WANITA KLSCAH amat prihatin dengan berita mengenai bekas perenang yang mendakwa diganggu secara seksual oleh jurulatihnya ketika masih remaja dan gesa kerajaan mengambil serius tentang masalah gangguan seksual yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Walaupun Kementerian Belia dan Sukan menyatakan bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan tentang dakwaan tesebut dan menegaskan tiada perlindungan untuk sesiapa jika diapati bersalah, namun kami berpendapat kes gangguan seksual sering berlaku disebabkan kelemahan peruntukan undang-undang. Di samping itu, gangguan seksual yang berbentuk penyalahgunaan kuasa juga akan menyebabkan kebanyakan mangsa tidak rela tampil membuat laporan polis kerana takut kepada balas dendam atau dibuang kerja.

Gangguan seksual telah menjadi masalah yang tidak dapat dielakkan daripada berlaku dalam masyarakat hari ini dan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual harus diluluskan secepat mungkin agar dapat melindungi mangsa terutamanya kalangan wanita.

Malangnya, RUU Gangguan Seksual yang sepatutnya dibentangkan pada bulan Mac 2020 telah ditunda akibat kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Walaupun demikian, pihak berkenaan masih boleh bertindak melalui kaedah lain bagi melindungi mangsa gangguan seksual kerana kerajaan Perikatan Nasional sudah mempunyai kuasa yang mencukupi setelah mengisytiharkan darurat dan tidak wajar ada alasan untuk tidak mengambil tindakan.

Dengan ini, WANITA KLSCAH mendesak pihak kerajaan memandang serius dengan isu tersebut, dengarlah suara lantang daripada masyarakat yang mahu melihat perubahan dan lindungilah wanita daripada gangguan seksual.

 

WANITA DEWAN PERHIMPUNAN CHINA KUALA LUMPUR DAN SELANGOR

Kenyataan pada 27hb Mei 2021

 

 

Gambar: Guang Ming Daily

Tinggalkan Balasan