Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menggesa kerajaan dan Parlimen agar melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pelantikan hakim yang sedia ada, demi menegakkan prinsip pengasingan kuasa serta memastikan kebebasan badan kehakiman daripada kuasa eksekutif.Selama ini, pelantikan dan kenaikan pangkat hakim di negara ini telah ditentukan oleh Perdana Menteri secara mutlak, sekaligus terdedah kepada pengaruh politik. Hanya selepas penggubalan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada tahun 2009 barulah wujud perubahan. Meskipun pengaruh Perdana Menteri telah dikurangkan dalam proses pelantikan di bawah Akta JAC, kebebasan badan kehakiman masih belum tercapai sepenuhnya sehingga hari ini.
Struktur JAC itu sendiri mengandungi kelemahan asas. Daripada sembilan orang anggota, empat daripadanya – iaitu diganti adalah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar (Malaya), dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak – adalah anggota secara automatik. Manakala lima anggota yang lain masih dilantik oleh Perdana Menteri. Berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dan Akta JAC 2009, Perdana Menteri juga mempunyai kuasa muktamad terhadap senarai cadangan pelantikan yang dikemukakan oleh JAC.
Sehubungan itu, KLSCAH menyeru agar Perdana Menteri tidak diberikan kuasa muktamad dalam proses pemilihan hakim, manakala keanggotaan JAC hendaklah bebas daripada pengaruh Perdana Menteri. Selain empat hakim kanan yang dilantik secara automatik, lima lagi anggota JAC mestilah terdiri daripada wakil Majlis Peguam dan individu-individu bebas dari luar perkhidmatan awam.
KLSCAH yakin bahawa hanya dengan memastikan institusi kehakiman bebas daripada pengaruh politik dan Perdana Menteri tidak terlibat langsung dalam proses pelantikan kehakiman, barulah Perdana Menteri boleh bebas daripada tuduhan mencampuri urusan kehakiman, dan keyakinan rakyat terhadap kebebasan dan ketelusan institusi kehakiman negara baru dapat dipulihkan.
中文
EN