Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (Pusat LLG) menyeru kepada semua warganegara Malaysia agar keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memilih wakil rakyat terbaik untuk Malaysia tercinta.

PRU15 adalah tempat untuk rakyat memilih pemimpin yang berkemampuan, jujur dan amanah. Ia juga tempat untuk menolak calon yang mementingkan diri sendiri, menyalahguna kuasa dan mengamalkan rasuah.

Jika tidak keluar mengundi, bermaksud anda memilih orang yang tidak layak dan tidak mampu memimpin negara.

Rakyat harus melihat kelayakan dan kemampuan calon secara teliti, berdasarkan latar belakang dan rekod prestasi mereka selama ini.

Kami menyeru rakyat Malaysia yang cintakan tanah air untuk mengutamakan tiga ciri ini apabila mengundi nanti:

i. Berkemampuan

Seorang pemimpin perlu mempunyai kemampuan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dengan cemerlang dan terkehadapan. Pemimpin yang berkemampuan dan berpengaruh akan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin lain di bawah bimbingannya.

ii. Amanah dan berintegriti

Mustahak bagi seorang pemimpin dipercayai atas kata-katanya. Kata-katanya pula mestilah seiring dengan perlakuan dan tindak-tanduknya. Kepercayaan ini tidak boleh diminta tetapi ia dibina dan dimenangi setelah dibuktikan oleh ‘track record’ kerja dan usahanya yang lepas.

Sejarah keterlibatan seseorang calon dengan rasuah, pengkhianatan, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan harta perlu dinilai dengan penuh bertanggungjawab oleh rakyat.

iii. Jujur

Sifat jujur penting untuk membina keyakinan orang terhadap seseorang pemimpin. Tiada kata-kata yang memfitnah, tiada janji-janji yang tidak dikotakan, tiada muslihat untuk kepentingan peribadi, dusta dan pembohongan daripada seorang pemimpin yang jujur. Pemimpin yang jujur akan disenangi dan dipercayai seluruh rakyat.

Hanya pemimpin yang berkemampuan, amanah dan jujur dapat memacu Malaysia menjadi negara yang harmoni, maju dan disegani. Di belakang pemimpin seperti ini, Rakyat akan bersatu padu menyokong dan mendokong gagasan kepimpinannya.

Buktikan kuasa rakyat! Keluar mengundi! Pilih pemimpin yang mampu, amanah dan jujur!

Semua parti politik dan calon diminta untuk mematuhi prinsip pilihan raya yang adil dan bersih, mengemukakan pandangan politik yang memanfaatkan pembangunan negara serta mengelakkan ulas isu sensitif agama dan menghasut sentimen kaum.

  • Kenyataan ini dikeluarkan oleh Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (Pusat LLG)

Dipetik dari Sumberkini
https://bit.ly/3t98fOf

Tinggalkan Balasan