Cadangan Demi Negara
— Kepada YAB Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia
Terlebih dahulu, izinkan kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas perlantikan YAB sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima dan juga atas pelbagai pembaharuan yang mula dirasai semenjak itu. Pembaharuan yang paling disambut baik ialah tekad YAB untuk membasmi rasuah, diikuti dengan usaha-uasha untuk meningkatkan kecekapan kerja, mementingkan inti dan bukan rupa dalam pelaksanaan dasar negara, serta mengamalkan sikap mesra rakyat dalam perkhidmatan awam.
Kami amat menghayati dasar-dasar baru yang dicadangkan dan dilaksanakan oleh YAB. Kami turut berharap, dengan pimpinan YAB, Malaysia akan dapat mengatasi cabaran-cabaran sulit yang dibawa oleh Abad ke-21 serta globalisasi.
1 Pembanterasan Rasuah dan Peningkatan Kecekapan
Sungguhpun rasuah sememangnya fenomena yang wujud di mana-mana negara jika ia sudah menjadi budaya dan sebahagian daripada kehidupan harian rakyat jelata, maka masalah ini sudah padah. Apabila diukur pada tahap antarabangsa, Malaysia menjadi lebih terancam dengan rasuah dalam masa sembilan tahun, melihat kedudukannya merosot daripada tempat ke-23 ke tempat ke-37 ke arah rasuah. Ini amat memalukan negara kita. Rasuah harus disenaraikan sebagai musuh nombor satu negara ini. Mencegah rasuah dan membanteras penyalahgunaan kuasa sudahpun menjadi satu isu yang tidak boleh tertangguh lagi.
Terdapat segolongan pegawai beruniform daripada Kementerian Pengangkutan, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan agensi-agensi kerajaan seumpamanya yang mencari peluang untuk mengambil rasuah. Akibatnya, ramai warganegara terpaksa tunduk demi mengelakkan kesulitan dan kesusahan.
Penyalahgunaan kuasa turut wujud di agensi-agensi kerajaan yang lain. Sungguhpun rakyat mengikuti sepenuhnya prosedur-prosedur yang ditetapkan, seringkali urusan tidak akan selesai selagi wang rasuah tidak dibayar. Rasuah itu bagai seekor haiwan buas yang bermulut besar dan bergigi tajam untuk memburu rakyat yang menjadi mangsanya. Tidak hairanlah rakyat jelata begitu membenci rasuah. Oleh itu, kerajaan mesti membanteras rasuah sebelum imej negara dicemar sepenuhnya. Negara tidak mungkin berdiri teguh jika rasuah terus berleluasa.
Dalam perjuangan membanteras rasuah dan membina kebersihan, YAB mungkin boleh mengambil contoh ‘Akta Cahaya Matahari’ Korea Selatan yang mengkehendaki semua kakitangan kerajaan melaporkan harta benda dan memberi penjelasan apabila harta benda itu tidak setimpal dengan pendapatan. Langkah sebegini akan mencegah mereka daripada memakan rasuah.
[pagebreak]Kita juga boleh belajar daripada pengalaman Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong, badan pencegah rasuah yang diiktiraf sebagai paling berkesan di seluruh dunia. Kerajaan harus menubuhkan satu institusi bebas di luar Perkhidmatan Awam yang berkuasa penuh dalam membanteras rasuah dan bertanggungjawab secara langsung kepada parlimen, agar ia dapat mengelakkan sebarang sekatan atau gangguan daripada kuasa pentadbiran.
Kita boleh mencontohi struktur organisasi ICAC yang terbahagi kepada tiga bahagian: Pelaksanaan, Pencegahan Rasuah dan Perhubungan Tempatan yang menyerang rasuah secara bersepadu. Bahagian pelaksanaan adalah unit penyiasatan yang bertanggungjawab untuk menerima, memeriksa dan menyiasat laporan rasuah. Prosedur haruslah semudah mungkin untuk memberikan saluran yang berkesan untuk orang awam membuat laporan. Bahagian Pecegahan Rasuah pula bertanggungjawab memperbaiki kaedah dan prosedur kerja yang mungkin menjana praktis rasuah di samping menawarkan khidmat nasihat mencegah rasuah kepada agensi-agensi awam dan swasta. Tugas Bahagian Perhubungan Tempatan ialah menyebarkan mesej mencegah rasuah dan meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam. Untuk memastikan pagar tidak makan padi, beberapa jawatankuasa penasihat yang bebas harus ditubuhkan untuk memantau dengan rapi kerja-kerja badan pencegah rasuah di samping badan aduan untuk menerima aduan mengenai penyalahgunaan kuasanya.
Akademi Pencegah Rasuah yang dicadangkan olej YAB sendiri juga satu langkah yang positif. Sememangnya adalah penting untuk merekrut belia yang idealistik untuk dilatih menjadi angkatan yang gagah berani memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Rasuah itu melibatkan kedua-dua pihak yang meminta dan memberi rasuah. Demi lebih memahami fenomena rasuah secara menyeluruh dan mendalam, para pelajar akademi ini boleh melawat, berinteraksi dengan dan mendengar pandangan daripada pelbagai pertubuhan dan kumpulan dalam masyarakat.
Mulai sekarang, proses tender kontrak utama kerajaan dan kedudukan kewangan perusahaan-perusahaan awam juga mesti menunjukkan transparensi dan akauntabiliti kepada orang awam. Sememangnya sikap terbuka dan transparensi itu satu petunjuk ke arah masyarakat bertamadun.
Sejarah mengajar kita bahawa pegawai yang rasuah bukan sahaja mungkin melumpuhkan kerajaan, malah juga boleh meruntuhkannya. Kerajaan Manchu negara China yang digulingkan kerana kelaziman rasuah, kelemahan polisi dan kehilangan sokongan rakyat adalah satu contoh. Negara jiran Filipina menawarkan satu lagi contoh dengan bekas Presiden Marcos yang tumpas kerana rasuah dan pengurusan ekonomi yang menyeleweng.
2 Tahap Keselamatan Yang Semakin Membimbangkan
Nyata sekali keselamatan di negara kita semakin hari semakin membimbangkan. Berita-berita mengenai rompakan, pencurian kereta, pembunuhan, penipuan, pencurian dan penculikan membanjiri suratkhabar setiap hari, bukan sahaja mengancam rakyat Malaysia dan pelancong asing serta memburukkan nama baik negara kita.
Perjudian yang wujud dalam pelbagai bentuk telah menghakisi sistem nilai masyarakat. Ramai kaki judi meminjam daripada loansharks yang mengenakan kadar bunga yang melangit tingginya dan dikira secara kompaun. Akibatnya, ramai peminjam tidak dapat menjelaskan hutang yang kian hari kian meningkat dan ada antara mereka yang membunuh diri kerana tidak sanggup menahan tekanan loansharks. Ini bukan sahaja meninggalkan banyak keluarga yang berpecah-belah juga menimbulkan pelbagai masalah sosial. Maka, kerajaan harus mendidik rakyat supaya menjauhi perjudian, membanteras ‘gaming machines’ dan menghukum berat loansharks.
Berleluasanya pelbagai dadah juga telah membinasakan zahir dan batin belia dan menimbulkan pelbagai masalah keluarga dan masyarakat. Selain terus mengenakan hukuman berat atas pengedar dadah, kerajaan juga harus mempertingkatkan usaha pendidikan awam tentang kemudaratan yang dibawa oleh penyalahgunaan dadah dan menghukum penagih dadah. Outlet malam seperti kelab malam dan lounge sering merupakan tempat pengedaran dadah. Jika pelanggan mereka didapati menyalahgunakan dadah, bukan sahaja penagih dadah harus dihukum, pengurusan outlet hiburan juga harus diberhentikan perniagaan atau dikenakan hukuman berat.
[pagebreak]Masalah kongsi gelap juga semakin serius dengan penyerapan ke dalam dunia perniagaan, sekolah malah parti politik. Dengan penyerapan ke dalam dunia perniagaan, kongsi gelap telah menyusahkan aktiviti perniagaan dan meningkatkan kos dengan meminta bayaran mahal atau permintaan lain yang melampau. Penyerapan kuasa kongsi gelap ke dalam sekolah bukan sahaja mengganggu pembelajaran malah terus mengancam keselamatan guru dan pelajar. Akhirnya, penyerapan ke dalam parti politik memberikan kongsi gelap perlindungan seolah-olah mereka bebas bermaharajalela dan memaksa komuniti tempatan untuk bertoleransi dan tunduk kepada gejala ini. Kerajaan sememangnya mesti mengambil tindakan ke atas anasir-anasir kongsi gelap yang bertumpang di bawah bumbung parti politik.
Keruntuhan kewibawaan pihak polis merupakan satu lagi faktor kemerosotan tahap keselamatan di masyarakat kita. “Polis tidak tahu menangkap penjenayah, cuma tahu menyusahkan rakyat” – alangkah sedihnya, tetapi ini memanglah persepsi sebahagian orang awam. Perbuatan segelintir anggota polis ini telah menyebabkan orang awam tidak mempercayai dan menghormati pihak polis secara menyeluruh. Malah penjenayah pun tidak takut untuk mencabar polis. Mengemaskan pasukan polis kini sudah menjadi perkara yang mesti diutamakan dalam agenda kerajaan.
Jesteru itu, Suruhanjaya Diraja yang YAB cadangkan adalah untuk memantau dan memperbaiki penyalahgunaan kuasa satu langkah tepat dan berkesan untuk mengatasi masalah ini.
Sebab-musabab kemerosotan tahap keselamatan masyarakat itu kompleks. Dalam membawa sistem nilai masyarakat balik ke pangkuan jalan dan mencari jalan mengubati penyakit sosial, kerajaan harus mendengar pendapat rakyat jelata selain pandangan pakar dan cendikiawan.
3 Dasar Praktikal dan Mesra-Rakyat
Kami menyokong cadangan YAB untuk mengenepikan atau menundakan projek-projek mega yang perlu dibiayai dengan hutang baru seperti Double Rail dan Jambatan Serong Malaysia-Singapura.
Akan tetapi, masalah harian yang dihadapi rakyat juga perlu penyelesaian serta-merta tanpa dilenggah-lenggahkan lagi. Sebagai contoh, faktor terbesar kesesakan lalulintas Kuala Lumpur dan Petaling Jaya adalah ketidakcukupan pengangkutan awam yang memaksa rakyat pergi bekerja dengan kereta. Light Rail Transit (LRT) telahpun menampakkan banyak masalah yang menjemput pelbagai kritikan seperti jaringan dan sambungan yang kurang munasabah, kekurangan tempat meletak kereta di stesen LRT, kekurangan kabin LRT dan sebagainya. Kami bercadang supaya lebih banyak kenderaan pengangkutan awam disediakan untuk menghubungkan kawasan perumahan, perniagaan dan persekolahan. Kurangnya penggunaan kenderaan persendirian bermakna kurangnya pencemaran udara dan sumbangan positif kepada perlindungan alam sekitar.
Hujan lebat yang diikuti banjir kilat sudahpun menjadi mimpi ngeri penduduk Kuala Lumpur. Kerajaan harus menghadkan pembangunan terlampau (over-development) di kawasan bandar dan desa, memperbaiki pengaliran longkang dan sungai, serta menghukum berat individu dan korporat yang membuang sampah dengan tidak bertanggungjawab.
Dari segi perlindungan alam sekitar, individu dan korporat yang mencemari alam sekitar seperti membuang sampah merata-rata, mengeluarkan asap hitam dan gas toksid serta mencemari sungai, harus dihukum setimpal dengan darjah pencemaran oleh mereka.
Kita mengharapkan sebuah sistem pentadbiran yang berkecekapan tinggi dan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Kami berharap kerajaan bersikap adil dan tegas, sama ada dari segi hukuman atau ganjaran, kepada kakitangan awan. Mana-mana agensi kerajaan yang tersilap dalam melaksanakan tugas dan menyebabkan kerugian dana atau merosakkan kepentingan rakyat mesti berani mengaku, bertanggungjawab atas dan memperbaiki kesilapan mereka. Kakitangan yang melakukan kesalahan besar mesti diturun pangkat atau dipecat sama sekali. Hanya demikian, sepasukan kakitangan kerajaan yang cekap dan bertekad mungkin dibina.
[pagebreak]Badan-badan kerajaan dan swasta harus meninggalkan praktis yang tidak praktikal malah membazirkan sumber dan tenaga seperti perhimpunan besar yang bertujuan untuk merakamkan pujian atau menunjukkan kegagahan. Kerajaan dan rakyat sememangnya harus bersatu hati dalam berusaha membina negara, dengan cara yang positif, produktif dan praktikal. Kami tertarik dengan kata-kata YAB bahawa “Kakitangan kerajaan bekerja dengan saya, bukan untuk saya”, “Saya adalah kakitangan awam nombor satu” dan “jangan menyampaikan berita baik dan menyembunyikan berita buruk.” Sekiranya setiap kakitangan kerajaan dapat berkhidmat dengan sikap yang mesra dengan rakyat dan mengurangkan budaya birokratik yang kini berleluasa, kerajaan sudah pasti akan dapat memenangi hati rakyat dan sokongan padu rakyat dalam melaksanakan segala pembaharuan yang menguntungkan Malaysia.
