Pendirian 10-poin Dewan Perhimpunan China KL & Selangor atas Bahasa Kebangsaan dan Tulisan Jawi (24/12/2019)

Sebagai respon kepada kepedulian YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan dengan persidangan libaturus NGO-NGO Cina pada 28hb Disember berkenaan dengan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 di SJKC, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mengambil pendirian sedemikian:

1. Kami mendukung secara mutlak Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsan dengan tulisan Rumi sebagai tulisan rasminya seperti yang tertera pada Perkara 152 Perlembagaan Perseketuan dan Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan, menghargai seikhlas hati usaha-usaha mulia dalam aspek ini oleh Pendita Za’ba dan rakan-rakan seperjuangannya, dan menyokong sepenuhnya usaha-usaha untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Melayu oleh pelajar-pelajar SJKC.

2. Kami mengambil maklum bahawa tulisan Jawi adalah warisan penting Bahasa Melayu sejak Kurun Ke-13, dan pernah digunakan dalam semua aspek hidup di Nusantara tidak terhad kepada hal ehwal Islam. Kami sedar bahawa Kitab Injil Bahasa Melayu yang paling awal ditulis dalam tulisan Jawi.

3. Kami kesal bahawa usaha untuk mempromosikan tulisan Jawi oleh sesetengah pihak telah diungkapkan dan dipandang sebagai usaha Islamisas, dan secara semulajadinya ini menimbulkan kegelisahan di kalangan ibubapa bukan Muslim, tidak terhad kepada ibubapa Cina di SJKC, tetapi juga ibu bapa India dan Kristian Malaysia Timur di SK, yang turut diluahkan melalui Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST).

4. Kami juga faham ibu bapa yang risau bahawa pengenalan tulisan Jawi akan dinaiktarafkan sehari nanti menjadi pembelajaran penulisan Jawi dengan perperiksaan yang akan membebankan pelajar-pelajar SJKC yang sudahpun mempelajari tiga bahasa. Kami percaya kebimbangan ini akan lenyap dengan pembinaan keyakinan jika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pendekatan yang lebih konsultatif berkenaan dengan perubahan dasar.

5. Kami menyokong bahagian pertama keputusan Kabinet pada 19hb Ogos 2019 bahawa setiap SJKC akan menentukan bahawa sama ada pengenalan tulisan Jawi akan diajar. Setiap sekolah mempunyai kondisinya yang unik dan pembuatan keputusan di peringkat akar umbi adalah yang paling bijaksana.

6. Akan tetapi, kami terpaksa membantah bahagian kedua keputusan Kabinet pada 19hb Ogos 2019 bahawa keputusan di setiap SJKC akan dibuat semata-mata oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibubapa, langsung mengenepikan Jawatankuasa pengelola sekolah, yang berfungsi sebagai penaung dan pemilik SJKC.

7. Kami menyokong permintaan oleh Dong Zong, badan payung untuk jawatankuasa pengelola sekolah Cina, dan Jiao Zong, iaitu untuk persatuaan guru-guru sekolah Cina, supaya jawatankuasa pengelola dimasukkan dalam pembuatan keputusan atas pengenalan Jawi di setiap SJKC. Kami menyeru KPM untuk mengambil tindakan ini supaya isu ini boleh diselesaikan.

8. Kami percaya bahawa kita manusia dijadikan lain-lain supaya kita dapat mengenali sesama lain dan semua bahasa dan tulisan adalah kurnia dari syurga yang harus dihargai oleh semua. Sebagai sebuah negara yang berdagang di peringkat antarabangsa, Malaysia sememangnya harus memegang multi-lingualisme dan menggalakkan pembelajaran segala bahasa dan tulisan yang mengeratkan hubungan ekonomi kita dengan rakan-rakan dagang daripada tamadun yang lain.

9. Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk berbudi bahasa dan menghormati kepelbagaian dan keutamaan setiap kumpulan, walaupun kita tidak berpendirian sama dalam isu sensitif seperti pengenalan tulisan Jawi. Jangan kita lupa bahawa kesamaan antara kita jauh lebih besar daripada perbezaan antara kita.

10.Kami menyeru semua rakyat Malaysia memandang Persidangan Persatuan-persatuab Cina pada 28hb Disember itu sebagai perbincangan normal dalam masyarakat sivil yang bakal membantu kita mencari penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak. Persidangan itu bukan pertembungan antara Melayu dan Cina dan tidak harus disalahtafsirkan sebegitu oleh mana-mana pihak.

Dewan Perhimpunan China KL dan Selangor

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply