KLSCAH seru Kerajaan agar semua jenis minuman – sama ada beralkohol atau tidak – diberi layanan saksama di bawah PKP

1.   KLSCAH menyeru Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan yang adil dan profesional untuk Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di seluruh Malaysia, berasaskan pertimbangan kesihatan dan ekonomi, dan tidak tertakluk kepada agenda politik dan agama.

2.   KLSCAH mengucapkan tahniah ke atas kejayaan PKP setakat ini dalam mendatarkan lengkuk dan menyokong PKP dengan sumbangan kami untuk hospital, barisan hadapan perubatan dan golongan terpinggir. Kami percaya bahawa seluruh negara mesti bersatu dan menggembleng tenaga dalam usaha memerangi wabak Covid-19 tanpa dialihkan tumpuan lantaran keputusan yang kontroversi.

3.   Justeru itu, KLSCAH amat berprihatin terhadap keputusan Kerajaan PN untuk menarikbalik kelulusan kepada pengeluar beer Heineken and Carlsberg untuk meneruskan operasinya di bawah PKP berikutan kecaman sesetengah ahli politik terhadap keputusan asal, atas dalil bahawa minuman beralkohol bukan produk keperluan.

4.   KLSCAH menyeru Kerajaan PN untuk menghormati PRKnya yang diwartakan pada 18hb Mac 2020, P.U. (A) 91, yang Jadual – Perkhidmatan Perlu [Peraturan 2] nya (dilampirkan) merangkumi “pembekalan makanan” (Butiran 17) sebagai salah satu “perkhidmatan perlu” yang dibenarkan pengeluarannya pada tahap minima. Tiada pembahagian lebih terperinci di bawah “pembekalan makanan” apa yang “perlu” dan apa yang “tidak perlu”. Sememangnya, yang paling layak menentukan “perlu”nya sesuatu barangan itu ialah penggunanya – dalam kes beer, yang bukan Muslim – dan bukan mereka yang tidak mengguna – yang Muslim.

5.   KLSCAH memahami dan menghormati penolakan komuniti Muslim terhadap minuman beralkohol tetapi kami juga ingin menyeru kepada kebijaksanaan saudara-saudari Muslim kami untuk mengambil maklum bahawa peminuman beer tidak melibatkan Muslim dan untuk menghormati pilihan bukan Muslim dalam perkara ini.

6.   KLSCAH mengingatkan Kerajaan PN bahawa  sekatan pengeluaran beer semata-mata – sedangkan minuman ringan berkarbonat yang mempunyai ciri-ciri sebandingnya terus dibenarkan – secara hakikatnya telah meletakkan nilai Islam ke atas rakyat yang bukan Muslim. Ini tidak selari dengan janji Islam bahawa “Bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku.” (Surah al-Kafirun 109: 6) atau janji Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan melalui TV untuk menjadi seorang Perdana Menteri untuk seluruh Malaysia, tak kira kaum dan agama. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/661392/teks-penuh-ucapan-perdana-menteri-tan-sri-muhyiddin-yassin     

7.   KLSCAH berharap Kerajaan PN mengambil maklum bahawa, sungguhpun keputusan membenarkan pengeluaran beer mungkin tidak popular dalam kalangan Muslim, melarangnya lantaran perhitungan politik akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat dan ekonomi,  sedangkan Kerajaan dan masyarakat seharusnya berganding bahu dan menumpu sepenuh perhatian untuk memerangi wabak dan menangani kemelesetan ekonomi.

8.   KLSCAH dengan ikhlasnya menyeru Tan Sri Muhyiddin Yassin, “PM untuk seluruh Malaysia tanpa mengira kaum dan agama”, dan Kerajaan PNnya untuk melayani semua minuman secara saksama – sama ada ia beralkohol atau tidak – yakni membenarkan pengeluaran pada tahap yang minima, agar dapat menghapuskan sebarang persepsi negatif bahawa PKP telah menjadi alat untuk agenda sesetengah ahli politik dan agama.

Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply