Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim baru-baru ini yang menyatakan bahawa sekolah-sekolah kerajaan “tidak dibenarkan menganjurkan pesta arak atau aktiviti yang melibatkan alkohol” di kawasan sekolah. Pendirian ini kami pandang sebagai satu bentuk sekatan yang secara tidak langsung mencabul hak pihak luar untuk menyewa premis sekolah, malah juga menyekat ruang budaya dan semangat keterangkuman dalam masyarakat majmuk.

Isu ini tercetus apabila beberapa buah sekolah menyewakan dewan mereka kepada syarikat swasta untuk penganjuran acara yang menyediakan alkohol, dan terdapat ahli politik menggunakan isu alkohol sebagai modal politik. Dalam parlimen, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majlis di kawasan sekolah yang menghidangkan minuman beralkohol. Namun demikian, menurut laporan media terkini, selepas perbincangan Jemaah Menteri, kerajaan telah memutuskan tidak akan melaksanakan larangan menyeluruh terhadap majlis perkahwinan atau kutipan derma di dewan SJKC, serta tidak akan memperkenalkan sekatan baharu berkaitan alkohol dalam tugas penyewaan sekolah. Walaupun demikian, kontroversi awam masih belum reda dan petunjuk pelaksanaan yang jelas masih belum lengkap.

KLSCAH menegaskan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) walaupun berada di bawah kategori “sekolah bantuan kerajaan” menurut Akta Pendidikan 1996, telah lama dipisahkan secara pentadbiran oleh Kementerian Pendidikan ke dalam kategori “sekolah bantuan penuh” dan “sekolah bantuan separa”, menyebabkan ketidakadilan dalam pemberian dana dan peruntukan. Kebanyakan SJKC terpaksa bergantung kepada penyewaan dewan dan ruang sekolah bagi menampung kos operasi harian sepanjang masa ini. Sekiranya kerajaan memperkenalkan dasar yang mengehadkan aktiviti penyewaan, ia akan secara langsung melemahkan autonomi sekolah.

Selain itu, dewan sekolah berfungsi sebagai ruang komuniti yang dikongsi oleh semua kaum. Penganjuran majlis perkahwinan, jamuan makan atau aktiviti kebudayaan oleh pelbagai etnik merupakan satu amalan yang sah dan lazim. Penyediaan alkohol di majlis-majlis sedemikian telah lama wujud tanpa bukti menunjukkan impak negatif terhadap pelajar. Penganjur yang menyewa premis harus diberi kebebasan untuk memutuskan sama ada akan menyediakan minuman beralkohol, selagi ia mematuhi undang-undang negara dan peraturan sekolah. Kerajaan tidak seharusnya menggunakan dasar larangan atau sebegitu sebagai instrumen pengawalan ideologi, kerana ia bercanggah dengan prinsip saling menghormati dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.

KLSCAH menegaskan bahawa institusi pendidikan perlu memiliki autonomi asas dalam pengurusan premis mereka. Peranan kerajaan adalah menyediakan peruntukan yang saksama dan menjalankan pemantauan pematuhan undang-undang tanpa mencampuri urusan sekolah berpandukan ideologi politik atau keagamaan. Oleh itu, KLSCAH menggesa Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim agar memperkemaskan garis panduan yang berkaitan dan melaksanakan dasar dengan penuh pertimbangan bagi mengelakkan isu seumpama ini berulang sekali lagi. Pihak kami juga berharap kerajaan mengambil sikap terbuka untuk menghormati gaya hidup pelbagai kaum dan hak asas manusia, demi mengekalkan keharmonian negara dan kebebasan pendidikan.

 

DEWAN PERHIMPUNAN CHINA KUALA LUMPUR DAN SELANGOR (KLSCAH)

 

 

 

Tinggalkan Balasan