4 Perspektif Jangka-panjang untuk Dasar Pendidikan
Pendidikan itu asas negara. Maka, kerajaan mesti mengambil perspektif jangka-panjang dalam isu pendidikan, dengan mengamati trend pembangunan seluruh dunia untuk membuat perancangan jangkapanjang yang paling bijaksana. Yang pantang sekali ialah dasar pendidikan yang kerap berubah dan tanpa objektif yang nyata. Semua negara maju mementingkan pendidikan rakyatnya dan membuat pelaburan besar dalam pendidikan.
Pengetahuan mengenai teknologi maklumat bio-teknologi, perlindungan alam, kebudayaan, pengurusan perniagaan semakin penting. Kerajaan harus mengutamakan pelatihan sumber manusia dalam bidang-bidang ini.
Masalah Pendidikan mesti dianalisa dengan mendalam dan tidak dipertimbangkan dengan kaca mata perkauman. Bahasa Inggeris sememangnya bahasa antarabangsa, satu fakta yang wujud selama ini, dan harus dipertingkatkan pelajarannya. Akan tetapi, untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kaedahnya bukan sekadar mengubah bahasa penghantar Matematik dan Sains kepada bahasa Inggeris, tetapi mempertingkatkan pengajaran matapelajaran bahasa Inggeris itu sendiri.
Pada masa yang sama, dengan berkembangnya kuasa negara China, nilai ekonomi bahasa Cina semakin meningkat. Pada halnya, bahasa Cina kini sudah menjadi satu bahasa antarabangsa yang kuat dan mungkin setaraf dengan bahasa Inggeris sehari nanti. Oleh itu, kerajaan harus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membelajari bahasa ini dan bukan sebaliknya mengenakan pelbagai sekatan atas pembelajarannya. Hari ini, terdapat 2,100 buah universiti di lebih daripada 80 buah negara menawarkan kursus dalam bahasa Cina. Malaysia mempunyai lebih daripada 1,200 buah sekolah jenis kebangsaan (Cina) (SKC) dan 60 buah sekolah menengah Cina persendirian. Kita bukan sahaja tidak harus menyekat pembangunan sekolah-sekolah ini, malah harus menyokong pertumbuhan mereka supaya mereka lebih berjaya dan maju. Kini negara China bukan sahaja negara utama di Asia, malah sudah menjadi badan ekonomi utama sedunia. Kita harus menyambut cabaran hari esok dengan hati yang terbuka.
Kemunduran budaya membaca dan semangat belajar adalah halangan kepada kemajuan negara. Kerajaan harus membina lebih banyak perpustakaan awam di peringkat komuniti untuk menggalakkan budaya membaca dan membina masayarakat yang cintakan buku. Gergasi telekomunikasi Nokia yang menguasai lebih daripada 1/3 telefon mudahalih di seluruh dunia berasal dari Finland, sebuah negara kecil di Eropah Utara. Keajaiban yang dicipta oleh Finland ini tidak dapat dipisahkan dengan dasar pendidikannya. Dengan rakyatnya yang suka belajar, Finland mempunyai kepadatan perpustakaan per populasi yang antara paling tinggi di seluruh dunia. Negara Jerman yang turut maju dalam sains dan teknologi juga mempunyai rakyat yang suka membaca.
Pendidikan yang berfungsi membina rakyat yang lebih cerdik tidak harus dipolitikkan atau dipertimbangkan semata-mata dengan kecekapan ekonomi. Untuk mengatasi masalah kekurangan SKC, kerajaan harus membenarkan SKC yang kurang murid dipindah ke tempat lain, membina SKC baru di kawasan yang mempunyai penduduk Cina yang padat ataupun membenarkan SKC menggunakan bangunan sekolah kebangsaan (SK) yang terbiar.
Pada hari ini, seluruh Lembah Kelang kekurangan lebih daripada 100 buah SKC sehingga ramai ibubapa Cina tidak dapat menyekolahkan anak mereka di SKC. Dalam keadaan ini, sekolah asal SKC Damansara yang siap dengan pelbagai infrastruktur harus dibuka semula supaya anak-anak murid tidak perlu berlalulintas jauh semata-mata untuk bersekolah.
