Kami, pihak yang menandatangani kenyataan ini yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), pertubuhan berasaskan komuniti (CBO), kumpulan mahasiswa, aktivis serta ahli masyarakat sivil mengecam dengan tegas langkah-langkah siasatan yang keterlaluan diambil terhadap MANDIRI dan HAYAT pada bulan ini dengan pembekuan akaun bank peribadi Pengarah MANDIRI, Amir Hadi dan Dobby Chew serta akaun organisasi MANDIRI dan HAYAT, di samping sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Amir Hadi dan Dobby Chew yang menghalang mereka daripada meninggalkan negara. Tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan terbaharu hasil daripada corak tindakan represif yang berterusan ke atas pertubuhan masyarakat sivil pada tahun ini dan menunjukkan suatu gambaran yang menakutkan Malaysia sedang kembali kepada zaman gelap penindasannya terhadap organisasi masyarakat sivil.

Latar Belakang

Pada Mei 2026, wujud dakwaan tanpa bukti yang tular di alam maya terhadap MANDIRI yang mendakwa bahawa pertubuhan ini menerima pembiayaan asing bagi menjalankan aktiviti politik dan penyebaran maklumat palsu, dengan dakwaan tujuannya adalah untuk menggugat kestabilan pentadbiran negara dan akhirnya menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Dakwaan ini telah diperbesarkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Setiausaha Politik kepada Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim yang mengeluarkan kenyataan media rasmi yang mengaitkan isu tersebut dengan dakwaan campur tangan asing, kedaulatan negara dan keselamatan negara. Malahan, Kamil turut menggesa pihak berkuasa supaya menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Aktivit Terhad dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dalam menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut.

Berikutan kritikan awam terhadap kenyataan Kamil, beliau kemudiannya mengalihkan tumpuan kepada dakwaan penyalahgunaan atau penyelewengan dana dengan menyatakan bahawa kebimbangannya bukanlah berkenaan pembiayaan asing itu sendiri. Peguam yang mewakili MANDIRI dan Amir Hadi telah menghantar surat tuntutan kepada Kamil yang menuntut supaya Kamil menarik balik dakwaan tersebut, memohon maaf secara terbuka dan menerbitkan penarikan balik serta permohonan maaf tersebut secara umum. Kamil enggan mematuhi tuntutan tersebut. MANDIRI dan Amir seterusnya memulakan prosiding fitnah terhadap Kamil. Kes tersebut masih dalam proses perbicaraan di hadapan mahkamah.

Sejak awal lagi, MANDIRI telah menyatakan secara terbuka bahawa pihaknya tidak melakukan sebarang kesalahan dan bersedia untuk bekerjasama sepenuhnyasekiranya terdapat siasatan yang sah. Walaupun dakwaan tersebut serius dan terdapat seruan awam supaya agensi penguatkuasaan bertindak selama berbulan-bulan tiada seorang pun daripada MANDIRI, para pengarah atau kakitangannya dipanggil atau disoal siasat oleh PDRM, SPRM, Bank Negara Malaysia atau pihak berkuasa berkaitan lain berhubung dakwaan tersebut. Tiada sebarang pertuduhan jenayah, dapatan pengawalseliaan atau dapatan negatif lain dibuat terhadap MANDIRI atau kakitangannya sepanjang tempoh tersebut.

Pada September 2026, Amir Hadi dan Dobby Chew dimaklumkan bahawa mereka berdua telah disekat daripada meninggalkan Malaysia. Pada masa sekatan perjalanan tersebut dimaklumkan, Amir dan Dobby masih belum dipanggil untuk disoal siasat berkenaan sebarang dakwaan kesalahan. Malah, sehingga kini, Amir dan Dobby masih belum diberikan penjelasan yang jelas mengapa sekatan perjalanan tersebut dikenakan atau dakwaan sebenar yang menjadi asas tindakan tersebut.

Selanjutnya pada bulan yang sama, didapati bahawa akaun bank peribadi Amir Hadi dan Dobby Chew bersama dengan akaun organisasi MANDIRI dan HAYAT telah dibekukan. Pembekuan akaun-akaun ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding dakwaan yang mula tular pada bulan Mei. Perkembangan ini amat membimbangkan memandangkan Kamil sendiri telah menggesa pihak berkuasa supaya menggunakan AMLA terhadap MANDIRI dalam kenyataan yang dikeluarkannya pada 17 Mei 2026.

