbuhan secara menyeluruh organisasi-organisasi bukan kerajaan dan lebih-lebih lagi mengakibatkan masyarakat sivil lemah, kurang berdinamik dan gagal bermobilisasi. Akhirnya mengakibatkan peningkatan keaktifan sosial terganggu.

Kami mencadangkan supaya kerajaan tidak mengabaikan atau bersikap bermusuhan terhadap pandangan yang disuarakan oleh masyarakat sivil. Sebaliknya, kerajaan harus mengambil serius dan memberi balasan positif terhadap pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh masyarakat sivil serta menghargai kebolehan masyarakat sivil demi pembangunan sosial dan negara.

Maka, kami mencadangkan supaya, di bawah Rancangan Malaysia ke-9, kerajaan mengusahakan penjalinan hubungan rakan kongsi dengan masyarakat sivil melalui langkah-langkah yang lebih terbuka dan rasional. Berasaskan hubungan rakan kongsi tersebut, kerajaan dapat membebaskan daya dinamik masyarakat dan memobilisasikan keaktifan masyarakat demi memperbaiki keberkesanan governan negara.

4. Cadangan Kami

Kami mencadangkan supaya kerajaan menggubal dan melaksanakan dasar-dasar seperti berikut tanpa mengira perbezaan pendirian politik demi mempereratkan hubungan rakan kongsi di antara kerajaan dengan masyarakat sivil, dan mempertingkatkan keberkesanan governan.

a. mencipta suasana undang-undang dan dasar-dasar yang mesra dan toleransi supaya menjamin kematangan dan keaktifan masyarakat sivil. Dinamik dan daya kreatif masyarakat sivil dapat membantu dan mengongsi fungsi governan kerajaan.

b. Memberi ganjaran dan subsidi kepada pertubuhan-pertubuhan sivil dan organisasi bukan untung yang memanfaatkan pembangunan sosial dan kepentingan awam, dengan itu menjamin kewujudan dan kemajuan masyarakat sivil di bawah syarat-syarat yang sempurna dan berpatutan.

c. Menginstitusikan satu mekanisma yang membenarkan masyarakat sivil mengambil bahagian secara berkesan dalam proses penggubalan dasar untuk mengelakkan daripada berlaku krisis kegagalan governan.

d. Menjamin dan mempertahankan kebebasan, autonomi dan kesukarelaan pertubuhan-pertubuhan sivil dan organisasi-organisasi bukan untung agar mereka bebas daripada apa jua bentuk keancaman.

e. Melantik perwakilan pertubuhan-pertubuhan sivil dan organisasi bukan untung memegang jawatan sebagai senator dan ahli jawatankuasa perundingan di peringkat kerajaan tempatan.

f. Memulih semula pilihanraya kerajaan tempatan demi memperbaiki dan mempertingkatkan keberkesanan governan kerajaan tempatan.

g. Memberi tawaran potongan cukai yang lebih menarik, latihan sumber manusia dan kemudahan pentadbiran kepada pertubuhan-pertubuhan sivil dan organisasi bukan untung.

h. Memansuhkan undang-undang yang bersifat paksaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akta Rahsia Rasmi 1986 sebagai langkah untuk menggugurkan kongkongan fizikal dan minda yang dikenakan ke atas warganegara. Dengan itu membentuk sebuah masyarakat yang aktif dan berpemikiran kritis sebagai prasyarat untuk menjamin kewujudan sebuah masyarakat yang berpemikiran kreatif dan pembentukan K-ekonomi.

i. Menjamin kebebasan akhbar dan menghalang monopoli industri media demi mempertahankan keaktifan pendapat umum. Negara dan kekuasaan politik tidak harus bercampur tangan dalam operasi media massa.

j. Memajukan pembaharuan sistem parlimen dan mengadakan sistem pesuruhjaya parlimen untuk memperkuatkan fungsi pemantauan parlimen.

5. Kesimpulan

Masyarakat sivil teras “governan baik” (good governance). Tanpa masyarakat sivil yang lengkap dan matang, tidak mungkin mencapai governan baik yang benar maknanya. Kerjasama di antara Negara dengan masyarakat sivil serta pemantauan satu sama lain dapat menyempurnakan fungsi Governan supaya mencapai senario ‘win-win’ yang berteraskan prinsip saling pemberikuasaan (mutual empowerment) di antara Negara dengan masyarakat sivil. Keberkesanan governan baik berkait rapat dengan keseluruhan daya persaingan sesebuah negara. Maka, Negara tidak harus menolak atau menentang peranan yang dimainkan oleh masyarakat sivil.

Kami berpendapat bahawa, “governan sempurna dan menjalin hubungan rakan kongsi dengan masyarakat sivil” seharusnya diambil kira sebagai salah satu prinsip utama yang mendukung Rancangan Malaysia ke-9. Keberkesanan governan sempurna dan pembangunan Negara akan terjejas sekiranya kerajaan menolak daya sosial yang berguna dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9.

Tinggalkan Balasan