Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2025

oleh Tuan Ngan Teng Ye, Presiden KLSCAH

Kepelbagaian dan Keharmonian: Bersama Menyambut Hari Raya

 

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, saya mewakili Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) ingin mengucapkan salam Aidilfitri yang tulus ikhlas kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga anda semua dilimpahi kebahagiaan dan kesejahteraan!

 

Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan menandakan berakhirnya bulan Ramadan, tetapi juga mencerminkan semangat kesyukuran dan kemaafan (maaf zahir dan batin). Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya, Malaysia tidak terlepas daripada perselisihan dan salah faham. Namun, nilai toleransi dan kemaafan yang terdapat dalam perayaan ini menjadi jambatan untuk menyatukan perbezaan serta mengukuhkan keharmonian sosial.

 

Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja perayaan umat Islam, tetapi turut mengandungi nilai kemanusiaan yang mendalam. Ia melambangkan penyatuan keluarga dan semangat kebersamaan dalam komuniti. Pada hari yang penuh makna ini, pintu rumah dibuka luas untuk menerima tetamu dari pelbagai latar belakang, menikmati juadah bersama serta mengeratkan hubungan silaturahim. Nilai-nilai ini tidak hanya khusus kepada umat Islam, tetapi juga merupakan kepercayaan bersama yang boleh dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia.

 

Penyertaan masyarakat bukan Islam dalam aktiviti rumah terbuka dan pengalaman adat Hari Raya merupakan satu amalan yang baik dalam memperkukuh pemahaman budaya. Namun, terdapat sesetengah pihak sering salah taksir interaksi antara kaum dalam perayaan, malah menjadikannya isu politik. Sebagai contoh, baru-baru ini, Ahli Parlimen Puchong, YB Yeo Bee Yin, yang menghadiri majlis terbuka puasa di masjid bersama anaknya demi memahami budaya Islam, telah menerima kritikan yang tidak sewajarnya. Insiden ini mencerminkan salah faham terhadap interaksi budaya serta kebimbangan identiti yang tidak berasas. Perayaan antara kaum tidak harus dijadikan alat politik. Sebaliknya, kita haruslah yakin dengan budaya sendiri dan menerima budaya kaum lain dengan sikap terbuka dan inklusif.

 

Marilah kita mengambil kesempatan sempena perayaan ini untuk menerapkan nilai unik yang dibawa oleh kepelbagaian budaya serta menghargai, memahami, dan menghormati tradisi masing-masing dengan lebih terbuka. Hanya melalui usaha bersama, dengan menerapkan nilai sejagat seperti hormat dan toleransi serta menolak pemikiran sempit yang bersifat eksklusif, kita dapat membina masyarakat yang bersatu dan harmoni. Kepelbagaian harus menjadi kekuatan utama Malaysia.

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin

 

Yang Ikhlas,

Tuan Ngan Teng Ye

Presiden Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH)

Tinggalkan Balasan