Pembekuan akaun-akaun organisasi ini bukan sahaja memberikan kesan kepada Amir dan Dobby malah menjejaskan keupayaan MANDIRI dan HAYAT untuk menjalankan kewajipan organisasi yang biasa dan sah termasuk pembayaran gaji, perbelanjaan program serta komitmen operasi yang lain.

Risiko Penindasan Suara Masyarakat Sivil

Sehingga kini, tiada notis rasmi atau penjelasan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat berkenaan asas pembekuan akaun atau sekatan perjalanan tersebut. Tiada seorang pun daripada pihak-pihak yang terlibat dipanggil untuk disoal siasat berhubung sebarang siasatan oleh mana-mana agensi pengawalseliaan atau penguatkuasaan yang menimbulkan persoalan tentang kesahihan langkah-langkah ini. Logik di sebalik sekatan perjalanan misalnya adalah untuk memastikan seseorang itu tidak melarikan diri daripada negara dan akan dapat membantu siasatan. Jadi mengapakah Kerajaan menyekat Amir dan Dobby daripada meninggalkan Malaysia tanpa memanggil mereka untuk disoal siasat? Tambahan pula, tiada mana-mana pihak yang terlibat menerima sebarang notis rasmi berkenaan perintah pembekuan akaun yang dikenakan terhadap mereka. Mereka hanya dimaklumkan tentang asas pembekuan akaun tersebut melalui surat daripada bank masing-masing.

Kami mengakui bahawa langkah-langkah keras seperti pembekuan akaun bank dan sekatan perjalanan mungkin diperlukan dalam keadaan tertentu bagi membantu siasatan terhadap sebarang kesalahan. Namun realiti ini harus dilihat bersama-sama dengan risiko penindasan terhadap ahli kumpulan masyarakat sivil. Dalam situasi seperti ini, kami berpendirian bahawa Kerajaan memikul beban yang lebih besar untuk menggunakan kuasa ini secara berhati-hati dan menjunjung ketelusan bagi mengelakkan sekatan terhadap kebebasan bercakap, bersuara, dan berpersatuan yang sah.

Corak Penindasan Masyarakat Sivil yang Lebih Luas

Tindakan yang diambil terhadap Amir, Dobby, MANDIRI dan HAYAT hanyalah lanjutan tindakan terbaharu dalam suatu corak penindasan yang lebih luas terhadap suara masyarakat sivil. Pada tahun ini sahaja, kita turut menyaksikan perkara-perkara berikut telah berlaku:

  • Mantan Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah, bersama beberapa orang wartawan dan ahli akademik, dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen;
  • Aktivis alam sekitar Shakila Zen dari Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dipanggil oleh pihak polis atas sebab satu hantaran media sosial yang kononnya memfitnah institusi diraja Pahang, bagi siasatan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah jenayah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian); dan
  • Faisal Abdul Aziz (Pengerusi BERSIH), Asraf Sharafi (Pengarah Eksekutif BERSIH), Anas Nor’azim (Pegawai Advokasi BERSIH), dan Alyaah Hani (Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH) disekat daripada memasuki Sabah.

Secara keseluruhannya, insiden ini merupakan gambaran suram tentang kebebasan bercakap dan bersuara di Malaysia pada hari ini. Hal ini telah memberikan gambaran yang menakutkan tentang Malaysia yang sedang mengalami kemerosotan hak asasi manusia, dan masyarakat sivil perlu mengambil pendirian tegas bagi mencegah kemerosotan ini berterusan, khususnya terhadap kebebasan yang telah kita perjuangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Corak ini perlu dilihat sebagai satu petanda awal bagi kebebasan bersuara dan tidak boleh menjadi pencetus kepada penindasan yang lebih ketat pada masa hadapan, agar kita tidak kembali kepada zaman gelap di mana penindasan berlaku secara berterusan terhadap pertubuhan masyarakat sivil.

Tuntutan Kami

Justeru itu, kami menyeru Kerajaan supaya memberikan penjelasan yang telus dan jelas berhubung asas tindakan yang diambil terhadap Amir Hadi dan Dobby serta organisasi MANDIRI dan HAYAT. Penjelasan ini harus merangkumi keperluan sebenar mengapa langkah-langkah drastik sebegini digunakan terhadap mereka dan sekiranya tiada asas yang sah, Kerajaan harus menarik balik perintah pembekuan akaun dan sekatan perjalanan tersebut. Langkah-langkah keras ini tidak seharusnya digunakan secara sewenang-wenangnya memandangkan tindakan ini akan mengancam keupayaan ahli masyarakat sivil untuk melaksanakan tugas mereka sebagai pembela hak asasi manusia, demokrasi dan kedaulatan undang-undang.