[pagebreak]5 Dasar Sumber Manusia yang Dapat Mengekalkan Pakar
Di bawah arus globalisasi, individu, korporat dan negara mesti mempunyai daya saing di arena antarabangsa. Sebuah negara yang mempunyai banyak ‘pekerja ilmu’ (knowledge worker) dan insan-insan yang kreatif di pelbagai bidang akan menikmati kelebihan dalam persaingan.
Kita harus mengekalkan pakar-pakar di negara kita dan juga menarik pakar-pakar yang dilatih di negara asing dengan hati yang terbuka. Sebagai contoh, dalam beberapa dekad yang kebelakangan ini, universiti-universiti di Taiwan telahpun menghasilkan lebih daripada 35,000 graduan rakyat Malaysia. Pencapaian graduan Taiwan jelas terlihat di pelbagai sektor dan lapisan masyarakat akan tetapi semua ijazah mereka kecuali sebilangan kecil daripada jurusan perubatan tetap tidak diiktiraf olej kerajaan. Ini menyebabkan ramai graduan tidak dapat menyumbangkan kepakaran mereka di Malaysia dan terpaksa tinggal di negara lain dan menguntungkan ekonomi negara-negara ini. Menurut Menteri Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Datuk Lau Heng Ting, Malaysia kini masih kekurangan 200,000 jurutera sedangkan Taiwan telahpun melatih untuk kita berpuluh-puluh ribu pakar sains dan teknologi. Jikalau kerajaan dapat menyahut suara hati rakyat, mengiktiraf ijazah graduan Taiwan mengikut permintaan, ini seharusnya dapat menarik pakar-pakar ini untuk kembali ke tanah air.
Berkenaan dengan profesional yang ingin kembali atau datang berkhidmat di Malaysia, kerajaan juga harus memberi perhatian agar Jabatan Imigresen dapat mengkoordinasi antara agensi untuk memudahkan prosedur pemohonan mereka dan keluarga mereka untuk bermastautin di negara ini. Juruteknik mahir negara asing juga harus diupah mengikut keperluan.
Kami menyokong dasar kerajaan dalam membasmi kemiskinan tetapi berpendapat dasar ini haruslah adil dan tidak memilih bulu berdasarkan kriteria asabiah (kaum). Di bawah globalisasi, persaingan yang releven bukan persaingan antara rakyat Malaysia sendiri tetapi antara Malaysia dengan negara serantau.
6 Berganding Bahu demi Masa Depan Cerah Bersama
Kami berpendapat, dasar kerajaan untuk membantu satu kumpulan ethnik tanpa had tempoh hanya akan menghasilkan kesan kounter-produktif. Penggubalan dasar terutamanya mesti bebas daripada bias untuk menggelakkan pentadbiran yang tidak adil. Sejarah mengajar kita masyarakat yang mengamalkan dasar yang berat sebelah hanya akan menghadapi polarisasi kaum sebagai akibatnya.
Sebenarnya, Malaysia yang dianugerah dengan sumber kaya di samping bebas daripada bencana alam seperti gempa bumi dan taufan, sepatutnya mencapai pembangunan yang lebih baik daripada negara lain. Apabila Menteri Perusahaan Utama Datuk Lim King Yeik melawat industri perabot di negara China, beliau berkata industry perabot ‘tidak menghadapi kemelesetan ekonomi tetapi kemerosotan dayasaing’. Komen ini bukan sahaja sesuai untuk industri perabot, malah juga boleh mengajak industri lain untuk berfikir. Terutamanya, apabila negara jiran kita sedang maju dengan cepat, kita akan jauh ketinggalan di belakang jika kita tidak berasa cemas dan mempumyai kesedaran krisis.
Oleh yang demikian, kami percaya hanya melalui komunikasi dan perbincangan dapat menyelesaikan masalah. Dewan Perhimpunan Cina Selangor selama ini sememangnya memainkan peranan sebagai perantaraan komunikasi antara kerajaan dan rakyat. Pengalaman kami selama ini memberanikan kami mengutarakan cadangan-cadangan di atas. Kami berharap kerajaan akan lebih banyak berdialog dengan pertubuhan-pertubuhan Cina supaya kerajaan dan masyarakat dapat memahami satu sama lain dengan lebih baik.
Akhirnya, dengan rasa rendah hati kami berharap cadangan kami diterima. Pada masa yang sama, sila terima penghormatan kami yang tertinggi kepada YAB.