Selain itu, Kerajaan mesti komited untuk mengkaji semula undang-undang yang membolehkan kuasa siasatan digunakan tanpa pengawasan yang mencukupi seperti di bawah AMLA dan Akta Imigresen 1959/63. Kami menyeru Kerajaan supaya mengesahkan bahawa undang-undang jenayah tidak akan digunakan untuk membungkam kebebasan bersuara, perbezaan pandangan dalam politik, dan kritikan yang adil terhadap Kerajaan.

Sekiranya kita ingin membina sebuah Malaysia yang demokratik dan matang, kerajaan Anwar Ibrahim tidak boleh dibenarkan mengulangi taktik zalim yang sama yang digunakan oleh pentadbiran Kerajaan terdahulu. Kami berdiri teguh bersama-sama dengan semua rakan seperjuangan kami yang terkesan dan berdiri tegas menentang sebarang percubaan kerajaan untuk membungkam kami.

 

Dikeluarkan secara bersama oleh:

  1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  2. Agora Society Malaysia
  3. All Women’s Action Society (AWAM)
  4. Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI)
  5. Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI)
  6. ARTICLE 19
  7. Association of Women Lawyers (AWL)
  8. Bersih Sabah
  9. Beyond Borders
  10. Borneo komrad
  11. Buku Jalan Chow Kit
  12. Cahaya Society
  13. Centre for Independent Journalism (CIJ)
  14. Citizens International
  15. CSO Platform for Reform
  16. Demokrat UM
  17. Diversity Inclusivity Equity Malaysia (DIEM)
  18. Family Frontiers
  19. Federasi Pemuda Kebangsaan
  20. Freedom Film Network
  21. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
  22. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
  23. Gempur Rasuah Sabah
  24. Gerakan Anak Muda Tuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR)
  25. Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia
  26. Gerakan Perempuan Melawan
  27. Greater Equitable Measures (GEM)
  28. Greenpeace Malaysia
  29. HAYAT
  30. Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)
  31. Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)
  32. Ikatan Anak Muda Tawau (IKAT)
  33. Islamic Renaissance Front (IRF)
  34. JEJAKA
  35. Justice for Sisters
  36. Kemban Kolektif
  37. KLSCAH Civil Rights Committee (KLSCAH-CRC)
  38. KLSCAH Youth
  39. KMUiTM
  40. Kolektif Feminis Malaysia
  41. Liga Mahasiswa Malaysia
  42. Liga Mahasiswa UM
  43. Liga Mahasiswa UniSZA
  44. Liga Mahasiswa USM
  45. Liga Mahasiswa UTM
  46. Liga Rakyat Demokratik (LRD)
  47. Malaysia East Coast Coalition of Activists (MECCA)
  48. Malaysian Cannabis Awareness Association
  49. Malaysian United Democratic Alliance (MUDA)
  50. Malaysian Youth Generation Organisation (MYGO)
  51. MANDIRI
  52. MARTABAT UNTUK SEMUA PETALING JAYA
  53. Mekar Club
  54. MUDA Selangor Bahagian Selayang
  55. Neo Siswa UM
  56. New Generation Universiti Malaya
  57. OHMSI Sdn Bhd
  58. PACOS Trust
  59. Pangrok Sulap
  60. Parti Bersama Malaysia (BERSAMA)
  61. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  62. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  63. Persatuan Kesaksamaan Demi Kedamaian Rakyat Sejagat (SEDARJAT)
  64. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  65. Pertiwi Progresif
  66. Pertubuhan Mahasiswa Kongres Gombak (CONGRESS)
  67. Pro-Siswa Kolej Komuniti Dan Politeknik
  68. Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA)
  69. ProSiswaKkP
  70. PUSAT KOMAS
  71. Reformasi Mahasiswa UTM (formUTM)
  72. Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM)
  73. Ruang Lawan Malaysia
  74. Sekretariat Lawan Dua Darjat
  75. SIS Forum (Malaysia)
  76. SPARC UTEM
  77. Student Against Corruption and Wrongdoings (SACAW)
  78. Studio Persekutuan
  79. Suara Mahasiswa UMS (SMUMS)
  80. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  81. Suara Siswa UiTM
  82. Tenaganita
  83. Teoh Beng Hock Association for Democracy
  84. TEROKA
  85. The Bangsart
  86. The Center To Combat Corruption And Cronyism (C4)
  87. UMANY
  88. UNDI18
  89. Women’s Aid Organisation

Tinggalkan Balasan